Halaman

Khamis, 6 Mac 2014

Menjelang PRK Kajang

spr2
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan penyebaran maklumat serta gambar tertentu oleh pihak tidak bertanggungjawab mengenai PRK DUN Kajang termasuk kehadiran beberapa bas persiaran ke kawasan itu sebagai tidak berasas.
SPR dalam kenyataannya Sabtu memberitahu, laporan dan gambar itu disebar dengan tujuan menimbulkan persepsi bahawa akan berlaku manipulasi dalam PRK Kajang termasuk menggunakan warganegara asing sebagai pengundi.
Laporan itu juga dikaitkan dengan kelewatan tarikh PRK Kajang.
“Bagi SPR laporan itu sengaja ditulis sebagai strategi untuk memburukkan SPR,” menurut kenyataan itu.
Pada 19 Februari lalu, sebuah portal media menerbitkan artikel bertajuk ‘Perkembangan Pelik di Kajang, SPR Patut Minimakan Ruang Manipulasi’ yang antara lain mendakwa Solidariti Anak Muda Malaysia telah mengesan beberapa bas persiaran menurunkan warga Myanmar di hadapan stesen Keretapi Tanah Melayu di Kajang.
Kenyataan itu menyebut berdasarkan laporan itu, penulis artikel tidak faham dan sengaja memutarbelitkan gambar serta fakta untuk mengelirukan orang ramai bahawa SPR tidak telus.
Selain itu, SPR menegaskan tiada petugasnya yang termasuk dalam kategori pengundi awal dalam pilihan raya itu, sebaliknya pengundi awal bagi PRK Kajang hanya melibatkan 1,197 anggota polis.
Menurut kenyataan itu lagi pelantikan petugas PRK Kajang dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang dilantik SPR dan bukannya oleh Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor atau Ibu Pejabat SPR.
“SPR tidak boleh campur tangan dan menetapkan siapa yang akan dipilih untuk bertugas. Perkara itu terpulanglah kepada budi bicara Pegawai Pengurus Pilihan Raya berdasarkan syarat dan panduan yang ditetapkan oleh SPR,” menurut kenyataan itu.
Menjelas lanjut tentang isu petugas PRK Kajang, SPR memaklumkan sebanyak 65 peratus daripadanya diambil dari luar Kajang dan mereka juga bukan pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebagai langkah untuk mengurangkan jumlah pengundi pos.
Manakala, baki 35 peratus lagi adalah petugas-petugas membabitkan pengundi-pengundi di Kajang.
Bagi petugas-petugas PRK yang juga pengundi di DUN Kajang, mereka diberi pilihan sama ada untuk mengundi secara biasa atau memohon untuk mengundi melalui pos.

Tak Sekepala Antara Anwar dan Khalid

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaaan Persekutuan bagi penstrukturan semula industri air Selangor semalam, tanpa memaklumkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunjukkan tiada penyelarasan dan koordinasi antara kedua-dua pemimpin itu.


Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong menyifatkan Khalid mempunyai keberanian dalam berpolitik kerana tidak membincangkan perkara itu dengan Ketua Pembangkang serta mendahulukan kepentingan rakyat di Selangor.

"Saya akui bahawa pemeteraian MoU menunjukan keikhlasan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Khalid dalam mencari satu penyelesaian meskipun ia (isu air) telah lama berlarutan.

"Sekurang-kurangnya, ia demi masa depan yang lebih baik bagi memastikan bekalan air tidak terputus di negeri ini," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan MCA bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang di Taman Berjaya, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mewakili Kerajaan Persekutuan bersama Khalid menandatangani MoU penstrukturan semula industri air Selangor di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya.

Namun, Anwar memberitahu media bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai MoU berkenaan.

Wee berkata dengan termeterainya MoU antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor dibawah pimpinan Khalid juga menyuntik nafas baharu kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor untuk bekerjasama demi menjamin kepentingan rakyat.

"Kita mengalu-alukan usaha kerajaan Selangor dibawah pimpinan Khalid yang berusaha mengurangkan kesengsaraan rakyat dan ia patut kita puji... sekurang-kurangnya Khalid sedar masalah itu dan perlu penyelesaian segera.

"Sekiranya Anwar ditadirkan untuk menjadi Menteri Besar Selangor adakah beliau akan melakukan perkara yang berlainan dari Khalid?

"Siapa lebih layak menjadi Menteri Besar? Biarlah media dan pengundi yang menilai sendiri," katanya.

-- BERNAMA

Exco PKR Pulau Pinang Mulut Celupar!!



Berhati macam binatang.Sebab tak sensitif dengan isu kematian anggota polis di Klang.



Seorang ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) Pulau Pinang hari ini dituduh tidak sensitif terhadap keluarga anggota polis Koperal Raja Aizam Raja Mohd, yang dipercayai dibunuh selepas satu pergelutan ketika bertugas semalam.
Dalam komennya di Twitter, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin (gambar) menulis:
"Penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan, tetapi bila polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah."
Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim menyifatkan komen seperti itu tidak wajar dikeluarkan oleh seorang exco kerajaan negeri dan juga saudara seagama.
"Kita perlu lebih sensitif dalam mengeluarkan kenyataan apabila ia melibatkan hati dan perasaan seorang wanita yang baru menjadi balu dan ketiga-tiga anak allahyarham," kata Rafizal dalam satu kenyataan.
"Dr Afif perlu memohon maaf kepada keluarga mangsa, kami amat pasti keluarga mangsa cukup terguris dengan kenyataan beliau. Janganlah menambah kedukaan mereka dengan membuat kenyataan sebegini."
Raja Aizam, 53, dan rakan setugasnya Koperal Mohd Aidil Mustafa, 29, dipercayai diserang sekumpulan warga asing ketika melakukan rondaan di Taman Sentosa, Klang, awal pagi semalam.
Raja Aizam yang cedera di kepala meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, manakala Aidil mengalami kecederaan di muka.
Sebelum kejadian itu, mereka dipercayai memberhentikan kenderaan polis untuk memeriksa sekumpulan warga asing di tepi jalan raya.
Rafizal berkata Dr Afif cuba menonjolkan dirinya sebagai "pejuang" menjelang pemilihan PKR yang akan datang, dalam usaha "bertanding untuk jawatan yang lebih tinggi" dalam pemilihan Angkatan Pemuda Keadilan (AMK).
"Malangnya kenyataan yang tidak sensitif langsung tidak perlu digunakan sebagai platform untuk meraih sokongan menjelang pemilihan AMK dalam sedikit masa lagi," tambahnya.
Sementara itu, Presiden Kumpulan Sensible, Ethical Malaysian United Team (Semut) Datuk Huan Cheng Guan berkata, persatuan tersebut akan menganjurkan orang ramai membuat laporan polis terhadap Dr Afif di Balai Polis Seberang Jaya esok, kerana menghina polis.
Komen Twritter Dr Afif itu mengundang lebih 100 komen balas. Dr Afif bagaimana pun terus mengkritik polis dalam komen Twitter menjawab pengkritiknya.
Bercakap kepada The Malaysian Insider, Dr Afif berkata beliau tidak berniat menghina mana-mana pihak dan bersimpati dengan keluarga anggota polis yang terkorban ketika menjalankan tugas.
"Tweet saya bersifat umum. Saya tidak merujuk kepada insiden tertentu," katanya, sambil menambah beliau tidak mengaitkan komennya kepada kejadian di Klang semalam.
"Apabila saya menghantar tweet tersebut, saya melihat isu itu secara lebih umum (berkenaan polis). Ia adalah pendapat saya mengenai institusi polis keseluruhannya," katanya. 

Khalid Janji Akan Terus Jadi MB,Selepas PRK Kajang

Saya akan terus jadi menteri besar jika diterima semua pihak, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Gambar fail.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan terus memegang jawatan menteri besar Selangor selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini “jika diterima” oleh semua pihak.
Sebelum ini spekulasi mengatakan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam PRK Kajang adalah untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar bagi meredakan hubungan kerajaan negeri dan PKR Selangor.
“Insya-Allah kalau saya diterima semua, saya akan terus menjadi menteri besar,” kata Khalid dalam program Soal Jawab anjuran TV3 yang disiarkan malam tadi.
Menteri besar penggal kedua itu berkata, beliau tidak begitu mengambil kisah dengan golongan yang “kurang senang” dengan pentadbirannya kerana sudah biasa dengan keadaan itu sejak sebelum berkecimpung dalam arena politik lagi.
Beliau memberikan contoh penglibatannya dalam arena perniagaan, meskipun banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat, namun di penghujungnya, faedah tetap berpihak kepadanya.
“Dalam pengalaman saya berpuluh-puluh tahun bekerja, perkataan ‘tidak senang’ bukan hanya hari ini umpamanya saya mengambil alih Guthrie, ramai orang tidak senang, tetapi saya senang.
“Masa saya ambil alih ladang di Indonesia, ramai orang tidak senang, tetapi akhirnya saya senang juga,” katanya.
Minggu lalu, Khalid menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air di Selangor dengan suntikan dana RM2 bilion oleh Putrajaya bagi pengambilalihan saham syarikat konsesi.
Susulan tindakan menandatangani MoU tanpa memaklumkan kepada pucuk pimpinan partinya, sekali lagi Khalid dikritik hebat.
Antaranya, Anwar berkata, beliau tidak tahu menahu mengenainya manakala Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendesak MoU itu didedahkan manakala Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pula berkata, tidak ada sebab Khalid takut kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk mendedahkan MoU itu.
Khalid berkata, keterbukaan PKR sebagai sebuah parti reformasi melihatkan ia terbuka kepada mana-mana pihak untuk melontarkan buah fikiran dan saling tidak bersetuju.
Katanya, seseorang pemimpin itu perlu yakin dan faham dengan apa yang sedang dilakukannya supaya penerangan lebih jelas dapat diberikan kepada rakyat.
“Saudara mesti faham, kami ialah parti reformasi. Semua orang dibebaskan untuk mengeluarkan fikiran. Kalau dia keluarkan fikiran dan bersetuju dengan saya, memang tidak bolehlah.
“Kalau kita percaya dan faham apa yang kita lakukan. Kita boleh jawab semua perkara tersebut. Boleh jadi mereka hanya memandang Langat 2 tetapi kita memandang secara keseluruhan. Itu boleh dijelaskan,” katanya dalam wawancara yang dipengerusikan oleh Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar.
Berhubung isu MoU penstrukturan semula air di negeri Selangor, Khalid berkata, rundingan itu sememangnya sesuatu yang dinantikan rakyat kerana mereka tidak dibebankan dengan kenaikan mendadak tarif air.
Katanya, dengan MoU berkenaan, kerajaan negeri mensasarkan kenaikan tarif air tidak akan melebihi 12% setiap tiga tahun.
“Rakyat Selangor memang meminta saya lakukan ini. Kalau tidak, daripada RM1, mereka perlu membayar RM1.70. Sudah tentu mereka menunggu perkara ini.
“Setiap tiga tahun tidak lebih 12% dan kiraan itu sangat munasabah berbanding negeri atau kenaikan lain di dunia,” katanya.
Dalam wawancara selama sejam itu, Khalid mengulangi pendirian bahawa MoU yang ditandatanganinya bersama kerajaan persekutuan tidak boleh diubah meskipun beliau tidak lagi menjadi menteri besar Selangor.
Katanya, kedudukan sebuah negeri atau negara akan tercalar dan tidak dihormati sekiranya perjanjian yang dimeterai tidak dilaksanakan.
“Perjanjian di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak boleh ditukar kerana apabila satu-satu perjanjian dibuat, ia mesti ditunaikan.
“Ia tidak mengira siapa yang mewakili negeri atau negara mesti menunaikannya. Jika perjanjian tidak ditunaikan, ranking sesebuah negara tidak akan meningkat kerana tidak menepati perjanjian,” katanya.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu turut menolak kenyataan Johan yang menyifatkan penstrukturan syarikat konsesi air di Selangor sebagai satu bentuk nasionalisasi.
Katanya, kerajaan negeri tidak memaksa pemilik saham syarikat konsesi sebaliknya membayar keuntungan dengan kadar sewajarnya.
“Saya anggap nasionalisasi tidak berlaku dalam perkara ini sebab nasionalisasi satu keadaan kita memeras pemilik saham tetapi yang ini kita bayar dengan per keuntungan yang sewajarnya.
“Ini tidak perlu dilakukan kerana menakutkan pelabur asing sebab mereka melihat Malaysia begitu baik apabila sanggup membeli pada harga berpatutan dan tidak merugikan mereka. Hutang diambil, pembayaran dibuat berdasarkan keuntungan ekuiti,” katanya.
Dalam wawancara yang dihadiri Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili itu, Khalid turut mengumumkan kerajaan negeri sedang dalam perancangan membangunkan sistem empangan air teknologi baru.
Katanya, Sistem Pembesaran Sungai Hibrid Luar (Horas) dibangunkan untuk mengalirkan air dari sungai supaya ada satu lagi empangan yang dapat digunakan untuk air mentah.
“Kita mula melihat bagaimana sumber air di Selangor apabila banyak hujan tetapi kita tidak dapat air. Sebab itu saya mulakan rundingan lebih baik dengan kerajaan persekutuan, kita akan cari sumber lain seperti satu sistem kumpul sumber air iaitu Horas.
“Kawasan ini membolehkan air bawah tanah digunakan bagi memberi kita lebih banyak jumlah air mentah daripada yang dibawa dari Pahang,” katanya dan menambah teknologi itu dapat digunakan sehingga 2050. – 6 Mac, 2014.


Tunggu dan lihat.