MCA Terengganu menyambut baik kemenangan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai sebagai Presiden MCA baharu dan mengharapkan perubahan kepimpinan itu membawa masa depan lebih baik kepada parti itu.
Setiausaha MCA Terengganu, Chin Wai Sun berkata, gandingan Tiong Lai dengan timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong, mampu membawa sinar baharu kepada MCA, terutama dalam meningkatkan sokongan di kalangan orang muda.
Menurutnya, Ka Siong, yang juga bekas Ketua Pemuda MCA, mempunyai kelebihan dalam mendapatkan semula sokongan pengundi baru.
“Saya berharap kepimpinan baru dapat membuat perubahan lebih baik menjelang PRU14 kerana pengundi muda kaum Tionghoa dilihat lebih tertarik dengan pemimpin daripada kalangan muda,” katanya di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Wai Sun turut menjelaskan MCA Terengganu tidak menyokong pasukan tertentu, sebaliknya menerima sepenuh hati keputusan majoriti yang sudah dibuat perwakilan.
Sebelum ini, desas-desus parti menyatakan Tiong Lai dan juga Ka Siong dalam pasukan yang sama, manakala lawan masing-masing, iaitu bekas Naib Presiden MCA, Gan Pin Sieu dan Datuk Donald Lim Siang Chai, berada dalam pasukan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek.
“Kita di Terengganu tiada pasukan A atau B. Kita hanya satu pasukan iaitu MCA. Kita ikut pilihan majoriti perwakilan dan apa diputuskan, kita sokong 100 peratus,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan