Halaman

Rabu, 22 Januari 2014

Harga kereta hibrid naik tinggi

Harga kereta hibrid naik tinggi

PEMANSUHAN insentif duti import dan eksais ke atas kenderaan hibrid yang diimport sepenuhnya (CBU) menerusi Dasar Automatif Nasional (DAN 2014) dijangka meningkatkan harga kenderaan itu antara 65 dan 85 peratus.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank berkata, kenaikan harga kenderaan hibrid itu bergantung kepada harga import dan cukai eksais yang dikenakan.

"Kenaikan harga itu akan dapat dilihat bermula minggu depan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ini bermakna, sebagai contoh, harga kereta hibrid Toyota Prius C diimport sepenuhnya yang kini dijual pada harga RM97,313 mungkin naik sehingga RM180,000 tanpa pengecualian cukai tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, tindakan kerajaan menarik balik duti import dan eksais itu adalah langkah baik bagi mengimbangi aktiviti import kenderaan dan dijangka mendorong lebih banyak pengeluar kenderaan asing untuk masuk dan melabur dengan membuka kilang kenderaan hibrid unit terurai (CKD) di negara ini pada masa akan datang.

"Dijangkakan model hibrid CKD Toyota Camry dan Nissan Serena bakal dipasang di negara ini," katanya.

Sementara itu, Kenanga Research menerusi nota penyelidikannya berpendapat inisiatif yang baru diumumkan oleh DAN 2014 akan mengambil masa untuk melihat hasilnya.

Menurut Kenanga Research, dasar itu akan memberi kesan positif ke atas pengeluar kenderaan bukan nasional memandangkan pengetahuan kenderaan cekap tenaga (EEV) membolehkan mereka menikmati insentif bagi pengeluaran kereta unit CKD di Malaysia."Kami
masih menjangkakan landskap operasi (dalam industri automotif) yang mencabar memandangkan kadar penembusan tinggi dan kematangan pasaran," menurut nota itu.

Kereta kelas pertengahan Proton dijangka terjejas

Sementara itu, CIMB Research dalam notanya berpendapat DAN 2014 mengecewakan kerana tiada langkah seperti dasar jangka hayat akhir kenderaan diperkenalkan manakala jangkaan penurunan harga kereta sebanyak 20 hingga 30 peratus  dalam lima tahun telah dimulakan sebelum pengumuman itu lagi.

Menurut CIMB Research, pemansuhan itu akan memberi manfaat serta-merta kepada satu-satunya pengeluar kenderaan hibrid CKD di Malaysia, iaitu Honda Malaysia yang mendahului pengeluar lain dengan pembukaan kilang kereta hibridnya di Melaka, baru-baru ini.Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) pula dijangka terjejas dengan dasar baru bagi industri automotif itu.

"Bahagian pasaran pertengahan Proton yang lemah akan tergugat dengan kereta EEV unit CKD," katanya.

Selain itu, menurut CIMB Research, perluasan definisi EEV juga membolehkan lebih banyak kenderaan menepati kriteria itu terutama dengan kemajuan teknologi dan prestasi enjin kenderaan pada masa ini.

"Dengan jurang perbezaan antara EEV dan kereta konvensional semakin berkurangan, Proton akan terancam kerana kereta biasanya perlu bersaing dengan EEV melalui harga yang hampir sama.

"Kenderaan EEV memberi nilai lebih baik kepada pengguna Malaysia dan model kelas pertengahan Proton seperti Preve dan Suprima yang berharga RM70,000 ke atas dijangka  antara yang paling terjejas dalam persaingan dengan EEV," menurut CIMB Research.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan