KLANG,2 Jan: Sekretariat Solidariti Umat Islam Daerah Klang akan menghantar notis bantahan kepada gereja di sini berikutan kenyataan pengarang majalah mingguan Katolik “The Herald” Paderi Lawrence Andrew berhubung penggunaan kalimah Allah.
Pengerusi Bersama sekretariat itu, Norman Toha berkata langkah itu akan diambil sekiranya Andrew tidak menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada umat Islam dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Ahad ini sebagaimana dituntut oleh beberapa NGO yang membuat laporan polis terhadap paderi itu minggu ini.
Nota bantahan itu akan dihantar kepada Ketua Paderi Church of Our Lady of Lourdes di sini, katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Pada 27 Dis lepas, Andrew menerusi protal berita, themalaysianinsider.com berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan bahasa Malaysia meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menghantar notis peringatan mengenai larangan pengunaan kalimah itu oleh bukan Islam.
Pada November lepas Sultan Selangor telah menitahkan semua rakyat di negeri ini perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seperti termaktub dalam Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.
Presiden Ikatan Kebajikan & Dakwah Selangor Ustaz Rosdi Long pula berkata JAIS perlu memantau dan memastikan penguatkuasaan Enakmen Kerajaan Negeri Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam.
Beliau berkata penguatkuasaan oleh JAIS perlu bagi memastikan isu seperti ini tidak berterusan dan menjadi duri dalam daging pada perpaduan dan keharmonian hubungan antara kaum dan agama.
Norman yang juga Setiausaha Petubuhan Jalur Tiga (JATI) berkata sebelum ini tiada masalah timbul mengenai hubungan di antara orang Islam dan orang Kristian di Malaysia tetapi ia menjadi isu apabila ada segelintir pemimpin-pemimpin Kristian yang nampaknya cuba menyeret isu agama ini ke dalam kancah politik semasa.
Hadir sama ialah Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya; Pengerusi Biro Agama UMNO Bahagian Kapar, Mohd. Khairi Hussin; Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin dan Naib Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Klang, Mohd. Pathan Hussin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan