Halaman

Khamis, 12 Disember 2013

Kesedaran pentingnya insurans meningkat

JUMLAH Bumiputera mendapatkan pelindungan insurans semakin meningkat kepada 95 peratus daripada 90,000 pemegang polisi insurans Great Eastern Takaful Berhad (GETB).


Ketua Pegawai Eksekutifnya Zafri Ab Halim berkata, angka itu meningkat dengan mendadak daripada 20,000 pemegang polisi pada tahun lalu.

“Meskipun angka ini menunjukkan peningkatan bagi golongan bumiputera Melayu, tahap kesedaran mengenai kepentingan mendapatkan pelindungan insurans masih rendah.

"Sehubungan dengan itu, syarikat insurans takaful seharusnya memainkan peranan lebih agresif untuk menarik lebih ramai golongan Bumiputera mendapatkan pelindungan takaful," katanya selepas mengumumkan prestasi perniagaan GETB bagi 2013 di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, GETB turut menawarkan pakej pelindungan serendah RM25 seorang.

Bagaimanapun, masih ramai masyarakat terutama di kawasan luar bandar yang berpendapatan di bawah RM3,000 tidak mempunyai kapasiti untuk mendapatkan pelindungan insurans.

Katanya, berdasarkan jumlah penduduk di Malaysia yang melebihi 29 juta orang dengan golongan Bumiputera Melayu meliputi lebih 50 peratus daripada jumlah itu, GETB menjangkakan lebih ramai pemegang polisi dapat ditarik sekali gus meningkatkan jumlah pemegang polisi tahun depan.

Pada majlis itu, GETB  mengumumkan jumlah sumbangan berjajar sebanyak 189 peratus untuk suku ketiga 2013 berbanding suku sama tahun lalu, dengan sasaran perniagaan menduduki tangga ke empat dalam industri insurans berbanding lapan tahun lalu.

“Peningkatan pencapaian ini disebabkan peningkatan kadar pasaran sebanyak 10 peratus bagi tahun ini yang disumbangkan oleh saluran agensi korporat.

“Bahagian Bancatakaful turut menyumbang dalam perniagaan baharu dengan termeterainya jalinan perniagaan dengan beberapa bank,” katanya.

Bagi 2014, GETB berhasrat mempelbagaikan jangkauan pengedaran melalui bahagian perniagaan alternatif dan membangunkan Bancatakaful serta takaful berkelompok, selain meningkatkan pengendalian operasi, membangunkan serta melancarkan produk inovatif untuk pasaran masyarakat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan