Halaman

Selasa, 24 Disember 2013

Jaga nama baik negara: PM

Jaga nama baik negara: PM

Kejayaan lebih cemerlang boleh dicapai jika umat Islam di Malaysia kekal bersatu

Makkah: Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia mampu mencapai kejayaan lebih besar jika rakyat di luar negara sentiasa menjaga nama baik dan imej negara.

Perdana Menteri berkata, ini kerana cita-cita kerajaan menjadikan Malaysia negara Islam yang berjaya, moden dan progresif tetapi berpaksi kepada syariat Islam, terbukti berjaya dengan pembabitan rakyat di luar negara. 

Katanya, rakyat Malaysia telah membuktikan kemampuan di luar negara dengan penyertaan mereka dalam projek raksasa seperti projek pembesaran Masjidil Haram dan Menara Jam Diraja Makkah atau Abraj Al-Bait setinggi 602 meter. 



“Oleh itu, jika kita terus bersama-sama dan kekal bermuafakat dan bersatu sebagai umat Islam, sudah pasti akan mencapai kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya dalam pertemuan dengan rakyat Malaysia, di Restoran D’Saji di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Malaysia yang berada di sini atas urusan perniagaan dan mengerjakan ibadat haji atau umrah supaya menjaga nama baik dan imej negara.


Rakyat kita dihormati
“Mereka (warga Arab Saudi) di sini meletakkan kita di tangga (kedudukan) yang begitu tinggi dari segi pandangan mereka terhadap kita dan sebut saja nama Malaysia, kita dapat lihat mereka menyambut kehadiran kita dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, Arab Saudi senang hati menerima rakyat Malaysia sebab imej yang dipamerkan rakyat yang menghormati undang-undang dan peraturan negara mereka selain hubungan antara rakyat dengan rakyat.

Najib berkata, mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya.

“Oleh itu, saya harap bawa diri dengan baik dan jangan buat angkara membuatkan mereka tidak senang terhadap Malaysia dan boleh merosakkan nama baik negara.

“Dalam mencari rezeki, belajar atau mengerjakan ibadat haji, tunjukkanlah pembawaan diri yang baik dan jadikan mereka sebagai sahabat dan saudara kita dan dengan ini ia dapat memudahkan urusan pada masa akan datang,” katanya.

Restoran D’Saji jadi tumpuan

Mengenai Restoran D’Saji yang terletak berhampiran Masjidil Haram, Najib berkata perniagaan yang dikendalikan pengurusan FELDA itu berkembang dengan baik.

Pembukaan restoran itu adalah idea beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab atas pengurusan FELDA.

Beliau berkata, selain mencapai matlamat dalam perniagaan, kerajaan mahu memperkenalkan Malaysia melalui restoran itu dalam kalangan umat Islam negara lain kerana ia juga menjadi tumpuan rakyat asing.

“Restoran ini amat sesuai bagi memperkenalkan Malaysia kepada rakyat Islam negara lain. Selain matlamat perniagaan akan tercapai, pada masa yang sama imej Malaysia akan lebih terserlah melalui Restoran D’Saji ini,” katanya. - BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan