Halaman

Rabu, 8 Januari 2014

Isu Rampas Bible: Jais Perlu Toleransi

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu menggunakan kuasanya dan mengambil tindakan undang-undang berteraskan kebijaksanaan dan tidak membuat keputusan terburu-buru hingga boleh menimbulkan ketegangan hubungan antara agama.

Ahli Parlimen Pas-Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sebelum tindakan tegas itu diambil, Jais sepatutnya boleh duduk berbincang serta berunding secara 'hikmah' dengan pihak berkepentingan agama.

"Sepatutnya tiada masalah kalau mereka duduk (berbincang) sebab Jais adalah pihak berkuasa agama.

"Kuasa itu ada pada Jais, mereka kena beri perhatian dalam pelaksanaan tugas, boleh runding dulu, bincang dulu, macam mana caranya, bukannya dengan kaedah gopoh yang boleh menimbulkan ketegangan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu serbuan penguat kuasa Jais ke premis Persatuan Bible Malaysia (BSM) Khamis lalu yang merampas 351 salinan naskhah Bible versi Bahasa Malaysia dan Bahasa Iban yang dipercayai mengandungi kalimah ALLAH.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin memberitahu, MKPN yang bersidang buat kali pertama, akan menjadi platform dan meja rundingan di antara pihak Jais dan BSM bagi menyelesaikan isu ini.

"Ia harus dilakukan berterusan, bukan hanya bila ada masalah, ada isu yang kita kena bincang secara terbuka dan ada kalanya secara tertutup.

"Kewujudan majlis ini untuk menginstitusikan kekuatan formula negara mengenai berbincang dan berunding dalam banyak perkara," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan