Halaman

Selasa, 31 Disember 2013

Jangan Rakyat Sengsara Tapi Pemimpin Terus Selesa

Adilkah jika dibiarkan rakyat terus sengsara dengan segala kenaikan tetapi pemimpin-pemimpin terus selesa??

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff hari ini bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Pulai (BN), Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan bahawa kerajaan perlu memahami segala permasalahan rakyat dan cuba mencari jalan terbaik untuk mengatasinya dalam istilah mudahnya ialah memahami denyut nadi rakyat.

Menurutnya, mengambil satu contoh, dari aspek ekonomi, sekiranya berlaku bebanan terhadap ekonomi negara kedua-dua pihak sama ada daripada pemimpin mahupun rakyat perlu sama-sama memikul bebanan tersebut, agar tidak timbul istilah ‘berat sebelah’, atau hanya satu pihak sahaja yang terpaksa menanggung beban tersebut.

“Bagi saya pemimpin jangan hanya pandai melepaskan diri mereka sahaja, cuba fahami masalah rakyat.

“Setiap bebanan negara itu dipikul bersama, jangan hanya rakyat yang terpaksa menanggung sengsara tetapi pemimpin selesa.

“…oleh itu saya sangat kecewa sekiranya pemimpin memberi aspirasi palsu kepada rakyat, bagi saya rakyat tidak tuntut lebih, tetapi mereka hanya mahukan sedikit ruang untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online hari ini.

Menggulas lanjut, Agus menegaskan pemimpin yang tidak mempunyai ‘jiwa rakyat’ pasti akan ditolak oleh rakyat kelak.

“Ingatlah pemimpin jangan sampai satu hari nanti kamu ditolak oleh rakyat, dek kerana sikap kamu yang tidak pernah memahami denyut nadi rakyat.

“Setiap persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat itu perlu difahami dan dijawab sebaik mungkin, bukan dibalas dengan jawapan yang seolah-olah memandulkan rakyat,” tegasnya.

Hari ini dalam satu kenyataan, Nur Jazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan BN perlu memahami denyut nadi agar tidak ditolak oleh rakyat dalam PRU yang akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan