Halaman

Selasa, 24 Disember 2013

Selesai masalah dalaman MCA

Selesai masalah dalaman MCA
Presiden MCA yang baru iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai perlu menyelesaikan masalah dalaman yang berlaku dalam parti itu sebelum memikirkan langkah seterusnya dalam pimpinan beliau.

Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berkata, ini kerana sokongan ahli MCA dilihat masih berpuak-puak antara kem Tiong Lai dan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek.

“Walaupun tidak mempertahankan jawatannya, pengaruh Soi Lek dalam MCA sangat kuat. Ini terbukti dengan kemenangan tipis Tiong Lai kepada Gan Ping Sieu yang merupakan kem Soi Lek.

“Maka, tanggungjawab berat Tiong Lai untuk memastikan masalah dalaman ini diselesaikan segera. Jika tidak, sukar untuk MCA kembali mendapatkan sokongan kaum Cina,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pemilihan MCA yang berlangsung kelmarin, Tiong Lai memperoleh 1,186 undi mengatasi Ping Sieu (1,000 undi) dan bekas presiden dan Datuk Seri Ong Tee Keat (160 undi).

Dr Azmi yang juga Geostrategis di Institut Geospatial berkata, usaha penyatuan ahli MCA akan bertambah mudah jika Tiong Lai mendapat kerjasama daripada Soi Lek sendiri.

“Semuanya bergantung pada Soi Lek sama ada mahu menghulurkan salam perdamaian atau tidak. Kemenangan anak beliau iaitu Datuk Chua Tee Yong bagi jawatan Naib Presiden mungkin boleh jadi pemangkin.

“Sekiranya Soi Lek setuju untuk berdamai, pastinya seluruh sokongan akan diberi kepada pimpinan baru MCA yang diterajui Tiong Lai,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kepimpinan baru MCA juga dilihat hanya akan bertambah kuat sekiranya mereka kembali menerima jawatan dalam Kabinet.

“MCA perlu meyakinkan masyarakat Cina bahawa sokongan kepada pembangkang hanya memberi kerugian. Ini kerana, cuma MCA mampu membawa suara kaum Cina ke dalam Kabinet.

“Maka, mereka perlu mempertimbangkan kembali resolusi parti untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam Kabinet," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan