Halaman

Jumaat, 6 Disember 2013

207 masjid diisytihar bebas asap rokok


Sebanyak 207 masjid di negeri ini diisytiharkan sebagai Masjid Bebas Asap Rokok (MASBAR) bagi memartabatkan kesucian rumah ibadat itu. 

Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) melalui mesyuarat pada 9 Julai lalu, memutuskan larangan itu membabitkan perbuatan yang boleh mencemarkan kesucian masjid termasuk amalan menghisap rokok. 

Yang Dipertua MAIPP, Datuk Salleh Man, berkata semua jemaah yang memasuki pekarangan masjid perlu mematuhi peraturan baru itu. 



Didik masyarakat 

“Kita memberikan tumpuan terhadap usaha mendidik masyarakat khususnya umat Islam supaya menghormati dan memartabatkan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri berkaitan pewartaan pengharaman rokok. 

“Kepentingan mewujudkan udara bersih dan sihat dalam melaksanakan ibadat penting bagi mencapai keredaan Allah ketika beribadat di masjid yang menjadi tuntutan setiap umat Islam,” katanya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, semalam. 

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin. 
Salleh berkata, MAIPP akan menjalankan kempen menyedarkan perokok supaya tidak merokok di kawasan masjid dengan semua pentadbir masjid diminta memasang papan tanda dan kain rentang MASBAR dengan sebahagian kosnya akan ditanggung MAIPP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan