Halaman

Isnin, 30 Disember 2013

2 kementerian jalin usaha sama tambah doktor pakar

 Kementerian Kesihatan menjalinkan usaha sama dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha menghasilkan lebih ramai doktor pakar bagi mengatasi kekurangan golongan berkenaan di negara ini. 

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Hilmi Yahaya, berkata pelbagai latihan dan biasiswa ditawar kepada doktor muda yang berminat untuk mempertingkat kepakaran mereka dalam bidang perubatan lain. 

“Pihak kami dalam proses menarik lebih ramai menjadi doktor pakar dengan menyediakan mereka pelbagai program pengajian perubatan selain biasiswa.

Doktor yang mengikuti program itu akan menjalani latihan selama dua tahun dan setiap enam bulan, mereka ditukar ke unit lain di hospital. Cara ini melatih doktor muda menjadi doktor serba boleh” Dr Hilmi Yahaya, Timbalan Menteri Kesihatan

“Setakat ini, maklum balas yang diterima terhadap pendekatan penawaran biasiswa diterima baik apabila terdapat peningkatan permohonan program dan biasiswa pada setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan sehari ke Labuan, semalam.

Beri 1,000 biasiswa

Berdasarkan statistik pada 2013, sebanyak 1,000 biasiswa dikeluarkan bagi program perubatan di universiti tempatan dan luar negara berbanding hanya 800 pada tahun lalu. 
“Doktor yang mengikuti latihan program perubatan itu akan menjalani latihan selama dua tahun dan pada setiap enam bulan, mereka akan ditukar ke unit lain di hospital.

Ganti kekurangan doktor pakar

“Cara ini juga dapat melatih doktor muda ini untuk menjadi doktor serba boleh bagi menggantikan kekurangan doktor pakar di masa depan,” katanya.

Mengulas masalah kekurangan doktor pakar di Labuan, Dr Hilmi berkata, kerajaan sentiasa berusaha menyediakan bilangan yang mencukupi.

“Dahulu Labuan hanya ada dua doktor pakar, tetapi kini hospital sudah memiliki lapan doktor yang masing-masing mempunyai kepakaran di bidang perubatan am, pembedahan am, pakar tulang, pakar X-ray, pakar perubatan keluarga, pakar perbidanan dan sakit puan,” katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan