Halaman

Isnin, 9 Disember 2013

Skim bantu syarikat Bumiputera ke Bursa

Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) memperkemas Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) dan akan melancarkan skim baru yang dipertingkatkan dalam tempoh terdekat bagi membantu syarikat Bumiputera berkelayakan disenaraikan ke Bursa Malaysia. 

Skim itu yang sebelum ini dikendalikan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), adalah sebahagian inisiatif kerajaan untuk memperkasa ekonomi Bumiputera. Skim itu akan diletakkan di bawah Ekuinas sejajar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, September lalu. 

Ketua Eksekutif Ekuinas, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata ketika ini pihaknya sedang mengkaji semula skim itu bagi mengenal pasti kebaikan dan juga kelemahan atau kekurangan yang boleh ditambahbaik pada masa depan. 


Katanya, kajian itu sudah di peringkat akhir dan akan dibentangkan kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan kerajaan sebelum diserahkan kepada Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang baru ditubuhkan untuk kelulusan.

“Jika segalanya berjalan lancar, kami menjangkakan skim yang telah ditambahbaik serta lebih komprehensif ini akan dapat diperkenalkan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan