Halaman

Rabu, 11 Disember 2013

Bahasa Melayu di IPTA merosot

Majlis Bahasa Melayu Institut Pengajian Tinggi (IPT) Nusantara mendapati penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi di universiti awam di negara ini merosot sehingga 10 hingga 15 peratus. 

Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Emeritus Dr Ibrahim Komoo, berkata penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi dinilai dalam konteks pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan. 


Gagasan pembangunan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sebenarnya sudah berkembang pesat pada 1970-an hingga 1990-an yang dimulakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga mencapai kira-kira 65 peratus. 


Tingkat bahasa Melayu 

Kami berharap dapat menstabilkan kembali dan meningkatkannya sedikit demi sedikit apabila Majlis Bahasa Melayu IPT Nusantara membincangkan perancangan dan strategi untuk bergerak ke hadapan bagi menangani kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi, katanya selepas Majlis Dialog Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Tinggi di sini, semalam. 

Hadir sama, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Persekutuan, Tan Sri Dr Rais Yatim; Ahli Sidang Pelaksana Pusat Majlis Bahasa Melayu IPT Nusantara, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong dan Pengarah Penerbit UMT, Prof Madya Dr Noraien Mansor. 

Ibrahim berkata, perbincangan itu turut membabitkan wakil Brunei Darussalam dan Indonesia yang turut melihat bagaimana kesatuan Nusantara dapat digemblengkan untuk melonjakkan bahasa Melayu pada tahap ilmu tinggi pada peringkat serantau. 
Sementara itu, Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata Badan Bertindak Bahasa Melayu perlu ditubuhkan dan disertai sarjana serta ahli akademik khususnya wakil IPT, badan bukan kerajaan, selain individu. 

Badan itu boleh menggunakan pendekatan berhemah untuk menasihatkan kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan, bukan saja dalam merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahkan menterjemahkannya sebagai bahasa ilmu tinggi. 

Jika profesor dan pensyarah tidak melakukan sesuatu, bahasa Melayu akan mendap sehingga tidak dapat bangkit lagi sebagai bahasa ilmu, sekali gus lebih banyak wadah diperlukan bagi perbincangan lebih kerap dalam memberikan sumbangan kepada institusi masing-masing, katanya. 

Rais berkata, beliau tidak mempertikaikan beberapa institusi termasuk UIAM yang perlu menggunakan bahasa Inggeris seperti yang diletakkan syarat antarabangsa oleh kumpulan negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada awal penubuhannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan