Baginda bertitah falsafah di sebalik bajet seimbang bukan saja relevan kepada organisasi, malah ia mempunyai aplikasi langsung kepada kehidupan setiap individu dan keluarga.
Titah baginda hutang dimungkinkan sekiranya pinjaman dilakukan untuk tujuan produktif yang pada akhirnya memberi pulangan bersih, positif atau untuk dimanfaat pada jangka panjang.
"Sumber rezeki dan sumber kekayaan ada batasannya, ia tidak melimpah ruah, bagai pipis datang melayang, bagai bulat datang menggolek. Kerana itu, Islam amat menegaskan supaya insan berbelanja secara bertanggungjawab lagi berhemah dengan mengamalkan sikap berjimat cermat serta menegah budaya boros dan amalan pembaziran.
"Di peringkat individu dan keluarga, sikap berbelanja melebihi pendapatan akan mendorong kepada perbuatan tidak sihat, berhutang, menipu, menyalah guna kuasa dan rasuah sehingga ramai yang berakhir sebagai muflis," titah baginda pada persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Raja Dr Nazrin Shah bertitah pendidikan mengenai bajet perlu diperkenal dan diamalkan individu dan keluarga, melalui kuliah dan kelas agama di surau, masjid dan jabatan-jabatan kerajaan.
Baginda merujuk kepada data Jabatan Insolvensi yang menunjukkan sebanyak 116,488 orang diisytiharkan muflis antara 2007 hingga 2013 dan daripada jumlah itu 39,967 orang berada dalam lingkungan usia 35 hingga 44 tahun, 23,967 orang dalam usia 25 hingga 34 tahun manakala 1,322 orang belum mencecah usia 25 tahun.
Menurut data tahun 2012, 48.41 peratus yang diisytiharkan muflis berketurunan Melayu, 33.15 peratus Cina dan 14.12 peratus India.
Bilangan yang diisytiharkan muflis melihatkan trend yang terus meningkat daripada 13,885 dalam tahun 2008 kepada 19,575 dalam tahun 2012, begitu juga dalam kalangan wanita yang kini 30 peratus, suatu keadaan yang tidak sihat, titah baginda.
Mengenai persidangan hari ini, baginda bertitah ia akan membincangkan Bajet Majlis bagi tahun kewangan 2014 yang menganggarkan hasil RM135.9 juta yang diperoleh melalui kutipan zakat (RM120 juta), sumber am Baitulmal (RM10 juta) dan wang terkumpul (RM5.9 juta).
Terdahulu, baginda menyempurnakan majlis penyerahan zakat tanaman dan perniagaan daripada 10 agensi iaitu Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Felcra Berhad Wilayah Perak, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Hedd Industries Sdn Bhd, Smart Aladdin Sdn Bhd, Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad, Agro Bank dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan