Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mula tidak senang duduk sebaik sahaja mendapat maklumat banjir yang melanda Pantai Timur bukan lagi banjir yang sebagaimana lazimnya setiap penghujung tahun, apabila bencana itu semakin melumpuhkan kawasan yang diwakilinya.
Ketika itu beliau menyertai Perhimpunan Agung UMNO yang baharu memasuki hari kedua di ibu negara. Namun Menteri Komunikasi dan Multimedia itu memutuskan untuk bergegas pulang secepat mungkin.
Perasaannya berbaur cemas dan sayu apabila air didapati naik dengan pantas, meliputi kawasan yang cukup luas, termasuk yang tidak pernah dilanda banjir selain banyak halangan yang membataskan pergerakan serta perhubungan untuk membantu dalam kadar segera.
Apabila banjir di luar jangkaan itu yang awalnya cuma dilaporkan lebih 20 mangsa pada hari pertama terus memuncak dan menjadi begitu buruk, orang ramai mula panik dalam usaha untuk berpindah dan mendapatkan bantuan sehingga keadaan menjadi kelam kabut.
Keadaan benar-benar menguji emosi saya," ujar Ahmad Shabery berkongsi apa yang ditempuh dan dilalui oleh beliau dan penduduk dengan Utusan Malaysia ketika banjir yang melanda berpanjangan sehingga memasuki hari kelapan hari ini.
Beliau sendiri tidak menyangka banyak kawasan tenggelam dan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan naik mendadak dalam tempoh yang singkat sehingga menyebabkan suasana kelam kabut.
Sepatutnya pada 4 Disember saya memasuki Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sebagai wakil Majlis Tertinggi, tetapi saya tidak mampu untuk menunggu bagi meneruskannya apabila memikirkan keadaan di sini.
Ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menaiki pesawat ringan, saya mengambil keputusan untuk meninjau seluruh Kemaman terlebih dahulu sebagai persiapan apa yang perlu dilakukan sebaik mendarat," katanya.
Ahmad Shabery berkata, keadaan mula menjadi panik pada malam Rabu apabila orang ramai mula meminta bantuan setelah bekalan elektrik terpaksa diputuskan dan bekalan air juga terhenti.
Saya tidak boleh melelapkan mata pada malam itu kerana membayangkan penduduk yang sedang menjerit resah dan bimbang meminta tolong tetapi kelengkapan yang tidak cukup menyulitkan keadaan.
Keadaan benar-benar kelam kabut apabila penduduk tidak boleh mengisi minyak kenderaan, perkhidmatan bank tergendala, perniagaan tidak dapat dijalankan dan sistem komunikasi yang lumpuh.
Kami hanya mampu menghantar bot Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membawa keluar penduduk yang terperangkap terlebih dahulu," ujarnya.
Tambah beliau, lawatan pertamanya di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok benar-benar menguji emosinya apabila melihat penduduk yang terpaksa bersesak di situ.
Katanya, terdapat juga kawasan yang tidak boleh dilalui langsung dengan bot penyelamat misalnya di Seberang Tayor dan Pasir Gajah kerana arus air yang kuat yang memaksa beliau meminta bantuan pasukan tentera dan maritim untuk menghantar bantuan menggunakan helikopter.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan