Halaman

Khamis, 28 November 2013

Jangan salah guna parkir OKU

Jangan salah guna parkir OKU


Orang awam diminta lebih prihatin dan bertimbang rasa dengan tidak menggunakan kemudahan yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah ini untuk orang kurang upaya (OKU).

Presiden Persatuan OKU Sungai Siput dan Kuala Kangsar (Pokusk), Tang Ah Lik berkata, kemudahan yang disediakan itu bertujuan memudahkan pergerakan OKU melakukan tugasan seharian mereka.

Justeru, sikap tidak prihatin segelintir orang awam bukan sahaja menyukarkan mereka malah mereka kadangkala terpaksa membatalkan niat untuk berurusan kerana perkara tersebut.

Tambah Ah Lik, antara kemudahan untuk OKU yang  sering digunakan orang awam adalah petak tempat letak kereta.

“Tempat parkir khas bukannya banyak disediakan untuk OKU, biasanya di satu kawasan itu ada dua atau tiga. Itu pun orang awam hendak ambil sedangkan banyak parkir lain.

“Bertimbang rasalah pada OKU kerana keadaan mereka yang serba kekurangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar petak parkir untuk OKU dibuat dengan saiz yang lebih besar berbanding tapak parkir biasa.

“Bila ada kereta lain parkir bersebelahan dengan  parkir khas untuk OKU, sukar  untuk golongan tersebut keluar dan masuk kereta kerana ruang yang sempit.

“Kami harap sangat agar tapak parkir ini diluaskan untuk memudahkan pergerakan golongan OKU,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, Ah Lik memaklumkan dia ada mendengar rungutan daripada ahli persatuan yang mahukan perkhidmatan lebih baik disediakan untuk OKU khususnya ketika berurusan di pejabat kerajaan.

Menurutnya, ada antara ahli terpaksa beratur panjang untuk membayar bil atau menjalankan urusan lain dan situasi itu sedikit sebanyak mengecewakan mereka.

“Kadangkala, ada orang awam tidak peka dengan keadaan mereka dan hanya membiarkan mereka beratur panjang bersama orang lain.

“OKU berharap agar layanan baik diberikan  kepada mereka kerana ia dapat memudahkan segala urusan harian,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan