Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggemparkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2013 apabila meminta Jakim mengambil tindakan ke atas orang nombor dua Pas kerana didakwa mengamalkan ajaran Syiah.
Menteri Dalam Negeri itu ketika sesi penggulungan PAU hari ini memberikan 'lampu hijau' kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang portfolio agama menjalankan tugasnya.
"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam Pas. Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya.
Dalam Muktamar Pas ke 59 baru-baru ini, Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berjaya mempertahankan jawatan timbalan presiden Pas.
Ahmad Zahid juga turut menggesa pemimpin Pas supaya tidak berselindung di sebalik perjuangan parti dan menyeru ahli Pas menolak ajaran sesat.
"Kita tahu pemimpin Syiah dalam Pas, parti itu perlu ketepikan politik sebegini, saya hairan bagaimana pemimpin ini boleh dilantik dalam parti.
"Saya berbesar hati jika Pas turut ikut banteras ajaran syiah, alangkah bagus Pas menunjukkan keberaniannya menolak pemimpin besar itu," katanya lagi.
Dalam pada itu, sebagai usaha membanteras ajaran sesat termasuk ajaran Syiah, beliau mencadangkan supaya Jabatan Kemajuan Agama Islam dengan kerjasama KDN menubuhkan suruhanjaya khas bagi menangani gejala tersebut.
Selain menguatkuasa Akta Pertubuhan 1966, usaha itu perlu bagi membendung ajaran sesat daripada menular di negara ini yang boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam.
"Ajaran Syiah semakin bahaya, musuh Islam ialah Syiah dan kerajaan sedang giat menanganinya dengan Jakim," katanya lagi.
Menurut portal The Malaysian Insider, Mat Sabu dalam reaksi awalnya berkata akan berbincang dengan peguamnya mengenai dakwaan Zahid itu.
“Saya tak dengar sendiri apa dia kata jadi kena bincang dengan peguam dulu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan