Halaman

Khamis, 12 Disember 2013

Usah guna Wikileaks nilai TPP

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik TPP


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menggesa rakyat Malaysia supaya tidak menjadikan laporan Wikileaks sebagai asas penilaian mereka mengenai rundingan Perjanjian Trans-Pasifik (TPP).

"Perundingan yang sedang dijalankan oleh kerajaan dengan pelbagai pemegang kepentingan patut dijadikan sumber rujukan mengenai pendirian Malaysia berbanding pendedahan yang dilaporkan oleh Wikileaks," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mustapa kini menghadiri Mesyuarat TPP peringkat menteri yang berlangsung hari ini hingga 10 Dis. 

Mustapa juga mengulangi bahawa selepas rundingan TPP dimuktamadkan, teks itu akan dibentangkan di Parlimen untuk perbahasan. 

Tujuan mesyuarat peringkat menteri itu ialah untuk mendapatkan status terkini rundingan sejak Mesyuarat Pemimpin TPP Bali pada Oktober 2013 serta memberi panduan mengenai kompromi yang diperlukan bagi membolehkan perunding mengatasi isu-isu yang masih tertunggak dalam bab-bab tertentu.

Beliau berkata pemimpin di Bali membuat keputusan untuk memuktamadkan rundingan TPP menjelang akhir tahun, namun ia didapati tidak dapat dicapai, dan walaupun ada kemajuan, jurang yang luas masih kekal dalam banyak bab yang memerlukan rundingan lanjut.

Mengenai perusahaan milik negara, alam sekitar, hak harta intelek (IPR) dan akses pasaran, menteri itu berkata banyak isu-isu yang masih tertangguh dan perunding telah ditugaskan untuk mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata Malaysia terus berunding berdasarkan mandat yang diberikan oleh Kabinet. 

"Di Singapura, Malaysia telah menonjolkan kebimbangan khusus dan sensitiviti dalam bidang perolehan kerajaan, perusahaan milik negara, isu-isu Bumiputera, IPR, alam sekitar dan ISDS (penyelesaian pertikaian pelabur negeri) serta perlunya fleksibiliti termasuk tempoh peralihan dan komitmen khusus negara," katanya.

Mustapa berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan anggota TPP lain berhubung fleksibiliti dengan lebih terperinci.    

Dalam rundingan akses pasaran, beliau berkata terdapat beberapa penambahbaikan dalam tawaran kepada anggota TPP namun Malaysia akan terus mendapatkan pakej yang lebih baik.

Menteri itu berkata Malaysia akan meneruskan proses dalam negeri seperti penglibatan dan perundingan dengan Kaukus Parlimen, masyarakat awam dan pemegang kepentingan lain untuk berkongsi pendirian Kerajaan dalam pelbagai isu. 

Mustapa berkata masih banyak kerja yang perlu dilakukan oleh perunding sebelum rundingan boleh dimuktamadkan.    

"Perunding kini menyediakan jadual kerja berhubung rundingan TPP," katanya.

Negara anggota TPP terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat, Singapura, Jepun dan Vietnam. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan