Halaman

Isnin, 25 Mac 2013

Tanding di Gelang Patah serlah sikap cauvinisme Kit Siang

Tindakan Anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang bertanding di Gelang Patah jelas menunjukkan Penasihat DAP itu seorang yang bersikap 'cauvinisme' selain cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat di kawasan berkenaan.
   
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Idris Haron berkata pemimpin DAP itu sengaja bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti kaum Cina semata-mata untuk memecahbelahkannya kepada dua kumpulan.
   
"Mereka berniat memecah belah bukan sahaja kaum Cina tetapi juga kaum lain, termasuk India dan Melayu, sebab DAP maklum Johor merupakan sebuah negeri yang rakyatnya mempunyai perpaduan antara kaum yang cukup kuat," katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Generasi Kedua Felda di Sungai Sayong hari ini.
   
Majlis disempurnakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Turut hadir Anggota Parlimen Tenggara Datuk Halimah Mohamed Sadique.
  
Mengulas lanjut, Idris yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), berkata DAP sememangnya tidak senang dengan perpaduan yang ditunjukkan kaum Cina di bawah MCA, dan kehadiran Lim adalah untuk menggoncang perpaduan itu.
   
"Sekian lama kita hidup aman dan tenteram, namun apabila mereka dapat bersekongkol dengan PKR dan Pas, mereka juga sudah berani menyentuh sensitiviti agama Islam, termasuk membangkitkan isu berhubung penggunaan kalimah Allah," katanya.
   
Sehubungan itu, beliau berkata rakyat, tanpa mengira kaum, harus bijak menilai perkara ini dan menolak kehadiran mereka.
   
"Saya percaya rakyat di Johor bijak untuk menilai yang mana satu kaca dan yang mana permata, dan bersamalah kita bersatu untuk menentang mereka yang cuba merosakkan keharmonian Johor," katanya.  - Bernama

Dah nyata yang Dap mahu menjadikan Malaysia seperti Singapura..

Menjelang PRU13: Bubar atau terbubar?

PRU13

Jelajah Janji Ditepati anjuran Barisan Nasional (BN) yang berakhir di Pahang kelmarin bukan petanda bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dalam masa terdekat.

Ramai meramalkan kemungkinan ada berita mengenai pembubaran hari ini.

Jika tidak, negara akan menyaksikan, buat pertama kali satu Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Negeri Sembilan akan terbubar secara automatik, esok, jika tidak dibubarkan seperti amalan biasa sebelum ini.

Menurut penganalisis politik, Prof Dr Chandra Muzaffar, kerajaan Malaysia tidak mengamalkan sistem pilihan raya seperti di England yang menetapkan tarikh keramat itu dalam masa tertentu.

Katanya, kerajaan lebih gemar mempraktikkan sistem spekulasi sekali gus membebankan banyak pihak khususnya rakyat kerana tidak diberikan masa yang mencukupi untuk bersedia menghadapi hari pengundian itu nanti.

“Menteri Kabinet pun tak tahu bila tarikh parlimen akan dibubarkan selepas jelajah BN terakhir semalam.

“... amalan memilih tarikh pilihan raya (hingga timbul spekulasi) di Malaysia hari ini diamalkan dalam sistem Parlimen British dulu.

“... apabila tidak nyatakan tarikh pilihan raya, menyebabkan banyak pihak tidak dapat buat perancangan dengan teratur dalam projek jangka panjang jabatan dan agensi kerajaan manakala pelaburan syarikat swasta pula terjejas.

“Ketidaktentuan tarikh pilihan raya akan merugikan masyarakat dan semua pihak,” katanya bercakap kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Chandra yang juga Presiden Just World Movement (Just) berkata, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) boleh diadakan selepas cukup empat tahun dalam satu penggal sesebuah kerajaan itu memerintah.

Malah tegasnya, kerajaan Malaysia sepatutnya menetapkan tarikh atau bulan tertentu pada tahun kelima pemerintahannya supaya semua pihak lebih bersedia menghadapi PRU13 berbanding sekarang.

“Saya tidak bersetuju dengan prinsip dan pendekatan yang diambil oleh kerajaan tentang memilih tarikh pilihan raya.

“... tarikh (PRU13) harus ditetapkan lebih awal seperti berlaku di tempat lain.

“... lebih dua tahun kita kita tunggu... kita dah penat... ini amalan kurang sihat, kita perlu ubah cara ini, sejak 2010 lagi kita dah dengar bermacam-macam spekulasi Parlimen nak bubar,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan supaya cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) Februari tahun lalu dapat membawa perubahan dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak menyifatkan Jelajah Janji Ditepati BN itu bukan penamat segala-galanya kepada kerajaan yang diterajui Najib sejak empat tahun lalu.

Mohamed Mustafa berkata, program tersebut yang sudah menjadi amalan BN itu sebagai langkah turun ke padang bertemu dan menilai tahap sokongan rakyat, sekali gus sebagai tinjauan persiapan terakhir jentera pilihan raya dan kedudukan BN menjelang PRU13.

“Pusingan turun padang PM dah lengkap dan dah tutup pun semalam di Kuantan, malah isu Sabah pula dalam kawalan.

“... saya rasa tiada lagi halangan (laksana PRU13), hanya kes di Sabah akan libatkan satu dua kawasan atau Parlimen saja, selebihnya akan adakan pilihan raya secara serentak,” katanya sambil menyifatkan Najib tidak boleh mengelak lagi daripada mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Rakyat susulan Dun Negeri Sembilan bakal berakhir esok.

Jelasnya, kerajaan BN tidak boleh menunggu beberapa lagi Dun terbubar dengan sendiri kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengumumkan tarikh pilihan raya Dun seminggu selepas ia dibubarkan dan 60 hari untuk melaksanakan pilihan raya.

Kelmarin, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melahirkan keyakinan bahawa pilihan raya melibatkan semua negeri akan diadakan serentak.

“SPR takkan nak buat pilihan raya Dun satu-persatu.

"... Dun Negeri Sembilan akan terbubar secara automatik pada 26 Mac ini, kalau ikut amalan, lepas 27 haribulan SPR kena umum (tarikh pilihan raya Dun), tak boleh biar lebih 60 hari baru nak buat.

“... ikut kebiasaan, SPR akan tetapkan tarikh pilihan raya tidak sampai satu minggu,” kata Mohamed Mustafa sambil menyakini Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri dua majlis penting pada sebelah pagi dan petang, yang tidak memberi bayangan akan ada pengumuman pembubaran.

Tetapi, apa pun boleh berlaku!

Kerajaan tak ikhlas, kata Pakatan


Pakatan Rakyat (PR) mendakwa kerajaan tidak bertindak telus dalam soal memperuntukkan ruang masa kepada parti-parti politik memperkenalkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menerusi Radio Televisyen Malaysia.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR  akan mengadakan perbincangan untuk memutuskan keperluan  pakatan pembangkang menggunakan ruang 10 minit yang diberikan kerajaan.

Menurutnya, tempoh masa dan syarat  yang diumumkan  Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim kelmarin  seperti "memperbudakkan" parti politik terutamanya pembangkang.

Beliau berkata, pada umumnya RTM adalah 'ala' Barisan Nasional (BN) yang digunakan 24 jam sehari untuk menyiarkan makluman termasuk manifesto parti kompenan perikatan itu.

"Kita masih tak ada keputusan, kita perlu berbincang untuk lihat sama ada itu menjadi satu keperluan kita untuk siarkan manifesto atau tidak.

"... tempoh masa 10 minit dengan syarat yang tidak relevan, ini untuk apa? Untuk memberitahu dunia media kita bebas dan memegang prinsip demokrasi?

"Rais perlu mempertimbangkan semula, jangan memperbudakkan kita," katanya kepada Sinar Harian Online.

Kelmarin, Rais mengumumkan parti politik boleh membentangkan manifesto selama 10 minit selepas Dewan Rakyat dibubarkan.

Beliau juga berkata, setiap parti politik yang menggunakan ruang ini perlu mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh RTM termasuklah melalui rakaman.

"Semua parti politik yang berganding dan bertanding akan dapat peluang untuk mengumumkan manifesto mereka selama 10 minit, dan kami beri peluang ini sekali gus, baik kepada BN ataupun pihak pembangkang.

"Tinggal lagi sama ada mereka menggunakannya atau tidak, ini terserah kepada mereka, tetapi kami di kementerian telah bersedia untuk melaksanakannya," katanya.

Mengulas lanjut Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, kebebasan dan keadilan media perlu diberikan sama rata kepada semua parti politik.

"Kalau nak bagi parti politik guna media, bagilah secara adil, bukan buat syarat saja untuk tunjukkan media kita bebas," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa pembaharuan yang cuba dibawa kerajaan yang memerintah itu satu perkara yang mengaibkan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang itu berkata, sekurang-kurangnya tempoh penyiaran diberikan selama 30 minit untuk memberi penjelasan kepada rakyat tentang manifesto parti politik.

"... jika itu satu pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan ia adalah perkara yang mengaibkan.

"Tempoh 10 minit itu hanya sebagai ajak-ajak ayam dan tidak kembali kepada kebebasan media yang dituntut Bersih.

"Pas menghargai ruang itu, namun masa perlu dipanjangkan, sekurang-kurang setengah jam untuk memberi penjelasan kepada rakyat dan membolehkan mereka menilai," katanya.

Tambahnya, Pas juga masih belum memutuskan untuk menggunakan platform yang diberikan kerajaan.

"Setakat ini, Pas masih belum ada keputusan dan perlu berbincang dan akan dimaklumkan kemudian," katanya.


Mengapa,Pakatan takut ke???