Halaman

Khamis, 9 Januari 2014

Melaka tolak perakuan Sultan Melaka

Melaka tolak perakuan  Sultan Melaka

 Kerajaan Melaka menolak perakuan mana-mana individu yang mengaku sebagai Sultan Melaka. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri, semalam, sekali gus tidak mengiktiraf mereka yang kononnya mempunyai hak memerintah negeri ini menerusi sistem beraja. 

Kita sudah membuat keputusan secara berfakta untuk menolak sebarang usaha mendapatkan pengiktirafan oleh mana-mana pihak mengenai kesultanan Melaka termasuk pihak yang baru-baru ini menggemparkan masyarakat dengan upacara pertabalan raja Melaka kepada seorang individu. 


Apa juga bentuk dokumen yang ditunjukkan kepada kita adalah tidak sahih dan tidak boleh diterima pakai, termasuk sehelai kertas yang kononnya surat pengiktirafan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di sini semalam. 

Ambil tindakan 

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang mengaku dirinya sebagai Sultan Melaka mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. 

Saya hairan mengapa ada lagi individu yang kurang siuman sekarang ini, malah individu yang mengaku sebagai Sultan Melaka ini tidak dilahirkan di Melaka pun dan saya difahamkan beliau turut menuntut untuk menjadi sultan di beberapa negeri lain. 
Bagaimanapun, saya yakin perkara ini berlaku berikutan Melaka kini sudah nampak kemajuannya dan insiden ini tidak berlaku ketika negeri ini digelar Sleepy Hollow satu ketika dulu. Mungkin kerana Melaka pada ketika itu tidak nampak kualitinya, tetapi sekarang bila dah cantik dan menarik, ramai pula yang hendak tuntut. 

Beliau mengulas dakwaan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Raja Noor Jan Shah yang mengaku sebagai Sultan Melaka ke-44, dan dikatakan berjaya mendapat pengiktirafan daripada ICJ mengenai tuntutannya menduduki takhta raja di negeri itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan