Perbicaraan pasangan kontroversi, Alvin Tan Jee Yee dan Vivian Lee May Ling atas tuduhan mempersenda umat Islam dalam laman Facebook, akan diteruskan di Mahkamah Sesyen, di sini.
Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Kamardin Hashim semalam menolak permohonan penangguhan kes itu selepas mendengar hujahan dan meneliti afidavit dikemukakan peguam pasangan berkenaan, J T Chong, atas hujah alasan dikemukakan pemohon tidak mencukupi untuk mahkamah membenarkan permohonan itu.
Taktik lewatkan kes
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan mahkamah bahawa tiada keadaan khas dalam permohonan itu bagi membolehkan perbicaraan ditangguhkan, sebaliknya ia dianggap taktik untuk melengah-lengahkan prosiding di Mahkamah Sesyen kerana tarikh perbicaraan sudah ditetapkan tiga hari bermula 8 Januari ini.
Bagaimanapun, Chong berkata, sekiranya mahkamah meneruskan perbicaraan tanpa menunggu keputusan Mahkamah Rayuan, ia akan menimbulkan prejudis terhadap anak guamnya, jika keputusan perbicaraan di Mahkamah Sesyen tidak memihak mereka.
Pasangan itu sebelum ini memohon penangguhan perbicaraan di Mahkamah Sesyen sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang menolak permohonan membatalkan pertuduhan ke atas mereka.
Pada 21 November lalu, Mahkamah Tinggi yang sama menolak permohonan Alvin, 25, dan Vivian, 24, atas hujah tuduhan ke atas pasangan berkenaan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan adalah sah dan teratur serta terpakai ke atas penganut agama lain, selain Islam.
Mengaku tak bersalah
Pasangan itu mengaku tidak bersalah menerbitkan penerbitan menghasut dalam laman sosial Facebook, iaitu satu kandungan gambar dan komen bertajuk ‘Selamat Berbuka Puasa (dengan) Bak Kut Teh, Wangi, Enak dan Menyelerakan’, yang mengandungi logo halal.
Mereka juga mohon dibicarakan atas tuduhan kedua, iaitu mempamerkan gambar lucah dan tuduhan ketiga, memuat naik dalam laman Facebook sama, satu kandungan yang mana perbuatan berkenaan mungkin menyebabkan perasaan permusuhan di atas alasan agama dan di antara orang yang menganut agama berlainan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan