Halaman

Sabtu, 21 Disember 2013

Cucuk air tulang belakang? (Lumbar puncture)

Cucuk air tulang belakang? (Lumbar puncture)


Cucuk air tulang belakang? 
Kenapa doktor suka ambil air tulang belakang?  Boleh lumpuh kan?
Itulah reaksi yang sering doktor-doktor di Malaysia dapati apabila meminta keizinan untuk mengambil air tulang belakang, atau nama Inggerisnya, lumbar puncture. 
Sebenarnya mengambil air tulang belakang ini bukan suka-suka.  Prosesnya rumit sedikit dan ia hanya dilakukan jika pesakit betul-betul memerlukannya. 
Antara kegunaannya ialah diagnosa penyakit meningitis (infeksi selaput otak).  Meningitis disebabkan bakteria, virus atau fungi.  Simptom penyakit meningitis juga tidak spesifik: ia hampir sama seperti demam biasa.  Pesakit dewasa akan mengalami demam,  pening kepala, sakit badan dan sendi dan berperangai tidak seperti biasa.  Semakin lama penyakit ini tidak diubati, pesakit tidak suka cahaya terang (photophobia), sawan, ruam (jika berpunca dari bakteria Meningococcus) dan seterusnya koma.  Pesakit bayi dan kanak-kanak kecil lebih susah untuk didiagnosa kerana mereka tidak boleh mengadu kesakitan mereka.  Mereka juga lebih senang dijangkiti meningitis.  Oleh itu, mana-mana pesakit yang disyaki mengalami meningitis terutamanya bayi dan kanak-kanak perlu diuji air tulang belakangnya.  Air tulang belakang ini akan dikaji komposisinya dan dikultur untuk virus, bakteria dan fungi.
Pesakit akan dibaringkan secara mengiring di sebelah kiri.  Belakangnya akan berada di hujung katil; kedua lututnya dibengkokkan sepenuhnya ke dada.  Ini supaya ruang kecil antara tulang belakang bahagian lumbar terbuka.
(Gambar di atas menunjukkan LI ke LV = lumbar 1 hingga lumbar 5.  Perhatikan bahawa saraf tunjang berakhir di Lumbar 2.  Lumbar puncture dilakukan antara lumbar 3 dan lumbar 4.  Ini bermakna lumbar puncture mempunyai risiko yang kecil sahaja untuk memberi efek kepada sistem saraf tunjang. Sumber dari Gray's Anatomy)

Kemudian doktor akan merasa tulang belakang bahagian lumbar pesakit.  Ruang kecil antara tulang lumbar lumbar ketiga dan keempat ialah tempat di mana doktor akan mencucuk untuk air tulang belakang. 
Seterusnya doktor akan mencuci tangan, memakai sarung tangan steril dan mencuci tempat untuk lumbar puncture supaya steril. 
Ubat bius akan disuntik di bawah kulit di kawasan lumbar puncture tersebut.  Ini supaya proses lumbar puncture kurang sakit.
Kemudian, jarum lumbar puncture dimasukkan di ruang kecil antara tulang lumbar ketiga dan keempat.  Jarum ini kecil (22G) dan mempunyai dua komponen jarum: satu jarum mempunyai lubang kecil dan di dalam lubang itu ada satu lagi jarum biasa (supaya lebih senang melakukan lumbar puncture tersebut dan mengurangkan kesakitan pesakit). 
Jarum biasa itu akan ditarik keluar apabila jarum itu telah sampai ke ruang subarachnoid.  Ruang subarachnoid inilah yang mengandungi air tulang belakang.  Apabila jarum biasa itu ditarik keluar, jarum yang berlubang itu akan mengeluarkan air tulang belakang. 
Air tulang belakang yang diperlukan tidak banyak.  Untuk pesakit dewasa, selalunya kurang daripada 5-10 ml diperlukan.
Selepas pengambilan air tulang belakang, pesakit akan diminta berbaring terlentang selama satu jam.  Ini untuk mengelakkan pening kepala selepas pengambilan air tulang belakang.
Prosedur lumbar puncture tidak terkecuali daripada komplikasi.  Pesakit boleh mengalami pening kepala dan ini boleh dielak dengan berbaring selepas prosedur.  Air tulang belakang boleh mengandungi darah (bloody tap) jika jarum terkena pada salur darah halus di tulang belakang.  Pesakit yang mempunyai fungsi darah normal tidak akan mengalami komplikasi akibat bloody tap.  Infeksi juga satu risiko lumbar puncture tetapi risiko ini kecil kerana prosedur ini dilakukan secara steril.  Saraf tulang belakang boleh mengalami iritasi (dysthesia) yang menyebabkan sensasi yang keterlaluan atau berkurangan.  Risiko ini juga kecil kerana ia boleh dielakkan jika lumbar puncture dibuat mengikut prosedur yang betul.
Tahukah anda prosedur bius tulang belakang (spinal anaesthesia) sebelum pembedahan Caesarean juga mempunyai basis yang sama dengan lumbar puncture?  Bezanya ialah dengan bius tulang belakang, ubat bius akan disuntik terus ke ruang subarachnoid selepas beberapa ml air tulang belakang (sama dengan amount ubat bius) dikeluarkan.  Manakala lumbar puncture hanya mengeluarkan air tulang belakang dan tidak memasukkan ubat ke dalam tulang belakang.
Kesimpulannya, jangan takut dengan pernyataan “ambil air tulang belakang.”  Jika dibuat perbandingan, meningitis lebih jauh berkemungkinan tinggi untuk menyebabkan seseorang lumpuh jika tidak dirawat dengan cepat.

Rujukan:

1. Longmore M, Wilkinson I, Torok E.  Oxford Handbook of Clinical Medicine 5th ed, 2001.
2.Schlamovitz G.  Lumbar Puncture. EMedicine.http://emedicine.medscape.com/article/80773-overview 29 March 2011.
3. Gray, H. Anatomy of the Human Body. Philadelphia: Lea & Febiger, 1918; Bartleby.com, 2000. www.bartleby.com/107/.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan