Kerajaan akan membuat beberapa pindaan ke atas Akta 118 Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Perlesenan) 1966 bagi memastikan masalah projek perumahan swasta terbengkalai tidak berulang, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohd Sadique berkata, langkah tersebut perlu kerana masalah ini bukan sahaja menyusahkan pembeli, malahan kerajaan terpaksa mengeluarkan dana bagi menyelamatkan projek perumahan terbengkalai.
"Kerajaan, melalui Jabatan Perumahan Negara, akan mengenal pasti pemaju-pemaju yang berkeupayaan dan berpengalaman untuk mengambil alih pemulihan projek perumahan swasta yang terbengkalai.
"Juga melalui pindaan ini, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar kompaun daripada RM20,000 kepada RM50,000 ke atas pemaju yang tidak mematuhi peruntukan dan peraturan seperti yang terkandung dalam Akta 118," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Ahamat@Ahamad Yusop di persidangan Dewan Negara di sini.
Selain itu, Halimah berkata, kerajaan akan terus komited dalam melaksanakan pemulihan projek yang terbengkalai, termasuk memberi keutamaan dalam pemberian dana untuk projek yang melibatkan perumahan kos rendah dan sederhana rendah.
Terdahulu, menjawab soalan asal Senator Chandra Mohan S. Thambirajah, Halimah berkata dari tempoh 2009 hingga tahun ini, kementerian telah mengisytiharkan 205 projek perumahan swasta sebagai terbengkalai.
Untuk keseluruhan di Semenanjung, dari 205 projek terbengkalai dengan 56,785 rumah terlibat, sebanyak 142 berjaya dipulihkan semula, 39 masih dalam pembinaan manakala 24 lagi dalam perancangan untuk pemulihan semula, katanya.
Menurut perincian yang beliau berikan, Selangor mendahului dengan 59 projek merangkumi 24,118 buah rumah, Johor 42 projek (8,661 rumah), Negeri Sembilan dengan 24 projek (4,005 rumah), Pulau Pinang dengan 14 projek (6,053 rumah) dan Kedah, 14 projek (2,750 rumah).
"Kementerian akan terus mengumpul maklumat dan melaksanakan kajian pemulihan dalam tempoh tiga hingga enam bulan.
"Proses kerja tersebut akan melibatkan usaha mendapatkan pemaju penyelamat, proses pengambilalihan projek oleh pemaju penyelamat dan proses pemulihan projek sehingga siap dengan Sijil Layak Menduduki (CFO)," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan