Halaman

Khamis, 12 Disember 2013

Tekanan terhadap kita wajar diambil positif, jangan merungut tak menentu – Aspan Alias

Keadaan politik semakin hari semakin rumit walaupun telah melalui pemilihan dalam pilihan raya lalu. Tidak ada perkara yang tidak dipertengkarkan dan tiada pula penyelesaiannya sehingga hari ini. Kita mengharapkan selepas sahaja pilihan raya lalu semuanya akan kembali teratur dan tidak menyemakkan pemikiran orang ramai lagi. Tetapi ia masih menjadi masalah kerana semua pihak menjadikan semua perkara sebagai masalah.
Tiada satu pihak pun yang berasa aman kerana setiap hari ada sahaja isu yang berbangkit dan menjadi polemik politik rakyat. Kita mesti memahami yang hidup kita bermasyarakat. Apabila hidup bermasyarakat, kita tidak boleh bebas dalam semua hal kerana kita perlu memahami perasaan semua pihak dan tidak boleh melakukan semua perkara sesuka hati.
Negara kita telah diabaikan sebegitu lama kerana menumpukan hanya kepada pembangunan fisikal yang dianggap satu-satunya cara untuk ‘nation building’. Apabila terbangun bangunan yang tinggi-tinggi dan jambatan yang panjang-panjang itu dianggapnya mencukupi untuk membangunkan sesebuah negara.
Pembangunan insan yang berkualiti diabaikan, perhubungan diantara kaum bukan sahaja dibiarkan merosot malahan isu perkauman dimainkan kerana politik bangsa-bangsa mereka sendiri yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak yang bertentangan. Pihak yang memerintah pula memainkan isu perkauman untuk menuntut bangsanya bersatu dan sentiasa menakut-nakutkan orang Melayu tentang bahayanya ‘invasions’ bangsa lain dalam ekonomi dan politik.
Di pihak yang lain dari pembangkang pula tidak bercakap secara terbuka memainkan isu perkauman mereka tetapi memainkannya dengan senyap untuk mengaut segala-galanya melalui tindakan halus yang sangat merbahaya dan menakutkan bangsa lain. Mereka tidak mahu mengikut semangat kebangsaan negara dan tidak mengikuti dalam membina  semangat perpaduan yang akan menyatukan negara sebagai matlamat ‘ultimate’ kita semua.
Khairy telah menyebutnya dalam ucapan beliau dalam perhimpunan agung Umno baru-baru ini yang menuduh syarikat-syarikat bukan Melayu tidak gemar mengambil bangsa Melayu sebagai kakitangan pengurusan syarikat mereka. Syarikat-syarikat ini menyekat penglibatan orang Melayu dalam ‘conglomerates’ mereka dengan menekan kemahiran berbahasa mandarin sebagai syarat untuk berkerja dalam syarikat mereka. Kita boleh melihat buktinya jika kita meneliti iklan-iklan peluang perkerjaan dalam akhbar-akhbar tempatan kita.
Umno tidak mengambil perhatian dalam isu ini, dan tidak ramai pun yang sedar tentang berlakunya perkara sebegini dalam negara kita, dan ini adalah satu fenomena baru dalam industri pekerjaan-pekerjaan di negara ini.
Umno sepatutnya menjadikan tindakan negatif bangsa bukan Melayu ini sebagai cabaran dan mengusahakan dalam membentuk dasar yang boleh membina bangsa Melayu yang diperjuangkannya dengan menjadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa yang wajib lulus atau setidak-tidaknya menjadi mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh semua bangsa termasuk bangsa Melayu di samping mengekalkan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan kita.
Umno sepatutnya menerima ini sebagai cabaran dan untuk kebaikan bangsa Melayu yang lebih progresif dari memendam rasa sedih dan pilu kerana ‘apa yang orang Cina buat kepada mereka’. Tidak berhenti memekik tetapi tidak pula mahu menambah kekuatan dengan ilmu tambahan seperti memahirkan diri berbahasa Mandarin ini.
Walaupun tindakan kaum itu boleh diandaikan sebagai ‘insubordination’ terhadap dasar kerajaan negara kita, orang Melayu pimpinan Umno wajar mengambilnya sebagai cabaran untuk kebaikan bangsanya sendiri bukanya mundar mandir dengan marah-marah.
Apa yang disebut Khairy dalam Perhimpunan itu ada kebenarannya yang jelas. Tetapi Khairy mesti berusaha untuk menjadikan isu ini sebagai peluang untuk memperbaiki orang Melayu, khususnya yang muda-muda untuk meningkatkan penguasaan orang Melayu dalam bahasa Mandarin ini.
Orang muda mungkin tidak melihat bagaimana orang Cina sangat tidak berpuas hati apabila bahasa Melayu ini dijadikan bahasa wajib dalam sekolah-sekolah kebangsaan dan menjadi syarat lulus untuk mendapatkan sijil persekolahan mereka. Tetapi dalam mereka tidak berpuas hati mereka mengambil cabaran ini dan dalam masa kurang dari sedekad anak-anak muda bangsa Cina telah mahir dalam bahasa Melayu dan telah menyaingi malahan melebihi pencapaian dalam bahasa Melayu ini dari orang melayu sendiri.
Cucu saya sendiri mengambil ‘tuition’ bahasa melayu dengan seorang guru dari bangsa Cina. Inilah cabaran bagi orang Melayu untuk bersaing bukannya untuk merungut dan merasa rendah diri sehinggakan memekik kehulu kehilir memainkan sentimen perkauman yang menebal.
Kita belajarlah secara beransur-ansur dan tidak perlu bergegas jika tiada kemampuan untuk bergegas itu. Kata orang tua-tua, ‘kerja beransur tidak bertahan’. Ia akan tetap mendapat kejayaan.
Kepada mereka yang berebut-rebut hendak kuasa itu, buatlah kerja dan penuhi tanggungjawab setelah mendapat kuasa dan tempat yang tinggi itu. Jangan pula menjadi dedalu yang hanya hidup diatas kesusahan dan pengorbanan orang lain. – aspanaliasnet.blogspot.com, 11 Disember, 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan