Halaman

Rabu, 18 Disember 2013

Cara mudah pinjaman perumahan

Datuk Omar Osman

 Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), mencadangkan agar kerajaan menyediakan pinjaman perumahan berasaskan harga rumah kepada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ini bagi memastikan kakitangan kerajaan dapat memiliki rumah sendiri dengan lebih mudah.

“Pinjaman sekarang adalah berasaskan gaji. Ini bermakna, penjawat awam tidak mendapat pinjaman penuh dan selebihnya terpaksa meminjam bank.

“Sekiranya dapat pinjaman penuh daripada kerajaan, lebih mudah. Mereka boleh bayar pinjaman itu dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan wang pencen,” katanya ketika berucap di Konvensyen Tri-Tahunan Ceupacs ke-26 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Katanya, Cuepacs turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula imbuhan tetap perumahan penjawat awam sebanyak RM180 sebulan dan kadar faedah pinjaman perumahan sebanyak empat peratus.

“Harga rumah sekarang mahal dan hampir 35 peratus kakitangan awam tidak ada rumah sendiri.

"Jadi, kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini mengikut kemampuan kerajaan,” katanya.

Selain itu, badan itu juga meminta kerajaan memberi cuti tanpa rekod kepada penjawat awam untuk menunaikan umrah.

Dalam ucapannya itu, Omar turut mengumumkan keputusannya untuk menamatkan perkhidmatannya sebagai presiden Cuepacs yang disandangnya sejak tujuh tahun lalu.

Konvensyen Cuepacs ke-26 akan berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan berakhir esok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan