Pemilihan kepemimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) semalam menyaksikan penyandang jawatan, Mohd Khalid Atan dipilih semula sebagai presiden kesatuan itu bagi penggal 2013-2016.
Khalid mengalahkan pencabarnya yang juga bekas Setiausaha Agung, Abdul Halim Mansor selepas memperoleh 297 undi, mengatasi Abdul Halim yang mendapat 173 undi atau majoriti 124 undi.
Jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid dengan memperoleh 213 undi manakala N Gopal Krisnan dipilih Setiausaha Agung MTUC mengatasi tiga calon lain selepas mendapat 216 undi.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Pemeriksa dan Pengiraan Undi Pemilihan itu, Roy Raja Sehgaran pada jam 9.16 malam selepas lebih lima jam menunggu proses kiraan undi selesai.
Tujuh orang dipilih mengisi jawatan Naib Presiden bagi mewakili sektor awam, swasta dan berkanun. Antara yang terpilih termasuk Ahmad Helmi Ibrahim yang mewakili kesatuan sekerja di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kira-kira 501 perwakilan dari 129 kesatuan mewakili pelbagai sektor layak memilih kepemimpinan baru MTUC pada persidangan dua hari, berakhir semalam di Institut Penyelidikan, Pendidikan dan Inovasi, Universiti Malaya, di sini.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan menghantar delegasi teramai iaitu 42 perwakilan ke persidangan tahunan dan pemilihan tiga kali tahun itu.
Pemilihan kali ini juga malakar sejarah apabila buat pertama kali sejak kongres itu ditubuhkan pada 1949 menyaksikan pertandingan antara penyandang Setiausaha Agung dan presiden bagi merebut jawatan nombor satu dalam kesatuan itu.
Sebanyak 16 resolusi dibincang dan dibahas antara lainnya menyentuh mengenai pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan, penambaikan perlembagaan kesatuan serta menambahbaik kebajikan pekerja.
MTUC mempunyai keahlian kira-kira 620,000 terdiri daripada 162 kesatuan gabungan meliputi badan swasta, awam dan berkanun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan