Halaman

Rabu, 22 Januari 2014

PR Ajak Kerajaan Duduk Semeja

Pakatan Rakyat (PR) Johor bersedia untuk duduk semeja bersama pimpinan kerajaan bagi membincangkan sebarang permasalahan melibatkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Kesediaan itu disuarakan PAS, DAP dan PKR susulan isu arahan membuka tudung ke atas seorang guru mualaf dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya, Kota Tinggi oleh pihak pengurusan sekolah.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Steven Chong berkata, pimpinan PR negeri ini melihat terdapat sesuatu yang tidak kena dengan dasar dan pengisian institusi pendidikan di negara ini.

“Kami melihat kegagalan dasar pendidikan melalui transformasi pendidikan diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang perlu dikaji semula demi kebaikan semua pihak.
“Persoalan yang timbul ialah bagaimana kita ingin mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni tanpa wujud sikap prejudis antara satu sama lain kepada anak bangsa kita jika tenaga pengajar itu sendiri gagal memahami aspirasi negara,” katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Steven berkata, cadangan untuk duduk semeja bagi membincangkan permasalahan berhubung isu perkauman atau keagamaan itu bertujuan mendapatkan rumusan terbaik sebelum ia menjadi barah sehingga menghancurkan negara.

“Kami juga bersedia untuk menyediakan satu platform kepada semua pihak bagi menyuarakan pandangan dan bertukar-tukar pendapat serta menerangkan hak-hak termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam mengamalkan ajaran agama masing-masing.

“Kita (PR) amat mengharapkan polemik agama dan perkauman dapat diselesaikan dalam suasana musyawarah demi keharmonian hidup di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Aminolhuda menyifatkan berlakunya isu perkauman sejak kebelakangan ini sebagai kegagalan sistem pendidikan negara pada masa kini meskipun mata pelajar Sivik  diajar di sekolah.

Bagi Chin Tong pula, DAP Johor menyifatkan isu arahan membuka tudung atau apa sahaja tindakan melibatkan sensitiviti perkauman dan agama sebagai salah sekali gus perlu  ditangani segera dengan memperbanyakkan usaha memupuk perpaduan masyarakat di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan