Halaman

Jumaat, 22 Mac 2013

Gelombang Merah makin diyakini

Barisan Nasional (BN) yakin dapat merampas kembali negeri ini terutamanya apabila fenomena Gelombang Merah kini mula menguasai jiwa rakyat sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri  Mustapa Mohamad berkata, Gelombang Merah yang dilancarkan sejak tiga tahun lalu seakan menjadi petanda baru kepada kebangkitan BN di sini dan mewakili rakyat yang menginginkan suara dan permintaan mereka didengar pihak yang sepatutnya.

“Gelombang Merah bermula sejak kejayaan ikon Kelantan, pasukan bola sepak negeri, The Red Warriors (TRW) meningkat naik dan menjadi ikutan kepada hampir seluruh rakyat negeri ini dan dalam masa yang sama kita turut menjadikannya sebagai salah satu slogan yang sebati dalam jiwa masyarakat semua walaupun hanya Kelantan sahaja yang menggunakan warna merah, yang lain semuanya biru,” katanya semasa Program Bicara Politik 'Gelombang Merah' semalam.

Menurutnya, BN yakin mampu menawan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang kerana rakyat kini mula sedar tentang keperluan mereka yang harus dititik beratkan oleh kerajaan yang memerintah negeri tersebut.

Beliau berkata, dengan pelbagai isu yang ditimbulkan pihak pembangkang, kini banyak pihak yang mula sedar dan nampak tentang dasar pemerintahan pembangkang yang hanya bercakap kosong dan menabur janji palsu sahaja.

“Rakyat sudah sedar dan apa yang paling membanggakan apabila banyak kumpulan ulama dari pondok-pondok di negeri ini mula membuka mata tentang isu-isu seperti penggunaan kalimah ALLAH, buku 'Amanat Haji Hadi' dan pelbagai isu lain yang sebenarnya menghakis kepercayaan mereka kepada pembangkang.

“Kelantan merupakan negeri yang kuat berpolitik, tidak kira di mana sahaja berada, dari kedai kopi sehinggalah ke dalam surau, isu politik tetap menjadi bualan utama, malah masih ada lagi yang mengamalkan hukum-hukum songsang seperti orang Umno tidak boleh dikebumikan di tanah kubur milik orang Pas, orang Pas tidak boleh bersolat di masjid yang didirikan oleh pemimpin Umno dan sebagainya.

“Perkara inilah yang kita cuba rungkaikan supaya ia tidak menjadi sesuatu yang sebati dalam jiwa masyarakat sehingga menolak Umno sebagai sebuah kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri  berkata, baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan pecah tanah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan dihadiri hampir 30,000 rakyat negeri ini yang rata-ratanya berebut untuk mendapatkan borang pemilikan rumah tersebut.

“Kita sediakan rumah dengan harga RM35,000 sahaja dan memberi insentif sebanyak RM125,000 untuk setiap rumah, ini bukan perkara main-main, ini kehendak rakyat, mereka sudah lama mengidamkan rumah kos rendah seperti itu supaya mereka tidak lagi terpaksa tinggal di sebuah rumah yang dihuni lebih dari tiga keluarga,” katanya.

'Kami sedia perang dengan Anwar di Selangor'


Pengumuman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan bertanding kerusi Parlimen sama ada di Selangor atau Perak tidak akan menggugat Barisan Nasional (BN) meneruskan perjuangan merampas Selangor.
 
Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, pihaknya mendapat sokongan penuh daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengarah Pilihan Raya BN Selangor untuk mencapai matlamat mereka itu.
 
“Soal sama ada ia menggugat (BN) atau tidak, ia tidak timbul kerana kita ada di bawah naungan Perdana Menteri yang mengurus pilihan raya di Selangor,” katanya ketika diminta mengulas berhubung pengumuman Anwar yang tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh.
 
Mohd Zin berkata, pihaknya tiada masalah jika Anwar mahu bertanding kerusi Parlimen di Selangor dan BN sentiasa bersiap sedia untuk ‘berperang’ dengan Ketua Umum PKR itu.
 
“Itu hak Anwar mahu bertanding di mana. Kita sedia berdepan dengan beliau di mana saja dia bertanding,” katanya.
 
Sementara itu, Setiausaha MCA Selangor, Wong Koon Mun mendakwa, pengumuman dibuat Anwar itu disifatkan hanyalah taktik pakatan pembangkang semata-mata memandangkan kebanyakan pemimpin mereka dilihat sering berpindah kawasan.
 
Beliau mendakwa, ia dilakukan bagi ‘menutup’ kesilapan sendiri yang jarang turun kawasan dan menjaga keperluan rakyat di sana, selepas memenangi kerusi tersebut.
 
“Sebab itu beliau (Anwar) pilih kawasan baru untuk mendapatkan imej baru. Kalau beliau teruskan juga bertanding di kawasan berkenaan, beliau akan kalah kerana rakyat sudah tidak lagi menyokongnya.
 
“Seperti juga yang berlaku pada Lim Kit Siang (Penasihat DAP) yang pergi ke tempat baru. Ia bukan perkara baru dan ini memang cara politik mereka,” katanya.

Papa Gomo pengundi hantu, dakwa PKR


Di sebalik kemelut pendedahan kes gambar dan video intim seorang lelaki mirip ketua pembangkang, Papa Gomo hari ini berdepan dakwaan dia adalah pengundi hantu.

Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris dikatakan mempunyai dua daftar pemilih iaitu sebagai pengundi pos dan pengundi biasa di kawasan Parlimen Wangsa Maju.

"Papa Gomo yang telah pun tidak lagi berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia kerana kesalahan rasuah masih lagi tersenarai sebagai pengundi pos di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

"Bukti paparan skrin bahawa Papa Gomo masih disenaraikan sebagai pengundi pos di IPD Ampang," dedah Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Papa Gomo pada minggu lalu memuatkan entri di blognya aksi mesra seorang lelaki mirip Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seorang lelaki lain.

Anwar kemudian menggesa Papa Gomo menarik balik tuduhannya dan memohon maaf.

Meskipun begitu, Papa Gomo enggan memenuhi kehendak Anwar itu di samping menegaskan beliau akan mendedahkan lebih banyak tembelang Anwar.

Akibatnya, Anwar memfailkan saman RM100 juta dan Papa Gomo pula bertindak memut naik sebahagian daripada video terbaru dalam simpanannya yang didakwa adalah Anwar. Beliau mendakwa akan mendedahkan bahagian berikutnya video berkenaan yang memuatkan aksi seks pemimpin itu.  

Namun, ketika kisah itu semakin hangat diperkatakan, PKR hari ini tampil dengan penemuan terbaru, rupanya Papa Gomo adalah pengundi hantu apabila beliau dibenarkan mengundi dua kali.

"Kehadiran pengundi-pengundi hantu seperti Papa Gomo ini perlu dijawab sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana rakyat mahu tahu berapa ramai lagi petugas Umno seperti Papa Gomo yang mempunyai pendaftaran berganda di dalam daftar pemilih?" soal Rafizi.

"Saya juga menyeru rakyat Malaysia supaya menolak individu yang bankrap moral dan akhlak seperti Papa Gomo yang bukan sahaja seorang penerima rasuah, tetapi menjadi penyebar fitnah utama di dalam masyarakat kita," tambah beliau.

Kenapa nak salahkn Papa Gomo lak, mengapa tak salahkan si Anu war  tue..