Halaman

Khamis, 12 Disember 2013

Nasihat kepada Majlis Keselamatan Negara – Kolar Putih

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas respons yang diberikan terhadap surat terbuka Nur Adilla Abd Rahim. Namun, tindakan MKN memberi respons secara bentuk rencana bukan tindakan perhubungan raya (public relations) yang tepat.
Sebagai salah sebuah agensi Kerajaan, MKN sepatutnya mengeluarkan kenyataan akhbar secara rasmi sahaja dan bukannya panjang berjela dan terperinci seperti jawapan Parlimen yang dijawab oleh menteri atau timbalan menteri.
Respons terperinci yang diberikan adalah baik namun ia terdedah kepada keburukan yakni orang ramai boleh mempersoalkan setiap perincian yang diberikan. Adalah lebih baik selepas ini MKN mengeluarkan kenyataan yang lebih umum, ringkas dan padat.
Oleh kerana MKN telah memberikan respons yang terperinci, izinkan penulis untuk mengutarakan beberapa persoalan dan pendapat penulis terhadap setiap hujah MKN.
Kenyataan MKN bahawa sistem pengurusan bencana di Malaysia setaraf dengan sistem antarabangsa seperti badan-badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah pengiktirafan badan-badan tersebut ataupun PBB sendiri, ataupun hanya pengiktirirafan diri sendiri oleh MKN?
Seterusnya, kenyataan MKN bahawa hasil post-mortem pengurusan banjir bagi musim tengkujuh lalu digunakan bagi memperbaiki kelemahan. Bolehkah hasil post-mortem ini didedahkan/dibentangkan kepada umum supaya lebih banyak input/idea jalan penyelesaian yang tuntas boleh diberikan?
Selain itu, tindakan MKN dengan hanya menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa di peringkat pusat mahupun negeri adalah tidak mencukupi, malah adalah tindakan lapuk. Jika semua jawatankuasa ini gagal, maka sebuah lagi jawatankuasa akan ditubuhkan untuk menyiasat kegagalan jawatankuasa-jawatankuasa sedia ada. Ini pendekatan lapuk.
Dalam hal ini, MKN seharusnya menyahut seruan Perdana Menteri. Dalam Program Transformasi Kerajaan, YAB Perdana Menteri telah memperkenalkan apa yang dipanggil sebagai makmal, yakni pendekatan yang lebih radikal untuk mencapai outcome maksima dalam masa yang singkat. Maka, MKN perlu mengubah pendekatan lapuk kepada pendekatan terkini dan inilah yang dinamakan transformasi.
Di dalam respons MKN, Nur Adilla Abd Rahim telah disarankan oleh MKN supaya sedar terhadap cabaran yang dihadapi oleh MKN dalam berdepan cuaca yang ekstrem. Sepatutnya MKN dan agensi lain yang terlibat yang perlu sedar mengenai perkara ini dengan mewujudkan Pelan A, Pelan B mahupun Pelan C.
Alasan bahawa rekod cerapan hujan tiga kali ganda dan sebagainya tidak boleh digunapakai. Walaupun ia adalah fakta, namun rakyat tidak mahu hanya mendengar alasan daripada MKN.
Apa yang rakyat mahukan adalah apakah jalan penyelesaian sekiranya rekod cerapan hujan mencatat kadar yang sama pada tahun hadapan? Mohon pihak MKN berikan jawapan mengenai perkara ini.
Akhir sekali, MKN turut menyatakan bahawa di negara Jepun, semua pihak akan meletakkan perbezaan ideologi politik untuk menangani krisis bencana alam. Persoalannya, apakah mesej yang MKN cuba sampaikan? Adakah dengan kenyataan ini bermakna MKN mengakui bahawa di Malaysia bantuan bencana alam dilakukan dalam perspektif politik?
Dengan pendekatan terkini MKN yang memberi respons secara terperinci, penulis berharap semoga MKN dapat menjawab segala persoalan yang telah diutarakan ini. Jika tidak, ubahlah pendekatan dengan mengamalkan perhubungan raya yang lebih baik dan praktikal. Mungkin mewujudkan ruang ‘Kenyataan Akhbar’ di laman web rasmi MKN (www.mkn.gov.my/‎) adalah langkah permulaan yang bijak. Saya mencadangkan. – 11 Disember, 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan