Tindakan kerajaan Selangor di bawah pemerintah Pakatan Rakyat untuk menutup pusat latihan GiatMara di Selayang dan beberapa tempat yang lain perlu dipertimbangkan ekoran pusat yang memberi banyak maanfaat kepada kaum Melayu, Bumiputera khususnya.
Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, walaupun kerajaan negeri itu mempunyai kuasa untuk berbuat demikian namun kepentingan masyarakat pada setiap masa masih perlu dititik beratkan.
"Kerajaan PKR Selangor tidak perlu keluar belanja, semua Kerajaan Pusat yang belanja, kita yang bagi ganjaran dan imbuhan pada kakitangan dan elaun pada pelatih.
"Jadi kita harap Kerajaan PKR Selangor tidak menutup GiatMara tersebut atau di tempat lain sebaliknya meneruskan usaha yang telah dijalankan selama ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mara Bersama Rakyat dan Program Bantuan Persekolahan di Dewan Masyarakat Semporna di sini hari ini
Shafie berkata demikian bagi mengulas mengenai rancangan kerajaan Selangor untuk menutup pusat latihan tersebut.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan untuk membatalkan Pusat Latihan Giat Mara namun meletakkan syarat kepada institusi itu.
Syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri kepada Giat Mara adalah meningkatkan infrastruktur dalam tempoh setahun atau berhadapan dengan penutupan operasi.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Badan Bertindak Khas UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan menyifatkan tindakan kerajaan negeri yang mengeluarkan notis pengosongan tapak GiatMara sebagai 'ada udang di sebalik batu' berikutan lokasi tapak yang dikatakan agak kurang menarik untuk dibangunkan menjadi tapak industri berasaskan penerbangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan