Halaman

Sabtu, 21 Disember 2013

Pegawai negeri dilantik ejen SPRM

 Kerajaan Melaka akan melantik pegawainya sebagai ejen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di 10 jabatan dan agensi awam serta sebuah persatuan sukan di negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pegawai terbabit bakal dikenali sebagai ketua pegawai eksekutif integriti (CEIO) dengan calon dipilih dari jabatan, agensi serta persatuan berkenaan sendiri untuk latihan bersama SPRM bagi mendapatkan sijil perakuan sebelum memulakan tugas, dijangka Januari ini. 

Pantau kakitangan 



“Selesai latihan di SPRM, semua CEIO ini akan ditempatkan di jabatan lain, bukan tempat asal mereka bertugas. Tanggungjawab mereka adalah untuk mendidik dan memantau kakitangan jabatan atau agensi berkenaan dengan integriti,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan pentadbiran Kerajaan Melaka di Seri Negeri, semalam turut menyaksikan wakil kakitangan 10 jabatan dan agensi awam serta persatuan sukan berkenaan melafazkan ikrar integriti mereka. 

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad; EXCO kerajaan negeri; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Naim Abu Bakar. 
Idris berkata, usaha itu antara pendekatan baru diperkenalkan kerajaan negeri mulai tahun depan bagi meningkatkan integriti anggota perkhidmatan awam Melaka, selain memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua bilik pegawai di Pejabat Ketua Menteri termasuk setiausaha politik, setiausaha perhubungan, setiausaha sulit dan pegawai khas. 


Daftar semua hadiah 

“Selain itu, diwajibkan mendaftar semua hadiah atau cenderahati bersifat rasmi yang diterima pejabat Ketua Menteri dan melarang mana-mana pasangan suami isteri yang bekerja di bawah satu jabatan atau agensi, memohon kontrak kerajaan negeri. 

“Kita juga melakukan audit dalaman dan luaran ke atas semua jabatan serta agensi kerajaan negeri sebelum laporan diserahkan kepada SPRM untuk penilaian. 
Ini langkah pertama kita ke arah suasana kerja penuh ketelusan serta integriti dan kita berbangga kerana ia yang pertama dilakukan secara sekali gus di negara ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan