Pemuda UMNO sedia duduk semeja dengan Dewan Pemuda PAS, mengadakan perbincangan bersama bagi memperincikan mekanisme terbaik dalam merungkai dan menyelesaikan permasalahan kos sara hidup ditanggung rakyat.
Menyifatkan ia bukan langkah populis, Ketua Penerangannya, Jamawi Jaafar berkata cara itu lebih baik, bertanggungjawab dan menampakkan kesungguhan pemimpin sayap yang jujur dan ikhlas dalam membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah serta penduduk di luar bandar.
Beri idea
“Dewan Pemuda PAS tidak akan faham apa yang dialami kerajaan kerana mereka bukan berada di kerusi pemerintah atau kumpulan yang menguruskan kewangan negara. Ada kalanya mereka tidak jelas pun apa sebenarnya berlaku.
“Mereka kena bersama kami (Pemuda UMNO) untuk lihat dan memperincikan apa yang Pemuda boleh beri idea kepada kerajaan supaya masyarakat luar bandar tidak menerima beban peningkatan harga barang dan perkhidmatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, Jamawi membidas kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, mendakwa kononnya Barisan Nasional (BN) hanya pandai menabur janji enam bulan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) kemudian tidak diendahkan selepas itu.
Dakwaan omong kosong
Menyifatkan dakwaan itu omong kosong dan penuh dengan sandiwara politik tidak berpenghujung, beliau berkata, alasan digunakan Pemuda PAS, hujah mereka bila bertemu rakyat kena benar, sahih dan bertanggungjawab, seiring ideologi Islam parti itu.
“Jangan hanya berpolitik sehingga membelakangkan agama. Hari ini, rasionalisasi subsidi dilaksana berfokus kepada usaha mengurangkan beban subsidi ditanggung kerajaan setiap tahun, di mana jumlahnya terus meningkat.
“Kalau hari ini, kerajaan menampung subsidi lebih RM43 bilion setahun untuk pelbagai jenis barang dan perkhidmatan termasuk minyak, jika tidak diurus ia akan terus meningkat,” katanya.
Dalam isu kenaikan tarif elektrik contohnya, Ketua Pemuda Tenom ini berkata kira-kita 70 peratus pengguna di Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikannya kerana menggunakan bekalan itu di bawah RM77 sebulan dan kumpulan terkecuali ini pastinya masyarakat luar bandar dan golongan berpendapatan rendah.
Katanya, pelarasan subsidi RON95 dibuat selepas kerajaan mendapati golongan berpendapatan rendah menggunakan bahan bakar itu lebih sedikit berbanding golongan pertengahan dan atas.
“Ini memberi kesimpulan mereka yang dikategorikan mampu menerima manfaat subsidi lebih tinggi. Isu cadangan kenaikan tol juga, diberi jaminan tol PLUS (PLUS Malaysia Bhd) tidak akan dinaikkan tahun depan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan