Berikutan minat kukuh yang ditunjukkan peserta tempatan dan global, pemaju utama daerah kewangan baru Kuala Lumpur itu, 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE) semalam secara rasmi menjemput pelabur yang layak untuk mengemukakan cadangan bagi pembangunan Peringkat Satu TRX.
Bagi Peringkat Satu itu, komponen pembangunannya ialah empat menara pejabat termasuk sebuah menara utama, lima menara kediaman, dua hotel lima bintang dan sebuah pusat beli belah.
1MDB RE terbuka kepada kedua-dua peluang kerjasama (JV) dan jualan plot penuh.
1MDB RE pegang kepentingan
Ketua Eksekutif 1MDB RE, Datuk Azmar Talib, berkata bagi majoriti pembangunan TRX, 1MDB RE merancang untuk terus memegang kepentingan ekuiti menerusi kerjasama.
Jualan tanah, bagaimanapun katanya akan dipertimbangkan mengikut kes dan tertakluk kepada pelan induk.
Kami gembira dengan minat yang ditunjukkan terhadap TRX. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan pelabur serta institusi berkelas dunia dan mengambilnya sebagai langkah penting ke arah merealisasikan wawasan TRX, katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Terletak di tanah pegangan bebas perdana seluas 28.3 hektar tidak jauh dari Menara Berkembar PETRONAS, TRX adalah langkah penting ke arah sasaran Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Pembangunan pelbagai guna di tengah-tengah Kuala Lumpur itu akan membentuk sebuah daerah kewangan antarabangsa baru yang diisi dengan ruang kediaman, peruncitan, santai dan budaya berkelas dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan