Halaman

Isnin, 23 Disember 2013

Biaya umrah mangsa banjir

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET) akan memilih dan menanggung perbelanjaan 50 penduduk terjejas banjir di negeri ini menunaikan umrah. 

Perkara itu diumumkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir Peringkat negeri dan Penghargaan Kepada Sukarelawan di Masjid Al-Mutaqqim, Tanah Putih, di sini semalam. 

Baginda bertitah, sumbangan itu adalah sebahagian usaha meringankan beban penduduk yang mengalami kerugian dalam kejadian banjir awal bulan ini. 


“Beta berharap semua rakyat dapat bersabar dalam menempuh dugaan Allah ini. Kerajaan Pusat dan negeri akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada semua mangsa secara berperingkat,” titahnya. 

Majlis turut dihadiri Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; Tengku Arif Temenggung, Tengku Fahd Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Azeez Abdul Rahim. 

1,000 terima bantuan 

Pada majlis itu, 1,000 mangsa banjir menerima bantuan ihsan RM250 dari kerajaan negeri dan RM100 sumbangan SASET. 
Selain itu, mereka menerima tilam, bantal dan dapur sumbangan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M). 

Sementara itu, Adnan berkata, kerajaan negeri mengagihkan bantuan RM250 kepada 17,054 keluarga di negeri ini yang menjadi mangsa banjir bermula semalam. 

Katanya, proses agihan itu dijangka mengambil masa dan meminta semua mangsa bersabar menunggu giliran mereka. 

“Banjir kali ini membabitkan ramai mangsa dan sudah pasti proses untuk menyerahkan bantuan ihsan ini mengambil masa. Kita akan cuba mempercepatkan pengagihan dan berharap semua dapat bersabar. 

“Kalau dikira dengan jumlah kerugian dialami setiap mangsa, sudah pasti jumlah bantuan ihsan RM250 ini tidak memadai, namun kerajaan negeri akan mencari jalan lain untuk memberikan bantuan tambahan kepada mangsa,” katanya. 

Adnan berkata, secara keseluruhannya kerajaan negeri menganggarkan banjir awal bulan ini menyebabkan kerugian kira-kira RM390 juta. 

Dalam pada itu, Azeez yang juga Pengerusi KP1M, berkata setakat ini pihaknya sudah menyalurkan bantuan berjumlah kira-kira RM4.5 juta kepada mangsa banjir di Pahang. 

Katanya, bantuan berkenaan sudah dan sedang diagihkan 150 sukarelawan KP1M sejak hari pertama banjir melanda negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan