Halaman

Isnin, 9 Disember 2013

Mangsa banjir hadapi masalah baru

Kuantan: Selepas masalah kekurangan bekalan makanan di atasi, mangsa banjir di bandar ini berdepan masalah baru apabila limpahan bekalan makanan dan keperluan asas hasil sumbangan pelbagai pihak, kini dicatu pihak pengurusan pusat pemindahan. 

Beberapa mangsa yang ditemui di pusat pemindahan banjir mendakwa, pihak pengurusan mencatu keperluan yang disumbangkan terbabit tanpa memberi alasan yang munasabah. 

Seorang mangsa dikenali sebagai Saiful, 40, berkata ramai mangsa banjir hanya diberikan tikar sebagai alas, sedangkan banyak sumbangan tilam nipis (toto) diberikan. 


Malah, katanya, ada keluarga yang hanya diberikan sehelai selimut untuk dikongsi beramai-ramai, biarpun bekalan berkenaan banyak diterima. 

“Itu tidak termasuk makanan dan keperluan bayi yang turut dicatu apabila ada mangsa yang hanya menerima tiga keping lampin bayi sehari untuk digunakan. 

“Bila kami bagi tahu ia tidak mencukupi, pihak pengurusan memaklumkan setiap keluarga sudah diberikan secukupnya...sedangkan kami tahu keperluan berkenaan banyak disumbangkan orang ramai, namun mereka enggan memberikan kepada kami,” katanya di sini semalam. 

Terima banyak aduan 

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, aduan berkenaan banyak diterimanya daripada mangsa banjir dan sudah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail menubuhkan pasukan penyiasat bagi menyiasat serta menyelesaikan masalah itu. 

“Saya sememangnya marah dengan apa yang terjadi ini... pihak pengurusan seharusnya mengagihkan barangan yang disumbangkan ini kepada mangsa banjir. 

“Jika tidak cukup, mangsa banjir berhak untuk memohon barangan yang diperlukan mereka. Ini adalah masa untuk memberi apa yang boleh diberi... tidak perlu kedekut dan segera agihkan kepada mereka. Kita bukannya hendak buka pasar malam selepas ini,” katanya. 

Selain itu, Adnan berkata, kerajaan negeri juga akan berusaha mencari mekanisme terbaik untuk memastikan bantuan dapat disalur secara berkesan kepada mangsa banjir. 

“Bencana banjir kali ini adalah luar biasa dan turut membabitkan bilangan mangsa yang terlalu ramai di kawasan tidak dijangka sehingga menyebabkan proses menghulurkan bantuan sedikit bercelaru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan