Halaman

Khamis, 5 Disember 2013

Bantuan banjir: Tiada diskriminasi

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Kuantan,  Fuziah Salleh yang mengatakan kerajaan bersikap diskriminasi terhadap pemimpin pembangkang berhubung misi bantuan mangsa banjir di kawasan itu.

Menurutnya, kerajaan tidak akan berbuat demikian kerana ia melibatkan perkara serius di mana rakyat perlu diberi keutamaan.

“Jangan bersangka buruk. Dalam soal ini kerajaan tidak akan mencampuradukkan isu politik kerana apa yang penting adalah bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

“Apa yang dikatakan beliau (Fuziah) itu tidak benar. Dalam beri bantuan, kita tidak mengira latar belakang politik pemimpin,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Terdahulu, Fuziah memberi kenyataan bahawa pemimpin pembangkang tidak dipanggil untuk sertai mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dalam membantu mangsa banjir.

“Kami lihat ia sebagai satu diskriminasi di mana kami tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat itu sedangkan kita perlu duduk bersama untuk mengetahui keadaan rakyat yang ditimpa banjir.

“Dalam hal ini, mereka mahu rakyat melihat kami tidak mampu berbuat apa-apa. Tapi saya percaya rakyat ini lebih bijak dan tidak akan tertipu dengan perkara seperti ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai usul tergempar pengisytiharan darurat ekoran banjir di Kuantan dari Fuziah yang ditolak Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam persidangan semalam, Shahidan memberitahu ia tidak seharusnya berlaku.

“Sebenarnya usul itu tidak perlu lagi. Semua wakil rakyat yang terlibat dengan banjir perlu balik ke kawasan masing-masing untuk bantu mereka yang memerlukan.

“Mereka perlu maklumkan kepada kita bantuan yang diperlukan. Bukan kita mahu publisiti tapi mahu bantu rakyat,” katanya.

Pada masa yang sama, Shahidan memberitahu beberapa bantuan telah dikerah bagi membantu mangsa banjir terutamanya di kawasan yang terjejas teruk.

“Kita sudah hantar dua helikopter dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan enam bot tambahan dari MKN untuk mengeluarkan mangsa di Kuantan ke tempat yang disediakan.

“Selain itu, bantuan makanan juga telah di disalurkan kepada mereka. Saya berterima kasih kepada sukarelawan dan menyeru lebih banyak sukarelawan untuk muncul bantu mangsa banjir,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan