Halaman

Isnin, 23 Disember 2013

Ku Li sokong usaha rasionalisasi subsidi

 Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyokong usaha kerajaan merasionalisasi subsidi bagi memacu perkembangan ekonomi negara untuk terus bersaing dalam era globalisasi.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan (1976-1984) bagaimanapun berkata, usaha untuk memperkasakan orang Melayu dengan pelbagai kemahiran dalam bidang ekonomi perlu disusun dengan lebih sistematik dan berkesan. 

Tengku Razaleigh berkata, perkembangan terbaru mengenai pembabitan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan korporat cukup membimbangkan, malah ada beberapa tokoh Melayu yang cukup ternama tidak mampu mempertahankan perniagaannya. 


“Matlamat utama yang harus kita sasarkan ialah meletakkan orang Melayu sebagai kaum yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan serta mampu bersaing tanpa dibantu kerajaan. Program khusus perlu disusun supaya ia dapat dilaksanakan secara berperingkat.

“Dengan cara ini, Melayu akan lebih merdeka, kompeten dan tidak akan ditelan oleh badai globalisasi. Sedikit demi sedikit, budaya subsidi perlu kita hakis dan mengangkat kemampuan orang Melayu untuk berdiri atas kaki sendiri,” katanya berucap pada Persidangan Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Ke-4 di sini, semalam.

Dominasi bukan Bumiputera

Turut hadir ialah Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang turut menganugerahkan Bintang Pahlawan Pribumi PERKASA sebagai penghargaan terhadap sumbangan Tengku Razaleigh dalam pembangunan negara. 
Veteran UMNO itu yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata, penguasaan orang Melayu dalam sektor korporat menurun, begitu juga dalam perniagaan produk halal yang turut didominasi bukan Bumiputera. 

Katanya, kesamarataan dalam penguasaan ekonomi adalah kunci utama aspek perpaduan kaum di negara ini dan keseimbangan dalam aspek ini akan menyegarkan perpaduan, tetapi jika sebaliknya, ia akan mengganggu kestabilan negara.

Sementara itu, dalam sidang medianya Tengku Razaleigh berkata, kerajaan tidak berupaya untuk mengelak peningkatan kos hidup di negara ini kerana ia bergantung kepada pasaran semasa.

“Kerajaan tidak boleh mengelak (peningkatan kos hidup)... ia bergantung kepada pasaran, tetapi kerajaan boleh mengawal bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan