Pertumbuhan akan disokong oleh pembaharuan fiskal berterusan, pengurangan dalam defisit bajet dan disiplin kewangan, yang menjurus kepada perkembangan ekonomi, walaupun wujud cabaran luaran.
Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd (MARC), Nor Zahidi Alias, berkata kenaikan harga barangan adalah kebimbangan utama dalam kalangan pengguna, selaras komitmen kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal.
Pertumbuhan ekonomi yang mantap tahun depan akan turut didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, persekitaran luar yang bertambah baik, serta aliran masuk pelaburan yang lebih tinggi ke dalam negara.
Angka-angka perdagangan juga menggalakkan untuk ekonomi, dengan eksport meneruskan aliran pertumbuhan pada kadar 1.6 peratus pada 2014 berikutan permintaan yang lebih baik bagi produk dan barangan elektronik.
Bank Dunia dalam laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia baru-baru ini menjangkakan pertumbuhan eksport Malaysia didorong oleh komoditi tenaga yang lebih tinggi dan pengeluaran petrokimia berikutan pelaburan baharu mula masuk.
Dagangan Januari hingga Oktober tahun ini meningkat 3.4 peratus kepada RM1.3 trilion berbanding RM1.09 trilion pada tahun lalu dengan eksport meningkat 0.9 peratus kepada RM591.8 bilion.
Sebahagian pertumbuhan itu disumbang oleh aktiviti promosi yang agresif yang dilaksanakan MATRADE.
Lima rakan niaga utama dalam tempoh itu ialah China, Singapura, Kesatuan Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat.
Ahli ekonomi juga berkata, hasil keseluruhan dijangka meningkat menerusi pengurangan subsidi bahan api dan kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa 1 Januari 2014.
Mereka berkata, ia akan memberi kesan sederhana ke atas ekonomi, dan menambah prospek perdagangan yang lebih cerah berikutan pemulihan dalam persekitaran ekonomi global, yang sepatutnya mengimbangi permintaan dalam negeri yang lemah.
Bank Dunia berkata prestasi yang lebih kukuh dalam ekonomi maju secara meluas dijangka disertai pengurangan kuantitatif AS.
Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa pembelian bon yang kini bernilai AS$85 bilion sebulan akan dikurangkan sebanyak AS$10 bilion mulai Januari 2014.
Belian bon yang juga dikenali sebagai program pelonggaran kuantitatif, dilancarkan 15 bulan lepas bagi memulakan pertumbuhan dalam ekonomi terbesar di dunia itu.
Menerusi kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Malaysia berupaya menarik beberapa projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).
ETP berjaya menarik RM220 bilion pelaburan dalam tiga tahun pelaksanaannya dan diunjurkan menyumbang RM144 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
Program transformasi negara juga telah mewujudkan 435,000 pekerjaan baru dan menjana kesan lanjutan yang akan menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi yang lebih besar dalam negara. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan