Penganalisis berpendapat langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan sektor awam melalui 11 langkah bermula 1 Januari ini, dilihat sebagai usaha memulihkan imej kerajaan di mata rakyat.
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, langkah mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri akan beri kesan positif kepada kerajaan.
Bagaimanapun, tindakan mengurangkan elaun keraian lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas pula, dijangka beri reaksi berbeza di kalangan penjawat awam elit.
"Langkah ini adalah satu usaha untuk kurangkan kos perbelanjaan yang dijangka menyumbang kepada ekonomi negara yang lebih baik.
"Ini sudah pasti akan beri imej positif di mata rakyat terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, langkah seterusnya untuk kerajaan mengambil semula hati rakyat yang dibebani dengan isu kenaikan, adalah memberi penjelasan berhubung langkah kerajaan membantu rakyat.
Menurutnya, kelemahan kerajaan adalah gagal berkomunikasi baik kepada rakyat.
"Ini ditambah dengan sentimen dimainkan pembangkang, kerana PR sekarang gabungan kuat. Oleh itu, kerajaan gagal tangani isu ini dengan baik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan