Halaman

Selasa, 24 Disember 2013

Apa jadi dengan pendidikan kita?

DITAKDIRKAN ketika Safiyah berumur sekitar lima tahun soalan yang ditanyakan kepada mamanya; selain soalan lazim seperti “mama buat apa di Parlimen; atau kenapa ceramah selalu kena malam-malam?;” adalah soalan, “Siapa yang cipta telefon atau piano? Takde ke orang Malaysia?”

Begitulah persoalan Safiyah yang seharusnya ditanyakan oleh kita semua. Begitulah kita - yang bernaung di tempat lahirnya Kesultanan Melaka; pelabuhan yang menemukan seantero dunia; namun terhad buah fikirannya hinggakan hadiah Nobel yang sudah pun dimenangi negara seperti Bangladesh, bukan sahaja tidak mampu disebut oleh bibir, jauh terlintas di benak fikiran.

Negara kita kaya dengan hasil bumi yang tidak pernah putus - bijih timah, kelapa sawit, getah, kayu balak dan terkini minyak dan gas. Daripada Petronas sahaja sejak 1974 sehingga kini telah menyumbang sejumlah RM732 bilion kepada negara.

Berapakah yang telah disalurkan kepada dana pendidikan negara? Daripada jumlah besar itu, berapa pulakah yang disalurkan kepada pembangunan guru-guru dan anak murid selain bilion wang untuk infrastruktur dan projek-projek yang penuh ketirisian?

Dalam mengambil mana-mana pendekatan drastik, kerajaan memerlukan perancangan serta kajian yang rapi sebelum ia dilaksanakan di semua sekolah di Malaysia. Saya merujuk penulisan Majalah Saintifik Malaysia yang menyimpulkan: Harus adanya lebih banyak keterbukaan dari segi perkembangan inisiatif dasar; termasuklah dalam mewujudkan kumpulan inkuiri yang independen dengan kaji selidik yang berkala. Bluprin yang disedia  harus diganding dengan sasaran masa pelaksanaan yang jelas untuk memantau keberkesanan pelaksanaan dasar tersebut.

Ingatlah; Malaysia masih terkebelakang dalam memenuhi standard negara-negara OECD - yang punyai profil kukuh dalam pencapaian sains dan teknologi, serta keluaran ekonomi - dan negara-negara tersebut bukanlah negara di mana pengantarnya bahasa Inggeris.

Malangnya, PPSMI dilaksana sebelum kita sempat melatih serta meningkatkan keupayaan bahasa Inggeris di kalangan guru-guru.

Yang tenggelam dalam pasir jerlus ini adalah segenerasi anak-anak kita yang kini terbelakang berbanding Vietnam.

Pada 2011, TIMMS lapor kejatuhan kedudukan Malaysia untuk subjek Matematik iaitu dari 16 (1999), 10 (2003), 20 (2007), dan 26 (2011) sementara subjek Sains pula ialah 22 (1999), 20 (2003), 21 (2007), dan 32 (2011).

Kejatuhan markah purata subjek Matematik 519 (1999), 508 (2003), 474(2007) ke 440 (2011); jatuh 79 mata sementara subjek Sains iaitu 492 (1999), 501 (2003), 471 (2007) ke 426 (2011).

Menghairankan adalah kontradiksi yang diperlihatkan menerusi Laporan Lembaga Peperiksaan - rekod pelajar yang mendapat A dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut semakin meningkat dari tahun ke tahun dalam PMR. Apakah yang sebenarnya berlaku?

Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mengeluarkan laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012 mengenai prestasi pelajar Malaysia yang semakin merudum. Terkini, pelajar tingkatan 3 Malaysia setaraf dengan pelajar darjah 5 dari Singapura dan Korea Selatan! Anak-anak 15 tahun kita setaraf 10 tahun mereka!

Seberani saya mendepani realiti semasa, kendur juga hati saya mendengar pembentangan jujur daripada Saudara Frederico Gil Sander bagi pihak Bank Dunia di Universiti Malaya Isnin lepas.

Laporan Bank Dunia mengenai Kualiti Pendidikan Malaysia mendedahkan beberapa perkara. Salah satu yang positif ialah, akses kepada pendidikan di Malaysia secara puratanya amat tinggi, dengan lebih 95 peratus pelajar menerima pendidikan menengah rendah.

Malaysia juga memberikan peruntukan yang tinggi dalam nisbah KDNK berbanding negara-negara lain.

Tetapi laporan itu telah mengesahkan apa yang kita bimbangkan selama ini. PPSMI menyebabkan pencapaian pelajar Malaysia semakin merudum!

Tahun 1970, penukaran bahasa pengantar daripada Inggeris ke bahasa Melayu telah meningkatkan daya saing pelajar Melayu. Ini mungkin disebabkan penerimaan ilmu itu lebih mudah sekiranya aktiviti pengajaran dan pembelajaran dibuat dalam bahasa yang lebih difahami.

Penukaran itu juga telah meningkatkan pendapatan warga Malaysia sebanyak 4.6%, dan pekerja Melayu sebanyak 5.7%.

Pun begitu, saya tidak menidakkan peri pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Hanya tinggal kira-kira 6 tahun lagi sebelum tahun 2020. Apakah impian Malaysia jadi negara maju akan tercapai?

Bank of America Merril Lynch sudah pun meramalkan Malaysia menjadi sebuah negara yang muda dan miskin menjelang 2030. Apakah tindakan untuk membetulkan serta menidakkan ramalan ini?

Pendidikan mampu merubah segalanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan