Kerajaan bersedia membina projek perumahan untuk penjawat awam dalam lingkungan harga sekitar RM90,000 bagi membolehkan semua peringkat golongan itu dapat memiliki rumah sendiri.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, perkara itu akan dipertimbangkan dengan kajian menyeluruh untuk menambah satu lagi projek perumahan rakyat selain Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), projek perumahan rakyat (PPR) dan program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang sedang dibangunkan ketika ini.
Kata beliau, kerajaan sedar bahawa penjawat awam peringkat kumpulan pelaksana sebahagian besarnya tidak mampu memiliki rumah PPA1M yang ditawarkan pada harga RM150,000 hingga RM300,000.
"Saya telah bercakap dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencari jalan membina rumah kepada penjawat awam dalam lingkungan harga tersebut kerana itu yang terbaik tetapi kita perlu rancang dahulu.
"Kita akan cari satu model rumah lagi dengan harga RM90,000, kita akan kaji untuk dilaksanakan di Putrajaya dan bandar-bandar utama, apa yang penting kita mahu merealisasikan pemilikan rumah oleh penjawat awam," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama warga kakitangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ketika sesi lawatan beliau di institut tersebut di Taman Ekspo Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Pada April lalu, Perdana Menteri melancarkan PPA1M sebagai satu usaha terbaharu kerajaan membantu penjawat awam membeli kediaman mampu milik yang bermutu.
Pada peringkat permulaan, sebanyak 10,336 unit rumah mampu milik akan dibina menerusi projek tersebut di Putrajaya pada harga RM150,000 hingga RM300,000 mengikut keluasan lantai dari 1,000 kaki persegi hingga 1,500 kaki persegi berkonsepkan kondominium yang dilengkapi pelbagai kemudahan.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan untuk mempertimbangkan cadangan daripada Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya pinjaman perumahan dapat disamakan dengan harga rumah.
"Ada juga syor CUEPACS supaya potongan rumah itu sehingga sampai masa pencen tetapi kita tidak mahu pula penjawat awam berada di bawah garis kemiskinan, apa pun kita akan cari jalan untuk menyelesaikan masalah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan