Halaman

Selasa, 25 Jun 2013

Pemuda UMNO Hantar Memorandum Desak Kerajaan Indonesia Tangani Segera Jerebu

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Indonesia untuk menghantar memorandum bantahan atas masalah jerebu yang melanda negara pada masa ini.
Setiausahanya, Datuk Megat Pirdaouz Tan Sri Megat Jonid berkata, Pemuda telah menemui Akhmad Daya Handasah Irfan, Penasihat Menteri Luar di Kedutaan Indonesia bagi menyampaikan rasa gusar dan keprihatinan di atas masalah jerebu yang melanda negara.
“Pemuda UMNO Malaysia tadi dengan tegas telah menghantar satu memorandum meminta pihak Pemerintah Indonesia supaya mengambil tindakan yang lebih serius terutama sekali dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap syarikat-syarikat yang mungkin menyebabkan berlakunya jerebu ini.
“Memang usaha-usaha telah dilakukan oleh pihak pemerintah Indonesia tetapi kami di pihak Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap agar mereka benar-benar tegas dalam mengenal pasti siapakah syarikat-syarikat ataupun konsesi-konsesi yang bertanggungjawab sehingga berlakunya fenomena ini, walaupun syarikat itu datangnya dari Malaysia,” ujarnya yang juga Setiausaha Pemuda BN.
Tambahnya, fenomena jerebu ini semacam sudah jadi satu fenomena tahunan.
“Kita bukan mengalami masalah jerebu ini bukan kali pertama, jadi perkara ini harus ditangani bersama untuk kebaikan rakyat di kedua-dua belah negara.
“Pemuda UMNO berharap, demi kesejahteraan, keharmonian dan kesihatan rakyat Malaysia, perkara ini mesti ditangani dengan lebih serius. Kita berharap agar Pemerintah Indonesia menggunakan apa sahaja pendekatan agar memastikan masalah jerebu ini tidak berulang lagi di masa hadapan,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah mengorak langkah untuk melaksanakan kempen memakai topeng muka (face mask), bagi memastikan masyarakat dapat menjalankan urusan harian dengan sihat dan selamat.
Dalam hal ini, rangkaian Pemuda UMNO akan mengedar dan mengagihkan topeng muka secara percuma kepada rakyat, terutamanya di kawasan-kawasan yang terjejas teruk dengan fenomena jerebu ini.
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga akan menganjurkan Majlis Solat Sunat Istisqa (solat memohon hujan) di Surau Ar-Rahman, Putra World Trade Centre pada 25 Jun 2013 bagi mendoakan keselamatan negara serta rakyat dalam menghadapi masalah jerebu ini.
Dalam pada itu, Pemuda UMNO di setiap Bahagian seluruh negara juga diseru menganjurkan solat sunat berkenaan. 


Tindakan yang sangat wajar dari Pemuda UMNO.

Speaker: Cadangan PR ditolak


Cadangan PR untuk menamakan calon Timbalan Speaker tidak diterima Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia apabila mereka gagal ikut peraturan 6(2).

Peraturan tersebut memerlukan setiap parti mengisi borang cadangan dan diserahkan 14 hari sebelum Dewan mula bersidang.

Oleh yang demikian, calon yang dicadangkan BN iaitu Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said telah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi penggal Parlimen ke-13.

Keputusan itu diumumkan selepas semua Ahli Parlimen selesai mengangkat sumpah.

"Saya tidak boleh menerima cadangan PR kerana gagal mengikut peraturan. Saya juga tidak melonggarkan peraturan mesyuarat kerana kegagalan anda berbuat demikian.

"Kalau anda (PR) tidak puas hati, mengapa tidak fail notis cadangan kepada pejabat Speaker 14 hari sebelum persidangan hari ini," katanya.

Kiandee dan Ismail merupakan dua nama yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam surat bertarikh 6 Jun kepada pejabat Speaker. Ini merupakan penggal kedua
Kiandee dilantik sebagai Timbalan Speaker.

Manakala, pelantikan Ismail yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengisi kekosongan satu lagi jawatan selepas Ahli Parlimen Santubong, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Isnin, 24 Jun 2013

Padang Merbok: Aktivis enggan berganjak

Sekumpulan aktivis yang berkhemah di Padang Merbok hari ini menegaskan bahawa mereka tidak akan berganjak dari tempat tersebut walaupun telah diberi notis oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menerusi laman sesawang Facebook Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, mereka akan terus bertahan meskipun dihalang berkhemah di situ oleh pihak DBKL.

“DBKL dan polis datang dengan lebih ramai. Mereka sudah berbaris, mungkin tapak khemah akan diserang teruk.

“Kami akan cuba pertahan. Mohon malam ini semua berkumpul di Padang Merbok,” katanya.

Mereka yang berkhemah di sana turut mencipta lagu bagi meningkatkan semangat mereka untuk kekal di sana.

Antara petikan lirik lagu tersebut adalah: “DBKL  sangat baik hati, jaga kami dari malam tadi, kerja anda kami hargai, sampai esok kami di sini.

"Wahai SPR letak jawatan, kamu angkuh kami bertahan, demi prinsip demi masa depan."

Dalam pada itu, dipetik menerusi Bernama, kira-kira 150 orang masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk meninggalkan kawasan itu, sebaliknya hanya bertindak menurunkan struktur khemah sahaja.

Seorang daripada kalangan yang berkhemah di situ yang hanya ingin dikenali sebagai Hashim, 49, berkata dia mengambil keputusan untuk bersama dengan penyokong lain walaupun keadaan cuaca berjerebu.

Sehingga 4.30 petang ini mendapati masih terdapat kira-kira 30 buah struktur khemah ditempatkan di kawasan Padang Merbok.

Pada pukul 3.50 petang kelihatan beberapa buah kenderaan DBKL bersama anggota penguat kuasa tiba di padang itu bagi mengambil tindakan dan memantau keadaan di kawasan sekitar.

DBKL mengeluarkan notis dua jam pada 10.15 pagi ini kepada kumpulan yang berkhemah di Padang Merbok untuk mengosongkan kawasan itu.



Memang dasar kurang ajar peseerta-peserta Blackout505 ni..

SPR: 'Kami tak akan berganjak'


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pihaknya sama sekali tidak akan berganjak dengan desakan pembangkang dan peserta Black505 supaya berundur.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tuntutan mereka jelas melanggar peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, PR tidak perlu mengheret rakyat bagi menjayakan rancangan politik khususnya berhubung tuntutan supaya pegawai tertinggi SPR letak jawatan.

"SPR tak akan tunduk dengan tuntutan yang tak masuk akal itu.

"Kita tak akan berganjak. Tak perlu nak teruskan perhimpunan yang menyusahkan rakyat dan pihak lain kerana SPR tetap dengan pendirian sebelum ini.

"Tak akan ada perubahan, atau mereka ini sengaja mahu menyusahkan penguatkuasa, orang ramai dan untuk memalukan negara?," katanya kepada Sinar Harian Online.

Semalam penganjur meneruskan himpunan Black505 di Padang Merbok walaupun pada mulanya gagal mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan keizinan polis.

Bagaimanapun, setelah keengganan penyokong PR berundur kebenaran telah diberikan.

Perhimpunan yang dikatakan kemuncak itu turut mengulangi tuntutan supaya pegawai tertinggi SPR meletak jawatan, selain memberi amaran supaya tidak melakukan proses persempadanan semula sebelum suruhanjaya baru itu dibentuk.

PR juga dilihat lantang menggesa SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi kawasan yang telah difailkan petisyen.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad menasihatkan supaya PR tidak membuat keputusan terburu-buru mengenai perkara yang tidak sahih.

"Mereka ini (ahli Parlimen baru) kadang-kadang tak tahu pun persempadanan semula itu dilakukan macam mana, mereka hanya ikut ahli Parlimen lama.

"Perkara tersebut ada langkah-langkahnya sendiri, bukan SPR yang putuskan, SPR hanya cadangkan syor, kalau mereka tak puas hati boleh bantah," ulasnya mengenai isu persempadanan semula yang dibangkatkan PR pada himpunan tersebut.
 

Adun PR tandatangan petisyen #Jerebu

Seramai 18 Adun PR Johor menandatangani petisyen terhadap usaha menyelesaikan masalah jerebu merentasi persempadanan negara-negara Asean.

Mengetuai langkah menandatangani petisyen itu adalah Pengerusi DAP Johor merangkap Adun Skudai, Dr Boo Cheng Hau dan kemudiannya diserahkan kepada Duta Besar Indonesia di Malaysia, Herman Prayitno.

Cheng Hau berkata, langkah itu dibuat berdasarkan keprihatinan Adun PR negeri ini yang ingin mengemukakan bantahan kepada kerajaan Republik Indonesia agar menghentikan pembersihan hutan secara serta merta melalui kaedah tebang dan bakar.

“Ia hanya menyebabkan merebaknya jerebu di rantau Asean. Kami menggesa kerajaan Indonesia untuk mengambil langkah-langkah yang segera untuk menghentikan jerebu ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Katanya, merujuk Laporan Jabatan Alam Sekitar dan National Environment Agency (NEA) Singapura, sekurang-kurangnya terdapat 138 titik panas di Sumatera buat masa ini.

“Paras pencemaran udara berada pada kedudukan paling buruk sejak 1997 di Singapura dan Malaysia.

Justeru, beliau berkata, petisyen itu ditandatangani agar Indonesia ambil langkah segera bagi atasi masalah itu.



Prihatin juga, PR ni dalam isu alam sekitar di Malaysia ni,Indonesia ni pun satu, setiap tahun macam ni, yang susah  jiran-jirannya Malaysia dan  Indonesia!!!

Blackout 505: kami tak gentar

Black 505

Kami bersedia dikenakan tindakan polis, kami tidak gentar amaran dan kesulitan yang akan timbul," kata penganjur bersama Black505 Padang Merbok, Anthony Loke Siew Fook.

Ahli Parlimen Seremban dari DAP itu bagaimanapun akan memaklumkan tindakan lanjut pihaknya selepas ini bergantung kepada kenyataan pihak polis.

"Saya bersedia (dikenakan tindakan tegas polis).

"Kita tunggu dulu kenyataan pihak polis, baru kita beritahu apa tindakan kita selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada Konvenysen Pakatan Rakyat (PR) di Ampang, semalam.

Pada hari himpunan Sabtu lalu, pihak polis telah mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan tegas ke atas penganjur.

Pada 10 Jun lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal menolak permohonan Sekretariat Black505 untuk menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi acara kemuncak perhimpunan itu.

Keputusan itu diambil memandangkan padang itu telah disewakan kepada Majlis Olimpik Malaysia untuk menganjurkan Larian Olimpik pada 23 Jun ini.

Ketika ditanya mengenai ramai peserta melanggar syarat Akta Perhimpunan Aman 2012 termasuk membawa kanak-kanak, beliau mendakwa pihaknya sudah memaklumkan perkara itu lebih awal.

Malah pihaknya juga telah mengarahkan peserta yang membawa kanak-kanak di bawah jagaan ibu bapa supaya pulang.

"Kita dah maklumkan peserta yang bawa kanak-kanak dan anak kecil supaya pulang.

"Kita tak boleh buat apa-apa kalau mereka berdegil," dakwanya.

Dalam pada itu, mengulas tindakan NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendirikan khemah di Padang Merbok, beliau mendakwa tindakan itu tidak termasuk dalam agenda PR meskipun ia berkaitan memprotes keputusan PRU13 lalu.

"SAMM berkhemah di sana tidak termasuk dalam agenda PR.

"Itu atas tindakan mereka sendiri," tegasnya.


PR memang suka mencabar undang-undang negara.harap tindakan tegas dikenakan pada mereka yg derhaka ini.

Jerebu: Penduduk Muar dan Ledang jangan panik


Penduduk di Johor khususnya di Muar dan Ledang dinasihat supaya tidak panik hingga membeli bahan makanan serta bahan api dalam jumlah yang banyak susulan pengisytiharan dua kawasan berkenaan sebagai darurat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, warga Muar dan Ledang juga dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar seperti bersukan dan beriadah terutama bagi warga emas, kanak-kanak, wanita dan juga pesakit berisiko seperti asma.

“Muar dan Ledang diumumkan sebagai kawasan darurat berikutan kadar Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap teruk. Bagaimanapun perintah darurat yang diisytiharkan tidak melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung.

“Oleh yang demikian, masyarakat dirayu tidak panik dan jangan membuat pembelian bahan keperluan makanan serta bahan api seperti petrol dan diesel dalam kuantiti banyak,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebooknya, semalam.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan terkini dari masa ke semasa dan berharap rakyat dapat mematuhi segala peraturan ditetapkan supaya masalah jerebu yang melanda negeri ini dapat diatasi bersama.

Beliau berkata, pada masa yang sama solat Hajat diadakan berterusan di semua masjid dan surau seluruh negeri ini antara maghrib dan isyak bagi memohon kesejahteraan negara serta hujan untuk mengurangkan jerebu.

Jerebu ohh jerebu,bilalah akan berakhir, terseksanya..:(