Halaman

Selasa, 17 Disember 2013

Malaysia mampu tangani aliran keluar dana asing


Pelabur institusi main peranan bantu tangani ketidaktentuan dalam pasaran

MALAYSIA memiliki sokongan kumpulan pelabur institusi kukuh yang mampu menahan sebarang impak ketara kepada pasaran saham tempatan jika berlakunya pengaliran keluar dana asing, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. 
Beliau berkata, pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan sebagainya akan memainkan peranan masing-masing bagi membantu menangani sebarang ketidaktentuan atau tindak balas mengejut yang berlaku dalam pasaran. 




Pelabur institusi domestik seperti kumpulan dana pencen, industri insurans dan lain-lain akan memainkan peranan mereka untuk membantu menstabilkan kembali pasaran kita” Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara


“Sudah tentu, Malaysia sebagai antara penerima manfaat daripada pelaksanaan program rangsangan oleh Rizab Persekutuan (ke atas ekonomi Amerika Syarikat) akan berdepan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan akibat turun naik aliran modal.

“Apabila langkah pengurangan (program rangsangan) itu berlaku kelak, akan ada beberapa perubahan arah (kemasukan dan pengeluaran dana asing). Namun, kita berada dalam kedudukan yang baik untuk mengurus dan mengurangkan impak daripada sebarang kemungkinan jika berlakunya aliran yang tidak menentu itu.

“Pelabur institusi domestik seperti kumpulan dana pencen, industri insurans dan lain-lain akan memainkan peranan mereka untuk membantu menstabilkan kembali pasaran kita,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran ‘Coffe Table Books’ AmBank Group di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai desas-desus bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan mula mengurangkan program rangsangan ke atas ekonomi terbesar dunia itu, sebelum akhir bulan ini. 
Zeti berkata, selain peranan kumpulan pelabur institusi, langkah liberalisasi selanjutnya dalam dasar pentadbiran dan kawal selia tukaran asing sejajar dengan peralihan negara kepada ekonomi yang bernilai tambah dan berpendapatan tinggi, turut menjadi antara faktor yang bakal membantu mengurangkan kesan ke atas pengaliran keluar dana asing.

“Dalam pasaran tukaran asing, kita turut akan melihat dua arah pengaliran akibat daripada langkah liberalisasi progresif yang kita telah ambil. Ini juga akan menyumbang kepada kestabilan pasaran kita,” jelasnya.

Bank Negara tegas beliau, akan terus memainkan peranannya dalam memastikan keadaan pasaran tempatan terus stabil, tersusun dan teratur.

Sementara itu, Zeti berkata, Bank Negara melihat tindakan Rizab Persekutuan AS untuk mula mengurangkan pelan rangsangan ke atas ekonomi AS adalah sesuatu yang positif kepada ekonomi dunia.

Katanya, ini kerana langkah pengurangan itu adalah tanda bahawa ekonomi AS sedang pulih, sekali gus memberi manfaat baik kepada semua ekonomi.

“Kita perlu mengambil pandangan bahawa langkah pengurangan (yang akan dibuat Rizab Persekutuan AS) itu adalah satu kemungkinan.

“Ia adalah tanda bahawa ekonomi AS sedang pulih dan oleh itu perkembangan ini adalah positif untuk ekonomi dunia,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan