Halaman

Selasa, 11 Jun 2013

‘Political liaison adalah kekuatan PR Selangor’

 Pelantikan Pegawai Perhubungan Politik di Selangor disifatkan sebagai kekuatan PR Selangor bukannya kelemahan pentadbiran seperti didakwa.

Bakal Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar yang mewakili Pas, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kewujudan jawatan ini merupakan keunikan pentadbiran Selangor yang mencerminkan keserasian.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, pelantikan jawatan baru daripada ketiga-tiga parti komponen PR bukanlah melambangkan kelemahan tetapi kekuatan PR Selangor.

“Gandingan yang dipilih pimpinan tertinggi parti iaitu Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan diri saya sendiri yakin dapat memperkasa kepimpinan PR Selangor.

“Selangor cuba jadi perintis kepada keunikan pentadbiran PR. Jika di Pulau Pinang ia hanya dikuasai DAP, Kelantan hanya ditadbir Pas. Tetapi berbeza dengan PR Selangor yang melibatkan ketiga-tiga parti komponen,” katanya semalam.

Menurut Dzulkefly, dalam penggal kedua pentadbiran PR Selangor mereka akan bekerja keras untuk melaksana janji manifesto seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Dalam perkembangan sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan tertinggi Pas Selangor terutamanya, Pesuruhjaya Pas, Dr Abdul Rani Osman di atas pemilihannya.

“Saya tahu ini tugasan berat bagaimanapun sebagai Pegawai Perhubungan Politik yang baru dilantik masih belum jelas dengan portfolio dan bidang tugas yang bakal dilaksanakan.

“Saya tak mudah kerja ini kerana mandat besar yang diberikan rakyat dengan kemenangan dua per tiga. Amanah besar ini akan  dipikul dengan akauntabiliti,” katanya.

PR fail petisyen PRU13

 PR akan memfailkan 25 petisyen pilihan raya membabitkan kerusi Parlimen yang dipercayai berlakunya penipuan dan penyelewengan pada PRU13 lalu bermula hari ini hingga Rabu.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata 25 petisyen itu membabitkan 24 kerusi Parlimen dan satu petisyen berasingan akan difailkan berhubung kesalahan seorang calon BN yang melanggar had perbelanjaan pilihan raya.

"Kesemua petisyen itu akan menelan belanja kira-kira RM1.4 juta di mana PKR sahaja memerlukan RM1 juta, memandangkan kita paling banyak kemukakan petisyen.

"25 petisyen itu akan difailkan secara berasingan mengikut kawasan dan parti.

"Setiap pendaftaran petisyen itu akan membabitkan kos sebanyak RM15,000 setiap satu kerusi.

Rabu lalu, laporan Sinar Harian Online yang memetik kenyataan Rafizi menyebut PKR akan memfailkan 19 petisyen berhubung keputusan PRU13 itu selewat-lewatnya pada 10 Jun ini.

Katanya petisyen itu akan dibuat secara berasingan dengan parti gabungan lain iaitu Pas dan DAP.

PR mempunyai tempoh 21 hari untuk berbuat demikian selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan keputusan rasmi PRU13, 22 Mei lalu.

Dalam pada itu, katanya daripada 25 petisyen itu, PKR akan memfailkan 19 kerusi, empat kerusi oleh Pas dan dua lagi oleh DAP.

Antara parlimen yang difailkan PKR ialah bagi kawasan Parlimen Merbok, Kulim- Bandar Baharu, Ketereh, Machang, Balik Pulau, Tapah, Bagan Datok, Sabak Bernam, Setiawangsa, Segamat, Ledang, Muar, Tebrau, Pasir Gudang, Kota Marudu, Beaufort, Pensiangan dan Baram.

Pas pula melibatkan kawasan Parlimen Sungai Besar, Kuala Selangor, Titiwangsa dan Pulai manakala DAP pula membabitkan kerusi Cameron Highlands dan Labis.

Selain kerusi Parlimen, sebanyak 10 kerusi melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di seluruh negara di mana sembilan daripadanya ditandingi Pas manakala satu lagi oleh PKR.

Serentak dengan memfailkan petisyen tersebut, katanya PKR juga akan memfailkan tindakan undang-undang dalam tempoh tiga minggu dari hari ini.

Antara isu terbabit ialah menyaman Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana gagal melaksanakan dakwat kekal; menuntut mahkamah supaya menyemak senarai pengundi hantu di Sabah berdasarkan keterangan yang dibuat di Suruhanjaya Diraja dan kajian dalaman PKR serta mencabar tindakan undang-undang bagi mengisytiharkan pindaan Seksyen 9A yang menghalang kesahihan daftar undi.

PKR tetap dengan keputusan mahu terus berdegil

PKR masih tetap dengan keputusan memboikot sidang pertama Parlimen, jika tuntutan mereka masih belum dipenuhi. Naib Presidennya, Tian Chua berkata, tuntutan mereka adalah pengerusi dan timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu letak jawatan.Selagi SPR tidak letak jawatan ,banyak lagi akan kita lakukan dan perkara ini akan berterusan.Kita juga tidak akan memberi kerjasama dengan kerajaan dalam semua perkara.
Apa sebenar agenda PKR ni?? mahu membela nasib rakyat ataupun mahu memenuhi cita-cita ketua mereka yang kemaruk sangat nak jadi perdana menteri??harap kerajaan dan SPR tidak tunduk dengan desakan gila mereka ini.Jika diberi muka ,mereka akan menjadi lebih melampau lagi.Harap Kerajaan tidak menghiraukan desakan PKR yang rakus ini.

Pas gesa tindakan tegas hina Nabi

Dewan Pemuda Pas (DPP) Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap dua individu  yang menghina Rasulullah  SAW melalui laman sosial  Facebook baru-baru ini.
Tindakan perlu dikenakan  kepada individu terbabit sebagai pengajaran kepada semua pihak  supaya tidak mengulangi perbuatan sama.
Tindakan keras dan tegas kerajaan dituntut kepada individu terlibat sebagai pengajaran kepada semua pihak pada masa akan datang. Jangan ada sikap "double standard' dalam mengambil sebarang  tindakan.
Media melaporkan semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mengenal pasti dua individu yang menghina Nabi Muhammad SAW melalui laman sosial Facebook dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.Menterinya, Datuk Seri Shabery Cheek berkata KKMM memandang serius kes penyalahgunaan internet di negara ini, terutama penyebaran fitnah dan hasutan yang boleh menimbulkan keresahan dan kemarahan rakyat.
Dua akaun Facebook yang menggunakan Calvin Gani dan Rakyat Anarki dikenal pasti yang menghina Rasulullah SAWdan mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

Harap KKMM tidak biarkan perkara ini berleluasa dan berulang lagi di masa hadapan.

MB tidak perlu ‘goyang’


Penganalisis politik menasihatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak perlu tertekan oleh mana-mana parti komponen termasuk parti sendiri, PKR.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Dr Jayum Jawan berkata, sebenarnya pelantikan Pegawai Perhubungan Politik daripada setiap setiap parti komponen PR adalah tidak perlu.

“Sewajarnya Abdul Khalid tidak tunduk kepada tekanan politik. Jawatan political liaison tidak perlu sebenarnya kerana dia dah lantik Exco yang telah diwakili ketiga-tiga komponen PR (Pas, DAP dan PKR).

“Exco telah dilantik  untuk laksanakan tugas pentadbiran negeri jadi tidak perlu lagi melantik atau mewujudkan jawatan baru bagi tujuan memantapkan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya semalam.

Sementara itu, Jayum turut menjelaskan ia melibatkan urusan pentadbiran negeri bukannya politik.

“Ini urusan kerajaan bukan parti. Oleh itu, Abdul Khalid boleh memilih sesiapa sahaja individu termasuk pegawai pentadbir negeri yang tidak ada kena mengena dengan komponen PR kerana orang dilantik itu ada fungsi untuk membantu beliau dalam urusan kerajaan.

“Abdul Khalid tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan politik kerana kewujudan jawatan baru ini dilihat sebagai tidak perlu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, tindakan Abdul Khalid itu akan dinilai rakyat Selangor sebagai ‘goyang’ dalam membuat keputusan mengurus tadbir negeri.

Dalam perkembangan berbeza, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula menyifatkan pelantikan wakil daripada ketiga-tiga parti politik sebagai suatu pembaziran dan tidak rasional.

"Memang membazir, kalau seorang sahaja Pegawai Perhubungan Politik lainlah cerita... ini sampai tiga tiga orang.

"Saya berpendapat tindakan ini adalah ekoran wujudnya masalah dalaman PR Selangor. Dan sekiranya posisi ini dibayar kerajaan negeri ini menyebabkan penambahan kos, jelas pembaziran berlaku dalam pengurusan kewangan negeri," katanya.

Sebelum ini, Abdul Khalid melantik Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution sebagai Pegawai Perhubungan Politik Kerajaan Negeri Selangor, dan kemudiannya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencadangkan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok.

Kelmarin, Pas Selangor mencadangkan bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad atas kapasiti sama iaitu Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar.