Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata satu mekanisme sedang diteliti termasuk memperkenalkan kadar waktu puncak dan pas bermusim untuk mengurangkan beban mereka yang menggunakan lebih raya tol setiap hari.
Kadar rendah pengguna harian
“Kalau tol naik mungkin ada kadar peak hours (waktu puncak) atau season pass (pas bermusim) bagi mereka yang guna tiap-tiap hari. Mungkin kita akan beri kadar yang lebih rendah atau murah.
“Prinsipnya sekarang kita tidak dapat elakkan (kenaikan), malah jalan dan lebuh raya di negara ini berstatus negara maju yang memerlukan pembiayaan tertentu... kalau tol naik, kita akan cari jalan untuk imbang kesannya kepada rakyat,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir Peringkat Nasional dan Penghargaan Kepada Sukarelawan, di Masjid Abu Bakar, di sini semalam.
Kerajaan prihatin
Najib juga menegaskan, kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan rakyat dan sentiasa mencari jalan untuk melindungi mereka walaupun terpaksa menaikkan kadar tol dan tarif elektrik.
“Jangan fikir kerajaan tidak prihatin kepada rakyat walaupun sekarang banyak pihak membicarakan soal kenaikan tol, elektrik dan sebagainya. Perkara ini amat sukar untuk tidak dilaksanakan kerana implikasinya boleh jejaskan ekonomi negara, malah rakyat akan menanggung kesusahan yang lebih sebenarnya.
“Meskipun kenaikan ini akan kita laksanakan, kerajaan akan sentiasa mencari jalan melindungi rakyat dan mengurangkan kesannya kepada rakyat.
Subsidi kekal
“Hakikatnya, kerajaan masih menyediakan subsidi berjumlah RM42 bilion tahun depan untuk rakyat dan jumlahnya bukan sedikit yang hampir bersamaan dengan jumlah peruntukan pembangunan berjumlah RM49 bilion,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan