Halaman

Khamis, 9 Januari 2014

Kenapa ‘Ubah’ pembangkang tidak menjadi

Dalam satu rancangan khas di Channel News Asia – saluran televisyen berpusat di Singapura – yang disiarkan pada 2 Januari lalu, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tahun lalu dianggap antara 10 berita terhangat di Asia sepanjang 2013. 

Diplomat dan penganalisis terkenal, Dr Kishore Mahbubani berpendapat nilai kehangatan berita tersebut ialah hakikat Datuk Seri Najib Razak mampu mengemudi BN mencapai kejayaan walaupun diasak pakatan pembangkang selama lima tahun sebelumnya.


Seorang tokoh akademik yang diwawancara pula berkata, kemenangan yang dicapai Najib dalam keadaan penuh cabaran dan tekanan dalam PRU yang digelar ‘ibu segala pilihan raya’ banyak bergantung kepada populariti peribadi serta keberkesanan program transformasi dan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan. 


“In effect, Najib stole the thunder from Anwar Ibrahim,” katanya. 

Kegagalan pakatan 

Pengkritik tegar dan cauvinis Cina, Dr Kua Kia Soong, dalam buku terbarunya May 13 Fact & Fiction: Current Malaysian Challenges (SUARAM, Petaling Jaya, 2013), menyalahkan kepemimpinan pakatan pembangkang kerana gagal menerima tawaran Parti Rakyat Malaysia dan HINDRAF untuk mengadakan kerjasama politik menjatuhkan kerajaan UMNO-BN. 

Beliau menganggap kegagalan pakatan pembangkang untuk berkompromi dengan golongan sosialis dan puak yang memperjuang kepentingan kaum India sebagai ‘one of the most unfortunate missed opportunities in the overthrow of the Barisan Nasional rule.’ (ms 102). 
Walaupun memahami bahawa cadangan HINDRAF dalam blueprintnya hanya memberi tumpuan kepada satu kaum saja, Kua tetap menyesali keengganan pemimpin pembangkang berkompromi dengan kumpulan itu. 

Malah, pemimpin pakatan pembangkang melabel blueprint HINDRAF sebagai rasis. Di sinilah, Kua menghentam kebodohan dan sikap oportunis pemimpin pembangkang, terutama DAP. 

Kata Kua: “Sungguh menghairankan. PR bukan saja tidak terima cadangan-cadangan HINDRAF, malah gagal memasukkan cadangan-cadangan tersebut ke dalam manifesto PR. Adakah PR lebih suci daripada HINDRAF berhubung isu kebangsaan? Apakah pucuk pimpinan PR takut kena beri tempat atau kerusi kepada pemimpin India jika cadangan HINDRAF diterima? 

“Pemimpin-pemimpin India dalam PR memberi alasan mereka tidak terbabit dalam menyediakan draf manifesto PR. Ini alasan dangkal. Jika benarlah real politik ini punca sebenar ketidakmampuan PR-HINDRAF mencapai persetujuan, ia adalah satu kegagalan yang amat besar.” (ms 102) 

Deklarasi Gelang Patah 

Lebih memalukan, DAP cuba ‘mengambil hati’ masyarakat India dengan memasukkan cadangan HINDRAF itu ke dalam Deklarasi Gelang Patah. HINDRAF terus menuduh DAP menciplak. 

Kecewa dengan penolakan pakatan pembangkang dan sikap hipokrit pemimpinnya, HINDRAF memohon menjadi anggota komponen BN dan diterima secara rasmi pada 8 April 2013. Ketuanya, P Waythamoorthy, seorang peguam, dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

Menurut Kua, tindakan DAP seperti itu sudah diduga dan menempelak sikap hipokrit pemimpin pembangkang kerana mengecam blueprint HINDRAF sebagai rasis, tetapi apabila dimasukkan ke dalam Deklarasi Gelang Patah, tidak pula menegur DAP atau mengatakan deklarasi itu rasis! 

Tegasnya, pembangkang juga ada prejudis dan kepentingan tersendiri, serta tidak mengecam Dasar Ekonomi Baru, justeru, tidak boleh berpura-pura sebagai lebih suci atau baik daripada BN. 

Kesimpulan Kua cukup jelas. “PR cannot claim to be holier than thou because neither does PR condemn this constitutional racism and announce their readiness to abolish the NEP in their manifesto. 

“In the end, it boils down to PR’s failure to come to terms with the national question, and that involves taking a stand on the NEP. Alas, I’m afraid the ‘Ubah’ in PR does not go far enough.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan