Presiden baharu MCA yang akan dipilih esok memikul tugas penting untuk merancang masa depan parti itu, termasuk menentukan kedudukannya sebagai wakil masyarakat Cina dan dalam Barisan Nasional (BN).
Penganalisis politik Khoo Kay Peng berpendapat presiden baharu ini perlu mencari jalan untuk mengubah nasib MCA dengan menggali hingga ke dasar masalah yang menyebabkan parti itu kehilangan banyak sokongan daripada masyarakat Cina.
"Pemimpin baharu ini bersama barisan kepimpinannya mempunyai tugas untuk menyelamatkan imej MCA dan meyakinkan pengundi Cina tentang kedudukannya dalam BN," katanya kepada Bernama.
Pemilihan esok akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara bekas presiden Datuk Seri Ong Tee Keat, timbalan presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai dan naib presiden Gan Ping Sieu bagi jawatan presiden.
Peramal politik Tang Ah Chai pula menyeru presiden baharu ini supaya menetapkan arah tuju MCA dalam melakukan perubahan dan menyegarkan kembali parti itu setelah mengalami keputusan tidak menggembirakan pada pilihan raya umum 5 Mei.
"Tidak kira siapa pun yang dipilih sebagai presiden MCA, beliau perlu menebus maruah anggota parti itu dan maruah MCA sendiri.
"Beliau perlu memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan mendapatkan kembali kepercayaan serta rasa hormat masyarakat Cina," kata bekas timbalan pengarah Pusat Pengajian Cina Malaysia ini.
Ketika menyuarakan pendapat serupa, pensyarah kanan Sekolah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata sesiapa pun yang dipilih sebagai presiden, beliau perlulah mencari platform yang boleh menyatukan kembali pelbagai puak dalam parti itu, demi kebaikan masyarakat Cina.
Selain jawatan presiden, pemilihan kali ini juga menjadi tumpuan untuk jawatan timbalan presiden, empat naib presiden dan 25 anggota jawatankuasa pusat.
Seramai 2,385 anggota perwakilan akan mengundi esok.
Bekas Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan naib presiden Datuk Donald Lim Siang Chai akan terlibat dalam pertandingan satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden.
Sembilan calon pula akan bertanding jawatan naib presiden, manakala 58 merebut 25 kerusi jawatankuasa pusat. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan