Halaman

Rabu, 19 Jun 2013

PR bersungguh-sungguh perangai TPP..#Lainmacamaje

Pakatan Rakyat (PR) menggesa agar sebuah Jawatankusa khas Pilihan Parlimen (PSC) diwujudkan bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ekoran masih wujud rasa tidak berpuas hati  TPPA itu tidak tertakluk kepada pengawasan parlimen.



Dalam satu kenyataan bersama hari ini, ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS Dr Dzulkefly Ahmad, bersama dengan Azrul Azwar Tajuddin dari Institut rakyat berkata PSC mengenai TPPA itu perlu ditubuhkan segera.

"Kami amat prihatin mengenai keperluan untuk berahsia seiring dengan rangka kerja dwi-partisan sebegini, dan akan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab kami sebagai penjaga amanah rakyat," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.
Mereka turut membangkitkan rangka kerja undang-undang TPPA yang menyeluruh itu boleh menyebabkan undang-undang domestik terpaksa akur dengan meletakkan syarikat-syarikat multinasional di atas jika tidak setara dengan kedudukan kerajaan.
"Banyak isu-isu telah diusul semasa perbincangan, yang terdiri daripada isu kawalan kerajaan ke atas pasaran kewangan, penyelesaian pertikaian antara pelabur-kerajaan (ISDS), harga farmaseutikal dan perubatan, serta kebimbangan umum terhadap kurangnya ketelusan dan maklumat tentang teks rundingan TPPA," kata mereka merujuk kepada perbincangan dengan wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang diketuai oleh Datuk Rebecca Sta Maria, KSU Kementerian serta salah seorang perunding utama bagi TPPA, Encik J. Jaya Siri.
Antara kebimbangan yang dibangkitkan mereka adalah analisa Kos-Faedah (CBA) pada TPPA, Kawalan Kewangan dan Kebebasan, dan Kos Kesihatan.
"MITI mengakui kewujudan kertas CBA dibentangkan kepada Kabinet pada tahun 2010, iaitu laporan 2010 United Nations Development Programme (UNDP) yang atas arahan Kerajaan Malaysia.
"Dalam perkembangan yang sedikit positif, kami telah dijanjikan sesalinan laporan tersebut dalam masa dua minggu tanpa disertakan maklumat rundingan," kata mereka lagi.
Mereka turut menyatakan kebimbangan masa yang semakin suntuk memandangkan pusingan dan rundingan TPPA seterusnya akan diadakan pada Julai 2013 dan pernyataan muktamad dijangka berakhir pada Oktober 2013.
"Kami memuji MITI kerana menganjurkan mesyuarat ini dan kerana berjanji memberikan salinan laporan UNDP yang ditapis dalam masa dua minggu lagi.
"Walau bagaimanapun, kami tetap komited untuk memperjuangkan ketelusan dan penglibatan awam yang lebih tinggi semua aspek TPPA tersebut. Demi kepentingan umum masyarakat," kata kenyataan berkenaan.
"Kami juga mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa amanah rakyat adalah tertumpu pada pendedahan yang telus dan bertanggungjawab. 

Jangan ada udang disebalik batu sudah lah PR oi...

Lesen penjaja akan ditarik balik jika beri pada warga asing

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan teragak-agak untuk menarik balik lesen perniagaan peniaga dan penjaja tempatan di pasar-pasar seluruh ibu negara yang melanggar syarat khususnya menyewakan lesen kepada pendatang asing.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan berkata, kerajaan memandang serius perbuatan itu kerana ia bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah turut mengehadkan peluang untuk peniaga dan penjaja tempatan.
Katanya, DBKL amat tegas dalam soal tersebut dan sehingga bulan ini, sebanyak 444 lesen penjaja di seluruh Kuala Lumpur sudah ditarik balik kerana melanggar peraturan.
"Kerajaan telah melonggarkan syarat untuk memberikan lesen kepada orang tempatan yang ingin menjalankan perniagaan.
"Tetapi kalau ada antara peniaga dan penjaja yang tidak berminat untuk berniaga, kembalikan lesen kepada DBKL dan kami akan memberikan kepada orang tempatan lain yang berminat.
"Kita tidak pernah memberikan sebarang lesen perniagaan kepada pendatang asing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gotong-royong Mega di Pasar Raja Bot di sini hari ini.
Aktiviti gotong-royong itu merupakan antara usaha DBKL untuk meningkatkan kebersihan sekitar kawasan pasar itu, selain sebagai satu platform untuk merapatkan kerjasama antara DBKL dan para peniaga.
Lebih 1,000 orang terdiri daripada para peniaga, penjaja, kakitangan DBKL dan Alam Flora terlibat dalam aktiviti itu.
Mengenai pendatang asing yang bekerja dengan peniaga dan penjaja tempatan, Saravanan berkata, ia perlu dikaji sebelum sebarang tindakan diambil berhubung perkara itu.
"Kita perlu mencari bukti yang tepat dengan bertanya kepada penjaja dan peniaga itu sendiri kenapa mereka mengambil pendatang asing sebagai pekerja di premis perniagaan mereka sedangkan orang tempatan masih ramai yang berminat untuk bekerja.
"Ada juga peniaga dan penjaja yang menyewakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing tetapi kita harus meneliti dengan lebih terperinci masalah ini," ujarnya.
Mengenai Pasar Raja Bot yang lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit itu, Saravanan berkata, pasar itu sudah beroperasi sejak sebelum merdeka lagi dan kerajaan sedang berusaha untuk menaik taraf pasar itu sejajar dengan usaha menjadikan Kuala Lumpur bertaraf dunia.
Malah, katanya, persatuan peniaga dan penjaja di situ telah mencadangkan supaya bumbung di pasar itu ditinggikan bagi menambahkan keselesaan dalam pasar itu.
"Dari segi dasar, kita bersetuju tetapi ia perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan kita perlu mencari masa yang sesuai untuk melakukan kerja-kerja pembinaan kerana ia melibatkan aktiviti perniagaan di sini.
"Kita juga perlu mengkaji berapa lama kawasan pasar ini perlu ditutup untuk projek pembinaan kerana ia boleh menjejas peniaga jika ditutup terlalu lama," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup ketika dihubungi berkata, projek untuk menaik taraf pasar itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dan dimulakan dengan aktiviti pembersihan pasar itu.
"Kita akan berbincang dengan peniaga untuk melaksanakan cuti sehari dalam sebulan bagi membolehkan aktiviti pembersihan seluruh pasar dapat dilakukan.
"Jika kita tidak melaksanakan cuti tersebut, ada pihak yang tidak turut dalam melakukan aktiviti pembersihan," katanya.

Peliklah warga tempatan ni,daha dapat lesen tapi bagi pada pendatang,suka sangat ler tue bila ekonomi kita dikawal selia oleh orang asing..nak jadi "pendatang" di negara sendiri ke??




Isu Lahad Datu tiada kaitan dengan tuntutan "Sultan Sulu".

Pencerobohan di Lahad Datu tidak ada kaitan dengan tuntutan 'Sultan Sulu' tetapi adalah tindakan pengganas yang cuba mengganggu-gugat keselamatan negara khususnya di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
  
Sabah, tegas beliau, adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat dalam Malaysia.
  
Sambil merujuk buku bertajuk 'Putting to Rest the Claim to Sabah by Self-proclaimed Sultanate of Sulu', beliau berkata Peguam Negara Malaysia menyatakan status negeri Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia yang sah adalah berdasarkan dua asas utama.
  
"Pertama, berdasarkan instrumen ikatan yang sah dan mengikut undang-undang, 'Sultan Sulu' pada masa dahulu telah secara sukarela menyerahkan sepenuhnya dan muktamad wilayah yang sekarang dikenali sebagai Sabah untuk selamanya semua tuntutan dan hak selain menerima hak bayaran wang serahan tahunan.
  
"Kedua, sebarang tuntutan atau hak 'Sultan Sulu' terhadap Wilayah Sabah walaupun ia sah atau wujud pada tahun 1962/1963 telah menjadi terbatal dan termansuh apabila penduduk Sabah membuat satu keputusan sendiri melalui pungutan suara pada tahun 1962 oleh Suruhanjaya Cobbold pada bulan Ogos hingga bulan September 1963," katanya.


Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Setiausaha Agungnya telah melaksanakan satu lagi pungutan suara di mana rakyat di Sabah telah menyatakan hasrat mereka secara sukarela untuk merdeka daripada penjajahan British dan justeru, bersetuju untuk bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia.   

Musa berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Lajim Ukin (PKR-Klias) sama ada benar pihak Sultan Sulu III menuntut hak ke atas negeri Sabah dan siapakah yang disyaki sebagai dalang penerobohan itu, semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Likas, dekat sini hari ini.
  
Musa yang juga pengerusi jawatankuasa keselamatan negeri berkata pengganas yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Tentera Di Raja Kesultanan Sulu' yang dianggarkan seramai 200 orang dikesan menceroboh di Lahad Datu pada 9 Feb lepas.
  
"Dalang pencerobohan ini ialah Datu Agbi Muddin Datu Kiram dan Jamalullail Kiram serta penglibatan warga Malaysia yang masih dalam siasatan polis.
  
"Dalam kejadian tersebut, pengganas-pengganas berkenaan enggan berundur dari kawasan yang dicerobohi. Dengan itu pasukan keselamatan telah melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh dari Sulu tersebut pada 5 Mac," katanya.

Beliau berkata pertempuran itu menyebabkan seramai 80 orang terkorban, termasuk lapan anggota polis dan dua tentera Malaysia serta memaksa penduduk kampung meninggalkan rumah kediaman mereka.
  
Bagi menjamin keselamatan wilayah yang terlibat, katanya kerajaan telah mengisytiharkan kawasan Pantai Timur Sabah sebagai Kawasan Keselamatan Khas dan meletakkan pasukan keselamatan untuk mengawal kawasan berkenaan.
  
Musa berkata penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang diumumkan Perdana Menteri pada 7 Mac lepas adalah berikutan insiden pencerobohan di daerah Lahad Datu.
  
Penubuhan Esscom yang diterajui Ketua Pengarah Datuk Mohammad Mentek, antara lain bertujuan memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh pelbagai entiti pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen.
  
Ketua menteri berkata antara aspek utama yang dipertanggungjawabkan kepada Esscom ialah untuk meningkatkan kawalan keselamatan terutama di kawasan Perairan Pantai Timur Sabah selain meningkatkan kemampuan risikan di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Musa berkata 10 daerah diwartakan sebagai Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) yang merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
  
Katanya Esscom kini berada di landasan yang betul dan mampu bergerak seiring dengan visi, misi dan matlamat yang telah ditetapkan.
  
Justeru, visi Esscom adalah untuk menjadi peneraju kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Pantai Timur Sabah menjelang tahun 2017, katanya.
  
Beliau berkata ini termasuk mengekal dan meningkatkan aktiviti keselamatan di Kawasan Pantai Timur Sabah daripada sebarang ancaman musuh.
  
Ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam membantu memacu pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat, katanya.

Selain itu, Musa berkata Esscom juga bermatlamat untuk memastikan dan mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia secara amnya dan di kawasan Timur secara khususnya, memastikan kesejahteraan penduduk terutama dalam menjaga kesihatan awam di kawasan yang terlibat.
  
Penubuhan Esscom turut memastikan anggota masyarakat bebas untuk membuat perjalanan di kawasan Pantai Timur Sabah dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi orang yang menduduki tanah atau premis secara tidak sah di dalam kawasan berkenaan.
  
Musa berkata bagi memastikan visi, misi dan matlamat dapat dicapai, Esscom mengenal pasti lima teras strategik yang akan dilaksanakan mulai tahun 2013 hingga 2017.
  
Ini termasuk memperkukuhkan kawalan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah secara bersepadu bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, meningkatkan keupayaan risikan dan perkongsian maklumat, merancang dan menyelaras penempatan semula selaras dengan keperluan pemeliharaan keselamatan awam bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, katanya.
  
Beliau berkata tumpuan juga diberikan kepada memupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat Kawasan Pantai Timur Sabah bagi mengukuhkan perpaduan nasional dan menyelaras program pembangunan sosio ekonomi sebagai pemangkin kepada perkembangan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah.

Sejak penubuhannya, pelbagai aktiviti dijalankan oleh Esscom, antaranya mengadakan pelbagai mesyuarat dan pemantauan terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman semasa pilihan raya umum ke-13 dengan menempatkan dua pegawai kanan Esscom di kesemua 10 daerah yang diwartakan sebagai Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
  
Katanya pihak Esscom berusaha mempertingkatkan jumlah anggota keselamatan dan aset bagi menghadapi sebarang anaman di masa hadapan. Kesemua agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan berusaha untuk memastikan peristiwa yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu tidak akan berulang.
  
Musa berkata kerajaan telah mengambil pelbagai yang wajar ke arah mewujudkan prasarana yang sesuai untuk menempatkan aset pasukan keselamatan di bawah Esscom.
  
Sehubungan itu, katanya lima batalion akan ditempatkan di Kawasan Pantai Timur Sabah yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM).
  
"Kerajaan masih meneliti lokasi yang sesuai untuk menempatkan kesemua lima batalion tersebut. Pada masa kini, pembinaan kabin khususnya bagi ibu pejabat Esscom dan beberapa balai polis hanya bersifat sementara.

"Di samping itu, kerajaan juga prihatin terhadap kebajikan penduduk kampung yang terlibat semasa penerobohan tersebut. Justeru, kerajaan mempunyai dua cadangan bagi penempatan semula kampung di Tajung Batu dan kampung di Tanjung Labian yang terlibat dalam insiden pencerobohan pengganas baru-baru ini," katanya.
  
Bagi penduduk kampung di Tanjung Batu, Musa berkata penempatan kampung berkenaan sedang dalam proses pembinaan di atas Tanah Cadangan Simpanan Kampung Tanjung Batu yang berkeluasan 6.1 hektar, melibatkan pembinaan 25 buah rumah baharu.

"Empat daripada rumah tersebut dibina di atas tanah bergeran, manakala sebanyak 21 buah rumah lagi dibina di atas tanah kerajaan negeri. Pada ketika ini, projek pembinaan rumah-rumah tersebut telahpun bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2013," katanya.
  
Beliau berkata bagi cadangan penempatan penduduk kampung di Tanjung Labian, penempatan akan dibina di atas Tanah Simpanan Rancangan Penempatan daerah Lahad Datu iaitu Kampung Tenagian, melibatkan pembinaan sejumlah 52 buah rumah baharu.

Kebenaran bagi memasuki dan memulakan pembinaan telahpun diperoleh daripada Jabatan Tanah dan Ukur tetapi proses bagi menentukan sempadan masih belum diputuskan oleh Juruukur Daerah, katanya.
  
Sementara itu, sejumlah 106 rumah yang rosak semasa insiden tersebut telah dibaiki sepenuhnya oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui
Giat Mara dan Felcra Sdn Bhd.
  
Berikutan pencerobohan itu, Musa berkata seramai 31 orang telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan dalang dalam pencerobohan itu.
  
Beliau berkata ketika ini tahap keselamatan di Sabah khususnya di daerah di bawah liputan Esscom adalah terkawal, dan sehingga kini, tidak ada insiden pencerobohan baru yang dilaporkan.
  
Bagaimanapun, Musa berkata Esscom sentiasa memantau perkembangan keselamatan terutama di Kawasan Pantai Timur Sabah dan menegaskan agensi keselamatan termasuk ATM, PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sentiasa membantu dan akan bertindak sekiranya terdapat sebarang ancaman baru ke atas keselamatan Sabah.  - Bernama

Apa faedah TPP?

Malaysia merupakan antara 11 negara yang terlibat di dalam beberapa siri perbincangan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), iaitu perjanjian yang dilihat bakal mengubah landskap ekonomi negara, khususnya terhadap aspek kepenggunaan domestik.
Melalui TPP, ia bakal membentuk satu jaringan perdagangan bebas terbesar di dunia, jika berjaya dilaksanakan.
Selain Malaysia, sepuluh negara lain yang terlibat ialah Amerika Syarikat (AS), Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
Perjanjian itu sebenarnya mirip perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang telah dilaksanakan dalam arus perdagangan global, khususnya bagi mengurangkan halangan perniagaan seperti tarif atau perlindungan industri.
Cuma, TPP membabitkan banyak pihak. Perjanjian ini pada asalnya dimulakan oleh empat negara iaitu Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura tetapi telah menarik perhatian AS untuk diperluaskan.
Secara terperinci, TPP membabitkan akses pasaran, penghapusan tarif, perlindungan hak cipta, mobiliti buruh dan persaingan terbuka termasuk kontrak milik kerajaan.
Malaysia dijangka memperoleh faedah jika perjanjian itu dilaksanakan, terutamanya daripada aspek akses pasaran kepada syarikat-syarikat tempatan. Tambahan pula produktiviti mereka kini mula mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Sekalipun Malaysia telah mengadakan FTA dengan kebanyakan negara yang terlibat (tidak bersama AS), namun TPP dilihat sangat signifikan terutama sekali kepada peniaga tempatan bagi memasuki pasaran benua Amerika (Chile, Mexico, Peru, Kanada dan AS) yang kadar pendudukannya tinggi.
Namun perlu diketahui, TPP ini sungguh menarik perhatian AS. sehingga Presidennya, Barack Obama sendiri bersungguh-sungguh mahukan perjanjian itu dilaksanakan atas alasan demokrasi perdagangan.
Sebenarnya, TPP merupakan perjanjian yang mahu membentuk peraturan bagi melindungi kepentingan perniagaan milik syarikat multinasional (MNC), terutama sekali yang mempunyai skala ekonomi yang kukuh.
Kajian oleh universiti di AS sendiri mendapati perjanjian itu akan lebih membawa manfaat kepada MNC dari AS, yang berusaha meningkatkan eksportnya ke pasaran negara-negara Pasifik, selepas kejatuhan pasaran utama mereka, Eropah.
Semua negara yang sedia menyertai TPP menyumbang 34 peratus nilai perdagangan AS.
Selain akses pasaran, penghapusan tarif dan perlindungan hak cipta serta ketelusan persaingan menjadi keyakinan utama AS di dalam TPP.
Beberapa pendedahan juga telah dilakukan termasuk oleh Wikileaks, yang mendakwa TPP dikatakan lebih menguntungkan MNC berbanding pengguna akhir, khususnya membabitkan ubat-ubatan serta kebebasan penggunaan internet.
Sebagai contoh apa yang didedahkan, ubat-ubatan jenis generik tidak boleh diedarkan sebaliknya hanya jenis tulen sahaja boleh dipasarkan. Keadaan ini boleh menjejaskan pengguna akhir khususnya yang berpendapatan rendah kerana harga ubat-ubatan ini meningkat beberapa kali ganda.
Hal yang sama juga berlaku ke atas produk lain yang telah dipatenkan seperti perisian komputer serta kebebasan kontrak kerajaan yang boleh diakses semua pihak.
Pada masa sama, jika setiap peraturan itu tidak dipenuhi di sesebuah negara terlibat, syarikat boleh mengambil tindakan mahkamah termasuk ke atas kerajaan.
Perjanjian itu telah dilemparkan pelbagai kritikan, Korea Selatan dan China dikhabarkan berhadapan kesukaran serta enggan menyertai TPP.
TPP dijangka dimuktamadkan pada hujung tahun ini, setelah 15 pusingan perbincangan diadakan sejak 2010.
Kerajaan Malaysia yang telah menyertai beberapa siri perbincangan, menghadapi cabaran dalam mencari kata putus demi mengutamakan keperluan rakyat Malaysia dalam menghalang usaha pihak tertentu yang ingin 'memonopoli perdagangan bebas'.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengakui beberapa isu mencabar telah dibincangkan dan mahukan beberapa keputusan dicapai turut berpihak kepada Malaysia.


Harap Kerajaan tidak menganiayai rakyatnya.Ingat balik slogan kerajaan "rakyat didahulukan,pencapaian diutamakan".


TPP: Boleh tarik diri lagi


 Malaysia boleh menarik diri di saat akhir perbincangan, jika ia tidak memberi faedah kepada negara ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Datuk Hamim Samuri berhubung satu rundingan perdagangan bebas (FTA) yang dinamakan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Menurutnya, bukan hanya Malaysia, malah negara lain yang terlibat dalam TPP ini juga boleh menarik diri jika merasakan tiada kepentingan untuk negara masing-masing.

“Buat masa ini, rundingan masih dijalankan dan kerajaan hanya akan bersetuju jika ia beri kebaikan. Jika di akhir perbincangan itu nanti, ada perkara yang akan membebankan rakyat, kita akan tarik diri.

“Kerajaan bukan bodoh hingga mahu gadai maruah dan kepentingan negara seperti apa disimpulkan beberapa pihak. Kerajaan akan jaga keperluan asas rakyat dan kita tidak mahu lari daripada konsep ‘Rakyat Didahulukan’,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau juga menafikan jika rundingan tersebut mencapai kata putus, harga barang di negara ini akan naik hingga membebankan rakyat khususnya berpendapatan rendah.

“Rundingan itu meliputi pelbagai aspek. Bagaimana ada pihak sudah buat andaian sebegitu sedangkan ia masih di peringkat perbincangan?

“Sekarang ini, runding, bukan keputusan. Perkara ini perlu jelas kerana jika ia disalah tafsir, rakyat akan anggap kerajaan tidak telus,” katanya.

Menurutnya, pihak yang tidak bersetuju dengan TPP dilihat cuba mempengaruhi rakyat dengan pelbagai cara.

“Saya sangat berharap, TPP tidak dipolitikkan. Buat masa ini, biarkan Miti teruskan perbincangan dengan pihak berkaitan. Kerajaan juga beri jaminan apa juga keputusan yang bakal dibuat, rakyat tidak akan terbeban,” katanya.

Ahli Parlimen Ledang itu berkata, isu itu akan dibahas di Dewan Rakyat minggu pertama persidangan bermula.

“Sekarang pun ada soalan-soalan yang dikemukakan dan ia pasti hangat apabila kedua-dua pihak pasti membangkitkan isu ini nanti,” katanya.

Malaysia mula menyertai TPP pada tahun 2011 dan rundingan tersebut yang sudah memasuki pusingan ke-17 dan dijangka dimuktamadkan menjelang Oktober 2013.

Miti adalah wakil perunding bagi Malaysia dalam rundingan itu yang turut disertai 10 negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. Jepun bakal menyertai pada Julai depan.

TPP didakwa dijalankan secara penuh rahsia dan dijangka akan ditandatangani Oktober depan, dengan kehadiran Presiden AS Barack Obama di salah sebuah negara Asean.

Harap kerajaan membuat keputusan yang betul berkaitan isu TPP ini.