Halaman

Selasa, 25 Jun 2013

PR bakal bawa usul tergempar

PR bakal membawa satu usul tergempar mengenai jerebu, Rabu ini, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, perkara tersebut antara isu terawal yang akan dibawakan PR pada sidang Parlimen kali ini.

"Isu jerebu ini penting untuk dibincangkan dan diberi perhatian khusus.

"Kita harap ada satu tindakan yang dapat diambil bagi mengurangkan kesan jerebu, di samping memikirkan bagaimana krisis jerebu dapat dihindari daripada berulang lagi," katanya.

Beliau berkata, usul tergempar itu akan dibawa oleh Ahli Parlimen Kulai, Teo Ni Ching.

"Kami harap usul ini akan diterima Speaker dan dapat dibincangkan bersama supaya rakyat tahu apakah langkah yang dapat mengurang masalah ini," katanya.

Harap PR dan UMNO sama-sama menangani kes ni,untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

Kerajaan Selangor sedia kerjasama jamin kesihatan


 Rakyat Selangor dinasihati sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan tidak terjejas berikutan jerebu melanda negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media berkata, Kerajaan Selangor juga mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa tetap Kesihatan Negeri, Dr Daroyah Alwi supaya mengedarkan topeng muka kepada orang ramai sebagai kesedaran perlunya menjaga kesihatan dalam keadaan berjerebu ini.

“Kementerian Kesihatan mengumumkan semua sekolah di Selangor ditutup semalam dan kerajaan negeri akan mencadangkan agar sekolah hanya dibuka sehingga Indeks Pencemaran Udara (IPU)  bertambah baik dan selamat kepada pelajar.

“Kerajaan Selangor juga sentiasa sedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan bagi memastikan kesihatan rakyat terpelihara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya mengehadkan aktiviti luar rumah dan lebihkan minum air bagi mengelak kesan akibat pendedahan secara berterusan kepada jerebu seperti sukar bernafas, mata pedih dan berair, kegatalan pada kulit dan tekak serta sesak nafas dan sentiasa memakai topeng muka ketika berada di luar atau tempat terbuka.

Peningkatan IPU yang begitu mendadak sehingga mencatat paras indeks yang tidak sihat turut melanda negeri Selangor di mana beberapa kawasan mencatatkan IPU melebihi 100.

Antara kawasan paling terjejas di Selangor adalah Pelabuhan Klang apabila mencatatkan IPU mencecah bacaa 314 pada jam 3 petang semalam.

Suasana Kecoh Aktivis Di Tahan Di Hadapan Parlimen


Apa nak jadi dengan macai-macai pembangkang ni,yang si penipu juga untung.kesian kat macai-macai ni!

Anwar angkat juga sumpah!!


Selepas saja Anwar dan lain-lain akan mengangkat sumpah pada lebih kurang 10:50 pagi, Kumpulan Blackout 505 mula cuba merempuh masuk.

Pada lebih kurang 11:10 pagi,  keadaan di kawasan simpang masuk ke Parlimen menjadi kecoh secara tiba2 bilamana sekumpulan peserta merempuh penghalang jalan menuju ke Parlimen.

Ekoran itu 33 org ditangkap (termasuk 10 org yg menyerah diri di lokasi). Jumlah sebenar dan butir2 tangkapan akan disemak semula dn dimaklum kemudian. Kesemua tangkapan di bawa ke Central Lock up Jinjang.

Semasa berlaku kekecohan seorg pegawai polis Insp Aswad, pegawai penyiasat IPD Sentul cedera di muka akibat ditumbuk.


Selepas kurang pergelutan, Khalid Samad, AP Shah Alam keluar menemui menerima memorandum daripada pseerta pada pukul 12:10. Dia menyeru supaya peserta bersurai. Jam 1215 peserta mula bersurai secara berperingkat.

Anwar cakap tak serupa bikin,ynag bodoh peserta-peserta Blackout 505.Mudahnya diperkudakan oleh si penipu ini.!!

Pemuda UMNO Hantar Memorandum Desak Kerajaan Indonesia Tangani Segera Jerebu

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Indonesia untuk menghantar memorandum bantahan atas masalah jerebu yang melanda negara pada masa ini.
Setiausahanya, Datuk Megat Pirdaouz Tan Sri Megat Jonid berkata, Pemuda telah menemui Akhmad Daya Handasah Irfan, Penasihat Menteri Luar di Kedutaan Indonesia bagi menyampaikan rasa gusar dan keprihatinan di atas masalah jerebu yang melanda negara.
“Pemuda UMNO Malaysia tadi dengan tegas telah menghantar satu memorandum meminta pihak Pemerintah Indonesia supaya mengambil tindakan yang lebih serius terutama sekali dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap syarikat-syarikat yang mungkin menyebabkan berlakunya jerebu ini.
“Memang usaha-usaha telah dilakukan oleh pihak pemerintah Indonesia tetapi kami di pihak Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap agar mereka benar-benar tegas dalam mengenal pasti siapakah syarikat-syarikat ataupun konsesi-konsesi yang bertanggungjawab sehingga berlakunya fenomena ini, walaupun syarikat itu datangnya dari Malaysia,” ujarnya yang juga Setiausaha Pemuda BN.
Tambahnya, fenomena jerebu ini semacam sudah jadi satu fenomena tahunan.
“Kita bukan mengalami masalah jerebu ini bukan kali pertama, jadi perkara ini harus ditangani bersama untuk kebaikan rakyat di kedua-dua belah negara.
“Pemuda UMNO berharap, demi kesejahteraan, keharmonian dan kesihatan rakyat Malaysia, perkara ini mesti ditangani dengan lebih serius. Kita berharap agar Pemerintah Indonesia menggunakan apa sahaja pendekatan agar memastikan masalah jerebu ini tidak berulang lagi di masa hadapan,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah mengorak langkah untuk melaksanakan kempen memakai topeng muka (face mask), bagi memastikan masyarakat dapat menjalankan urusan harian dengan sihat dan selamat.
Dalam hal ini, rangkaian Pemuda UMNO akan mengedar dan mengagihkan topeng muka secara percuma kepada rakyat, terutamanya di kawasan-kawasan yang terjejas teruk dengan fenomena jerebu ini.
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga akan menganjurkan Majlis Solat Sunat Istisqa (solat memohon hujan) di Surau Ar-Rahman, Putra World Trade Centre pada 25 Jun 2013 bagi mendoakan keselamatan negara serta rakyat dalam menghadapi masalah jerebu ini.
Dalam pada itu, Pemuda UMNO di setiap Bahagian seluruh negara juga diseru menganjurkan solat sunat berkenaan. 


Tindakan yang sangat wajar dari Pemuda UMNO.

Speaker: Cadangan PR ditolak


Cadangan PR untuk menamakan calon Timbalan Speaker tidak diterima Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia apabila mereka gagal ikut peraturan 6(2).

Peraturan tersebut memerlukan setiap parti mengisi borang cadangan dan diserahkan 14 hari sebelum Dewan mula bersidang.

Oleh yang demikian, calon yang dicadangkan BN iaitu Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said telah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi penggal Parlimen ke-13.

Keputusan itu diumumkan selepas semua Ahli Parlimen selesai mengangkat sumpah.

"Saya tidak boleh menerima cadangan PR kerana gagal mengikut peraturan. Saya juga tidak melonggarkan peraturan mesyuarat kerana kegagalan anda berbuat demikian.

"Kalau anda (PR) tidak puas hati, mengapa tidak fail notis cadangan kepada pejabat Speaker 14 hari sebelum persidangan hari ini," katanya.

Kiandee dan Ismail merupakan dua nama yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam surat bertarikh 6 Jun kepada pejabat Speaker. Ini merupakan penggal kedua
Kiandee dilantik sebagai Timbalan Speaker.

Manakala, pelantikan Ismail yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengisi kekosongan satu lagi jawatan selepas Ahli Parlimen Santubong, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Isnin, 24 Jun 2013

Padang Merbok: Aktivis enggan berganjak

Sekumpulan aktivis yang berkhemah di Padang Merbok hari ini menegaskan bahawa mereka tidak akan berganjak dari tempat tersebut walaupun telah diberi notis oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menerusi laman sesawang Facebook Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, mereka akan terus bertahan meskipun dihalang berkhemah di situ oleh pihak DBKL.

“DBKL dan polis datang dengan lebih ramai. Mereka sudah berbaris, mungkin tapak khemah akan diserang teruk.

“Kami akan cuba pertahan. Mohon malam ini semua berkumpul di Padang Merbok,” katanya.

Mereka yang berkhemah di sana turut mencipta lagu bagi meningkatkan semangat mereka untuk kekal di sana.

Antara petikan lirik lagu tersebut adalah: “DBKL  sangat baik hati, jaga kami dari malam tadi, kerja anda kami hargai, sampai esok kami di sini.

"Wahai SPR letak jawatan, kamu angkuh kami bertahan, demi prinsip demi masa depan."

Dalam pada itu, dipetik menerusi Bernama, kira-kira 150 orang masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk meninggalkan kawasan itu, sebaliknya hanya bertindak menurunkan struktur khemah sahaja.

Seorang daripada kalangan yang berkhemah di situ yang hanya ingin dikenali sebagai Hashim, 49, berkata dia mengambil keputusan untuk bersama dengan penyokong lain walaupun keadaan cuaca berjerebu.

Sehingga 4.30 petang ini mendapati masih terdapat kira-kira 30 buah struktur khemah ditempatkan di kawasan Padang Merbok.

Pada pukul 3.50 petang kelihatan beberapa buah kenderaan DBKL bersama anggota penguat kuasa tiba di padang itu bagi mengambil tindakan dan memantau keadaan di kawasan sekitar.

DBKL mengeluarkan notis dua jam pada 10.15 pagi ini kepada kumpulan yang berkhemah di Padang Merbok untuk mengosongkan kawasan itu.



Memang dasar kurang ajar peseerta-peserta Blackout505 ni..

SPR: 'Kami tak akan berganjak'


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pihaknya sama sekali tidak akan berganjak dengan desakan pembangkang dan peserta Black505 supaya berundur.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tuntutan mereka jelas melanggar peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, PR tidak perlu mengheret rakyat bagi menjayakan rancangan politik khususnya berhubung tuntutan supaya pegawai tertinggi SPR letak jawatan.

"SPR tak akan tunduk dengan tuntutan yang tak masuk akal itu.

"Kita tak akan berganjak. Tak perlu nak teruskan perhimpunan yang menyusahkan rakyat dan pihak lain kerana SPR tetap dengan pendirian sebelum ini.

"Tak akan ada perubahan, atau mereka ini sengaja mahu menyusahkan penguatkuasa, orang ramai dan untuk memalukan negara?," katanya kepada Sinar Harian Online.

Semalam penganjur meneruskan himpunan Black505 di Padang Merbok walaupun pada mulanya gagal mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan keizinan polis.

Bagaimanapun, setelah keengganan penyokong PR berundur kebenaran telah diberikan.

Perhimpunan yang dikatakan kemuncak itu turut mengulangi tuntutan supaya pegawai tertinggi SPR meletak jawatan, selain memberi amaran supaya tidak melakukan proses persempadanan semula sebelum suruhanjaya baru itu dibentuk.

PR juga dilihat lantang menggesa SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi kawasan yang telah difailkan petisyen.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad menasihatkan supaya PR tidak membuat keputusan terburu-buru mengenai perkara yang tidak sahih.

"Mereka ini (ahli Parlimen baru) kadang-kadang tak tahu pun persempadanan semula itu dilakukan macam mana, mereka hanya ikut ahli Parlimen lama.

"Perkara tersebut ada langkah-langkahnya sendiri, bukan SPR yang putuskan, SPR hanya cadangkan syor, kalau mereka tak puas hati boleh bantah," ulasnya mengenai isu persempadanan semula yang dibangkatkan PR pada himpunan tersebut.
 

Adun PR tandatangan petisyen #Jerebu

Seramai 18 Adun PR Johor menandatangani petisyen terhadap usaha menyelesaikan masalah jerebu merentasi persempadanan negara-negara Asean.

Mengetuai langkah menandatangani petisyen itu adalah Pengerusi DAP Johor merangkap Adun Skudai, Dr Boo Cheng Hau dan kemudiannya diserahkan kepada Duta Besar Indonesia di Malaysia, Herman Prayitno.

Cheng Hau berkata, langkah itu dibuat berdasarkan keprihatinan Adun PR negeri ini yang ingin mengemukakan bantahan kepada kerajaan Republik Indonesia agar menghentikan pembersihan hutan secara serta merta melalui kaedah tebang dan bakar.

“Ia hanya menyebabkan merebaknya jerebu di rantau Asean. Kami menggesa kerajaan Indonesia untuk mengambil langkah-langkah yang segera untuk menghentikan jerebu ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Katanya, merujuk Laporan Jabatan Alam Sekitar dan National Environment Agency (NEA) Singapura, sekurang-kurangnya terdapat 138 titik panas di Sumatera buat masa ini.

“Paras pencemaran udara berada pada kedudukan paling buruk sejak 1997 di Singapura dan Malaysia.

Justeru, beliau berkata, petisyen itu ditandatangani agar Indonesia ambil langkah segera bagi atasi masalah itu.



Prihatin juga, PR ni dalam isu alam sekitar di Malaysia ni,Indonesia ni pun satu, setiap tahun macam ni, yang susah  jiran-jirannya Malaysia dan  Indonesia!!!

Blackout 505: kami tak gentar

Black 505

Kami bersedia dikenakan tindakan polis, kami tidak gentar amaran dan kesulitan yang akan timbul," kata penganjur bersama Black505 Padang Merbok, Anthony Loke Siew Fook.

Ahli Parlimen Seremban dari DAP itu bagaimanapun akan memaklumkan tindakan lanjut pihaknya selepas ini bergantung kepada kenyataan pihak polis.

"Saya bersedia (dikenakan tindakan tegas polis).

"Kita tunggu dulu kenyataan pihak polis, baru kita beritahu apa tindakan kita selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada Konvenysen Pakatan Rakyat (PR) di Ampang, semalam.

Pada hari himpunan Sabtu lalu, pihak polis telah mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan tegas ke atas penganjur.

Pada 10 Jun lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal menolak permohonan Sekretariat Black505 untuk menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi acara kemuncak perhimpunan itu.

Keputusan itu diambil memandangkan padang itu telah disewakan kepada Majlis Olimpik Malaysia untuk menganjurkan Larian Olimpik pada 23 Jun ini.

Ketika ditanya mengenai ramai peserta melanggar syarat Akta Perhimpunan Aman 2012 termasuk membawa kanak-kanak, beliau mendakwa pihaknya sudah memaklumkan perkara itu lebih awal.

Malah pihaknya juga telah mengarahkan peserta yang membawa kanak-kanak di bawah jagaan ibu bapa supaya pulang.

"Kita dah maklumkan peserta yang bawa kanak-kanak dan anak kecil supaya pulang.

"Kita tak boleh buat apa-apa kalau mereka berdegil," dakwanya.

Dalam pada itu, mengulas tindakan NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendirikan khemah di Padang Merbok, beliau mendakwa tindakan itu tidak termasuk dalam agenda PR meskipun ia berkaitan memprotes keputusan PRU13 lalu.

"SAMM berkhemah di sana tidak termasuk dalam agenda PR.

"Itu atas tindakan mereka sendiri," tegasnya.


PR memang suka mencabar undang-undang negara.harap tindakan tegas dikenakan pada mereka yg derhaka ini.

Jerebu: Penduduk Muar dan Ledang jangan panik


Penduduk di Johor khususnya di Muar dan Ledang dinasihat supaya tidak panik hingga membeli bahan makanan serta bahan api dalam jumlah yang banyak susulan pengisytiharan dua kawasan berkenaan sebagai darurat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, warga Muar dan Ledang juga dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar seperti bersukan dan beriadah terutama bagi warga emas, kanak-kanak, wanita dan juga pesakit berisiko seperti asma.

“Muar dan Ledang diumumkan sebagai kawasan darurat berikutan kadar Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap teruk. Bagaimanapun perintah darurat yang diisytiharkan tidak melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung.

“Oleh yang demikian, masyarakat dirayu tidak panik dan jangan membuat pembelian bahan keperluan makanan serta bahan api seperti petrol dan diesel dalam kuantiti banyak,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebooknya, semalam.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan terkini dari masa ke semasa dan berharap rakyat dapat mematuhi segala peraturan ditetapkan supaya masalah jerebu yang melanda negeri ini dapat diatasi bersama.

Beliau berkata, pada masa yang sama solat Hajat diadakan berterusan di semua masjid dan surau seluruh negeri ini antara maghrib dan isyak bagi memohon kesejahteraan negara serta hujan untuk mengurangkan jerebu.

Jerebu ohh jerebu,bilalah akan berakhir, terseksanya..:(

Jumaat, 21 Jun 2013

AHli PAS perlu taat perintah parti

PAS semakin celaru kerana terbahagi kepada dua. Satu kumpulan menyokong perhimpunan haram Blackout 505 manakala satu lagi menentang keras perhimpunan tersebut. Kumpulan Majlis Syura dan PAS Kelantan telah mengeluarkan kenyataan terbuka untuk tidak menyokong perhimpunan Blackout 505 manakala kumpulan Anwarinas dalam PAS mengiyakan sahaja arahan Anwar untuk menjayakan perhimpunan haram ini.
Kata-kata Husam:
"Kalau ada mana-mana pimpinan pakatan rakyat bersuara seperti umno, berminat untuk menjadi jurucakap umno, mengkhianati amanah rakyat dengan menjadi ejen umno, saya ajak saudara saudari sekelian untuk menentang mereka sehingga mereka tumbang ditangan rakyat... jangan cuba khianat amanah rakyat dengan menjadi ejen pemerintah zalim umno barisan nasional"

Taat perintah Allah SWT lagi penting dari taat perintah parti..

Syok Sendiri #KerajaanSelangor

BN bidas k'jaan Selangor 'syok sendiri'

Ketua pembangkang DUN Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman - ketika membahaskan cadangan meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri - mendakwa kerajaan negeri 'syok sendiri'.

Katanya, Umno Selangor tidak akan sesekali menyokong cadangan itu kerana menurutnya ia bertentangan dengan perlembagaan persekutuan dan bermotifkan politik.

Menurutnhya lagi, kerajaan BN terdahulu tidak pernah membelakangi Sultan, berbeza dengan menteri besar baru yang didakwa tidak dapat menerima pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang telah mendapat perkenan Sultan.

Satim mula membahaskan usul tersebut selepas selesai ucapan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketua pembangkang itu turut mempersoalkan tindakan Speaker Datuk Teng Chang Khim memanggil sidang DUN tanpa notis 14 hari.


Kesian ar MB Selangor ni, tak pasal-pasal dapat "title Syok Sendiri" .

PR timbang permohonan PSM

Anwar berkata, penolakan permohonan Parti Sosialis Malaysia ( PSM) untuk menyertai perikatan itu yang ditolak Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution  Ismail adalah keputusan peribadi. Saifuddin berbuat demikian setelah memikirkan mengenai PSM yang dilihat tidak dapat menerima dasar PR. Permohonan PSM akan diputuskan pada mesyuarat PR akan datang. PR belum memutuskan lagi permohonan PSM .
Pada PRU13 yang lalu, hubungan kekeluargaan PR dan PSm dilihat goyah apabila berlaku pertindihan  kerusi yang ditandingi gabungan itu. PSM akan mengkaji semula hubungannya dengan PR dalam kongres tahunannya pada 28 Jun ini.

Anwar  oh Anwar...

TPP jadikan harga barangan keperluan petani turun

TPP dilihat memberi kesan yang baik kepada industri padi di Malaysia,termasuk menguntungkan petani.Yang Dipertua Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) ,Mohamad Zaini Ahmad berkata ,melalui pelaksanaan itu pasaran input penting dalam proses penghasilan padi akan bersaing dan menjadikan harga barangan keperluan petani lebih murah. Beliau berkata, apabila wujud pasaran terbuka, persaingan berlaku antara pengeluar produk yang terbabit dalam keperluan industri padi akan menyebabkan harga lebih murah. Jika perjanjian TPP dimeterai, kewajarannya dapat dilihat  khususnya industri padi menjadi item terkawal kerajaan..
Beliau berharap kerajaan tidak sesekali mengubah dasar pertanian negara kerana ia antara sektor yang diberi penekanan sekain lama. 
Kerajaan tidak akan menganiayai petani-petani kita. Mesti kerajaan akan buat yang terbaik untuk rakyatnya.

Datuk KJ calon timbalan Speaker PR

PR hari ini memutuskan untuk mengemukakan calonnya untuk jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi sidang Parlimen 2013-2018.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PR sebulat suara memilih ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar untuk dicalonkan bagi mengisi jawatan terbabit.

Menurutnya, tujuan PR berbuat demikian adalah bagi memantapkan lagi proses demokrasi dan memastikan perjalanan perbahasan berlangsung secara telus dan adil.

"PR tegaskan Speaker mesti dilantik dari kalangan seorang yang bebas, berkecuali tanpa parti, berwibawa dan berkelayakan untuk berkhidmat.

"Kita juga nak pastikan Parlimen tidak jadi berat sebelah dan hanya dengar suara sebelah pihak sahaja," katanya pada sidang media, di ibu pejabat Pas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, PR telah menamakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai calon Speaker Dewan Rakyat.

Manakala, BN mengekalkan calon Speaker penggal lalu iaitu Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk meneruskan perkhidmatannya pada sesi Parlimen ke-13.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, pencalonan dua nama adalah sejajar dengan peningkatan bilangan komposisi ahli Parlimen PR.

"Tindakan akan meningkatkan lagi kualiti amalan demokrasi di negara ini," katanya.

Khamis, 20 Jun 2013

Tian Chua Bidas Tun Mahathir

Pembangkang menyifatkan kenyataan mantan perdana menteri,Tun M yang mahu kebebasan dikurangkan adalah tidak sesuai lagi dipraktikkan zaman sekarang.
Tian Chua berkata, kenyataan itu menunjukkan seolah-olah Dr Mahathir bercakap pada zamannya dan bukannya untuk generasi sekarang. Tian Chua menyifatkan Tun Mahathir ketinggalan zaman dan  disifatkan sebagai pemimpin autokrasi politik dan tidak faham dengan dunia sekarang.
Saranan Tun M agar rakyat Malaysia hidup dalam kurang kebebasan jika mahu membina Malaysia yang lebih baik.Jika banayak kebebasan akan menyebabkan lebih peluang untuk pihak tidak bertanggungjawab untuk menyalah guna dan eksploitasi kebebasan.

Apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir ada kebenarannya.Kebebasan tetap ada hadnya.Harap rakyat Malaysia terutama pembangkang faham dengan konsep kebebasan di Malaysia ini.
Jangan nak buat negara ni macam mak bapak korang yang punya!!!

Penganjur 505 tetap mahu Padang Merbok

Penganjur perhimpunan Black 505 tetap bertegas perhimpunan Sabtu ini akan  tetap diteruskan di Padang Merbok, meskipun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencadangkan tiga lokasi lain.
Pengerusi Sekretariat Black 505, Datuk Johari Abdul berkata, pemilihan lokasi di Padang Merbok tetap diteruskan seperti mana dirancang.

"Mereka berikan stadium, tetapi kami tetap mahukan Padang Merbok, seperti mana yang diputuskan dalam mesyuarat PR," katanya dalam sidang media, semalam.

Menurutnya, himpunan ini akan diketuai pemimpin PR dan NGO dan akan berkumpul di tujuh lokasi sekitar ibu negara sebelum bergerak ke Padang Merbok.

Beliau berkata, tujuh lokasi tersebut adalah di Bricfields, Masjid Negara, Jalan Pudu, Ibu Pejabat Pas (Jalan Raja Laut), Sogo, Universiti Malaya dan Pekeliling.

Sebelum ini, DBKL melalui Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mencadangkan tiga lokasi alternatif kepada penganjur  iaitu di Stadium Titiwangsa, Stadium Merdeka dan Taman Rekreasi Air Panas.

Johari turut menyeru agar wakil rakyat PR yang menang dalam PRU13 lalu menjadi barisan hadapan pada perhimpunan kali ini.

“Saya bertemu dengan ramai orang dan mereka berkata mahu melihat wakil rakyat PR yang menang mengetuai penentangan penipuan pilihan raya.

“Wakil rakyat yang menang tidak boleh berdiam diri. Kalau mereka menjadi barisan depan, maka lebih ramai rakyat akan turun dan menyokong perjuangan ini,” katanya.


Pandai tak boleh ditumpang, bodoh tak boleh ditegur, salah tak boleh diajar!

Anwar& Najib: Tiada pertemuan rahsia

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kenyataan bahawa beliau tidak bertemu Datuk Seri Najib Tun Razak di Indonesia sebagaimana dilapor sebuah portal berita baru-baru ini.

Katanya, tidak ada keperluan baginya untuk bertemu Perdana Menteri secara rahsia, sebaliknya kunjungannya ke negara jiran itu adalah atas jemputan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

"Saya bertemu Presiden Susilo selama hampir satu setengah jam. Sudah tentu saya gembira bertemu dengan beliau dan berterima kasih kepadanya atas pengiktirafan (jemputan) itu," katanya, semalam.

Anwar berkata, beliau boleh bertemu Najib secara terbuka di Parlimen dan tidak ada keperluan bagi mereka untuk bertemu secara rahsia sama ada di Jakarta atau di London.

"Kami juga boleh bertemu di pejabat Perdana Menteri," katanya mengulas laporan portal itu yang antara lain menyebut, pertemuan mereka mungkin berlaku untuk bantu Najib mengelak usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat
selepas BN mencatatkan keputusan kurang meyakinkan pada PRU13. Ini juga dikaitkan kemungkinan Presiden Umno itu dicabar pada pemilihan parti hujung tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan ke Indonesia, menafikan laporan mengenai pertemuan itu. Najib ke Jakarta pada masa Anwar pula di Bali.

Ditanya mengenai kecaman sesetengah pihak terhadap tindakannya mengadu kepada Susilo mengenai keputusan PRU13 yang tidak berpihak kepada pembangkang dan didakwanya sebagai berunsur penipuan, Anwar berkata, bukanlah satu jenayah baginya untuk bertemu pemimpin dari negara lain.

"Beliau (Susilo) pula wakili negara demokratik," katanya.

Pada sidang media sama, Anwar mengecam polisi ekonomi negara dengan menyelar penubuhan Jawatan Kuasa Dasar Fiskal yang diumum Najib kelmarin, sebagai usaha untuk menekan rakyat.

Syabas kena tegur lagi??

Syabas diminta lebih cekap dalam menyelesaikan kejadian paip bocor selain memantau loji serta rumah pam bagi mengelakkan kerosakan yang boleh menjejaskan kehidupan pengguna di Lembah Klang dan Putrajaya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan terus memantau kerja penyelenggaraan yang dibuat syarikat konsesi itu dalam memastikan bekalan air terawat mencukupi.

“Oleh kerana isu penyusunan semula industri air kita akan bincangkan dengan kementerian berkaitan minggu depan, kita juga memantau kerja yang dibuat Syabas supaya bekalan air terawat berterusan.

“Lembaga Urus Air Selangor (Luas) juga memaklumkan paras air di semua kolam takungan di negeri ini dalam keadaan memuaskan walaupun cuaca panas ketika ini,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini semalam.

Dalam pada itu katanya, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) telah mengemukakan permohonan untuk membuat kerja penggantian injap sluis (Sluice Valve) di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1).

Beliau berkata, kerja penggantian itu memerlukan operasi separuh daripada loji berkenaan perlu dihentikan selama lapan jam, kelmarin.

“Kerja penggantian berjadual ini menyebabkan gangguan bekalan air di Kolam Imbangan Matang Pagar yang membekalkan air ke kawasan Petaling dan Kuala Lumpur.

“Pihak SPLASH telah mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pengguna air dan kerja penggantian injap sluis itu telah siap sepenuhnya jam 4 petang semalam (kelmarin) dan loji berkenaan telah beroperasi secara normal dengan membekalkan 750 juta liter sehari.

“Kita dimaklumkan bekalan air sepatutnya telah kembali pulih sepenuhnya pagi hari ini  (semalam) kecuali kawasan tinggi yang mengambil sedikit masa kerana masalah tekanan air rendah,” katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan menggunakan air dengan cermat sebagai langkah berjaga-jaga.

Bilalah nak jumpa jalan penyelesaian nie,asyik tuding menuding jari je, yang menderita rakyat Selangor.Apapun tak boleh...

TPP beri kebaikan, cabaran

Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) memberikan impak positif kepada negara apabila ia dilaksanakan kelak.
Pensyarah Kanan Program Sains Politik Pusat Pengajian Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, kebaikan kepada negara apabila cukai import dapat dikurangkan.

"Jika kita tidak tandatangani perjanjian ini, kita akan ditekan dengan cukai yang tinggi untuk mengimport barangan luar, jadi sebagai balasan kepada peraturan itu kita dapat membawa masuk barangan dengan cukai yang rendah.

"Selain itu, kebaikan yang diperoleh kerajaan ialah perkembangan perniagaan dalaman dan pertumbuhan kilang-kilang akan  memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan dan meningkatkan pendapatan mereka," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebaikan dan cabaran mengenai TPP yang bakal dilaksanakan.

Bagaimanapun Samsul berkata, pelaksanaan TPP turut mempunyai cabaran yang terpaksa dihadapi negara berikutan saingan dengan syarikat-syarikat ternama yang mempunyai rekod kejayaan masuk ke negara ini. 

"Ada kebaikan dan cabaran bakal dihadapi negara, sejak 10 tahun kebelakangan ini, kita menghadapi cabaran perdagangan global dan pendominasian global terhadap perniagaan tempatan yang akan menggugat atau menyekat perdagangan dalam negara.
"Syarikat-syarikat kecil sukar bersaing di peringkat lebih global," katanya.
Sebelum ini, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dilapor meminta kerajaan mengkaji semula penglibatan Malaysia dalam perbincangan pembentukan perjanjian TPP.
Selain itu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) juga mendesak kerajaan menarik diri daripada TPP kerana perjanjian itu didakwa bakal memudaratkan ekonomi negara.

Perbincangan bagi membentuk perjanjian TPP yang melibatkan 12 negara itu kini telah memasuki pusingan yang ke-17 dan dijangka dimuktamadkan menjelang Oktober 2013.

Negara terlibat ialah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Malaysia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Jepun.
Mengulas lanjut, Samsul berkata, bagi menghadapi cabaran itu, kerajaan disarankan memperkasakan produk tempatan supaya mampu bersaing di pasaran global.
"Kita perlu fokus kepada barang tempatan untuk dapatkan keuntungan kepada negara kerana cukai import diturunkan," katanya.

Rabu, 19 Jun 2013

PR bersungguh-sungguh perangai TPP..#Lainmacamaje

Pakatan Rakyat (PR) menggesa agar sebuah Jawatankusa khas Pilihan Parlimen (PSC) diwujudkan bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ekoran masih wujud rasa tidak berpuas hati  TPPA itu tidak tertakluk kepada pengawasan parlimen.



Dalam satu kenyataan bersama hari ini, ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS Dr Dzulkefly Ahmad, bersama dengan Azrul Azwar Tajuddin dari Institut rakyat berkata PSC mengenai TPPA itu perlu ditubuhkan segera.

"Kami amat prihatin mengenai keperluan untuk berahsia seiring dengan rangka kerja dwi-partisan sebegini, dan akan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab kami sebagai penjaga amanah rakyat," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.
Mereka turut membangkitkan rangka kerja undang-undang TPPA yang menyeluruh itu boleh menyebabkan undang-undang domestik terpaksa akur dengan meletakkan syarikat-syarikat multinasional di atas jika tidak setara dengan kedudukan kerajaan.
"Banyak isu-isu telah diusul semasa perbincangan, yang terdiri daripada isu kawalan kerajaan ke atas pasaran kewangan, penyelesaian pertikaian antara pelabur-kerajaan (ISDS), harga farmaseutikal dan perubatan, serta kebimbangan umum terhadap kurangnya ketelusan dan maklumat tentang teks rundingan TPPA," kata mereka merujuk kepada perbincangan dengan wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang diketuai oleh Datuk Rebecca Sta Maria, KSU Kementerian serta salah seorang perunding utama bagi TPPA, Encik J. Jaya Siri.
Antara kebimbangan yang dibangkitkan mereka adalah analisa Kos-Faedah (CBA) pada TPPA, Kawalan Kewangan dan Kebebasan, dan Kos Kesihatan.
"MITI mengakui kewujudan kertas CBA dibentangkan kepada Kabinet pada tahun 2010, iaitu laporan 2010 United Nations Development Programme (UNDP) yang atas arahan Kerajaan Malaysia.
"Dalam perkembangan yang sedikit positif, kami telah dijanjikan sesalinan laporan tersebut dalam masa dua minggu tanpa disertakan maklumat rundingan," kata mereka lagi.
Mereka turut menyatakan kebimbangan masa yang semakin suntuk memandangkan pusingan dan rundingan TPPA seterusnya akan diadakan pada Julai 2013 dan pernyataan muktamad dijangka berakhir pada Oktober 2013.
"Kami memuji MITI kerana menganjurkan mesyuarat ini dan kerana berjanji memberikan salinan laporan UNDP yang ditapis dalam masa dua minggu lagi.
"Walau bagaimanapun, kami tetap komited untuk memperjuangkan ketelusan dan penglibatan awam yang lebih tinggi semua aspek TPPA tersebut. Demi kepentingan umum masyarakat," kata kenyataan berkenaan.
"Kami juga mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa amanah rakyat adalah tertumpu pada pendedahan yang telus dan bertanggungjawab. 

Jangan ada udang disebalik batu sudah lah PR oi...

Lesen penjaja akan ditarik balik jika beri pada warga asing

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan teragak-agak untuk menarik balik lesen perniagaan peniaga dan penjaja tempatan di pasar-pasar seluruh ibu negara yang melanggar syarat khususnya menyewakan lesen kepada pendatang asing.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan berkata, kerajaan memandang serius perbuatan itu kerana ia bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah turut mengehadkan peluang untuk peniaga dan penjaja tempatan.
Katanya, DBKL amat tegas dalam soal tersebut dan sehingga bulan ini, sebanyak 444 lesen penjaja di seluruh Kuala Lumpur sudah ditarik balik kerana melanggar peraturan.
"Kerajaan telah melonggarkan syarat untuk memberikan lesen kepada orang tempatan yang ingin menjalankan perniagaan.
"Tetapi kalau ada antara peniaga dan penjaja yang tidak berminat untuk berniaga, kembalikan lesen kepada DBKL dan kami akan memberikan kepada orang tempatan lain yang berminat.
"Kita tidak pernah memberikan sebarang lesen perniagaan kepada pendatang asing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gotong-royong Mega di Pasar Raja Bot di sini hari ini.
Aktiviti gotong-royong itu merupakan antara usaha DBKL untuk meningkatkan kebersihan sekitar kawasan pasar itu, selain sebagai satu platform untuk merapatkan kerjasama antara DBKL dan para peniaga.
Lebih 1,000 orang terdiri daripada para peniaga, penjaja, kakitangan DBKL dan Alam Flora terlibat dalam aktiviti itu.
Mengenai pendatang asing yang bekerja dengan peniaga dan penjaja tempatan, Saravanan berkata, ia perlu dikaji sebelum sebarang tindakan diambil berhubung perkara itu.
"Kita perlu mencari bukti yang tepat dengan bertanya kepada penjaja dan peniaga itu sendiri kenapa mereka mengambil pendatang asing sebagai pekerja di premis perniagaan mereka sedangkan orang tempatan masih ramai yang berminat untuk bekerja.
"Ada juga peniaga dan penjaja yang menyewakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing tetapi kita harus meneliti dengan lebih terperinci masalah ini," ujarnya.
Mengenai Pasar Raja Bot yang lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit itu, Saravanan berkata, pasar itu sudah beroperasi sejak sebelum merdeka lagi dan kerajaan sedang berusaha untuk menaik taraf pasar itu sejajar dengan usaha menjadikan Kuala Lumpur bertaraf dunia.
Malah, katanya, persatuan peniaga dan penjaja di situ telah mencadangkan supaya bumbung di pasar itu ditinggikan bagi menambahkan keselesaan dalam pasar itu.
"Dari segi dasar, kita bersetuju tetapi ia perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan kita perlu mencari masa yang sesuai untuk melakukan kerja-kerja pembinaan kerana ia melibatkan aktiviti perniagaan di sini.
"Kita juga perlu mengkaji berapa lama kawasan pasar ini perlu ditutup untuk projek pembinaan kerana ia boleh menjejas peniaga jika ditutup terlalu lama," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup ketika dihubungi berkata, projek untuk menaik taraf pasar itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dan dimulakan dengan aktiviti pembersihan pasar itu.
"Kita akan berbincang dengan peniaga untuk melaksanakan cuti sehari dalam sebulan bagi membolehkan aktiviti pembersihan seluruh pasar dapat dilakukan.
"Jika kita tidak melaksanakan cuti tersebut, ada pihak yang tidak turut dalam melakukan aktiviti pembersihan," katanya.

Peliklah warga tempatan ni,daha dapat lesen tapi bagi pada pendatang,suka sangat ler tue bila ekonomi kita dikawal selia oleh orang asing..nak jadi "pendatang" di negara sendiri ke??




Isu Lahad Datu tiada kaitan dengan tuntutan "Sultan Sulu".

Pencerobohan di Lahad Datu tidak ada kaitan dengan tuntutan 'Sultan Sulu' tetapi adalah tindakan pengganas yang cuba mengganggu-gugat keselamatan negara khususnya di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
  
Sabah, tegas beliau, adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat dalam Malaysia.
  
Sambil merujuk buku bertajuk 'Putting to Rest the Claim to Sabah by Self-proclaimed Sultanate of Sulu', beliau berkata Peguam Negara Malaysia menyatakan status negeri Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia yang sah adalah berdasarkan dua asas utama.
  
"Pertama, berdasarkan instrumen ikatan yang sah dan mengikut undang-undang, 'Sultan Sulu' pada masa dahulu telah secara sukarela menyerahkan sepenuhnya dan muktamad wilayah yang sekarang dikenali sebagai Sabah untuk selamanya semua tuntutan dan hak selain menerima hak bayaran wang serahan tahunan.
  
"Kedua, sebarang tuntutan atau hak 'Sultan Sulu' terhadap Wilayah Sabah walaupun ia sah atau wujud pada tahun 1962/1963 telah menjadi terbatal dan termansuh apabila penduduk Sabah membuat satu keputusan sendiri melalui pungutan suara pada tahun 1962 oleh Suruhanjaya Cobbold pada bulan Ogos hingga bulan September 1963," katanya.


Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Setiausaha Agungnya telah melaksanakan satu lagi pungutan suara di mana rakyat di Sabah telah menyatakan hasrat mereka secara sukarela untuk merdeka daripada penjajahan British dan justeru, bersetuju untuk bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia.   

Musa berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Lajim Ukin (PKR-Klias) sama ada benar pihak Sultan Sulu III menuntut hak ke atas negeri Sabah dan siapakah yang disyaki sebagai dalang penerobohan itu, semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Likas, dekat sini hari ini.
  
Musa yang juga pengerusi jawatankuasa keselamatan negeri berkata pengganas yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Tentera Di Raja Kesultanan Sulu' yang dianggarkan seramai 200 orang dikesan menceroboh di Lahad Datu pada 9 Feb lepas.
  
"Dalang pencerobohan ini ialah Datu Agbi Muddin Datu Kiram dan Jamalullail Kiram serta penglibatan warga Malaysia yang masih dalam siasatan polis.
  
"Dalam kejadian tersebut, pengganas-pengganas berkenaan enggan berundur dari kawasan yang dicerobohi. Dengan itu pasukan keselamatan telah melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh dari Sulu tersebut pada 5 Mac," katanya.

Beliau berkata pertempuran itu menyebabkan seramai 80 orang terkorban, termasuk lapan anggota polis dan dua tentera Malaysia serta memaksa penduduk kampung meninggalkan rumah kediaman mereka.
  
Bagi menjamin keselamatan wilayah yang terlibat, katanya kerajaan telah mengisytiharkan kawasan Pantai Timur Sabah sebagai Kawasan Keselamatan Khas dan meletakkan pasukan keselamatan untuk mengawal kawasan berkenaan.
  
Musa berkata penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang diumumkan Perdana Menteri pada 7 Mac lepas adalah berikutan insiden pencerobohan di daerah Lahad Datu.
  
Penubuhan Esscom yang diterajui Ketua Pengarah Datuk Mohammad Mentek, antara lain bertujuan memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh pelbagai entiti pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen.
  
Ketua menteri berkata antara aspek utama yang dipertanggungjawabkan kepada Esscom ialah untuk meningkatkan kawalan keselamatan terutama di kawasan Perairan Pantai Timur Sabah selain meningkatkan kemampuan risikan di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Musa berkata 10 daerah diwartakan sebagai Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) yang merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
  
Katanya Esscom kini berada di landasan yang betul dan mampu bergerak seiring dengan visi, misi dan matlamat yang telah ditetapkan.
  
Justeru, visi Esscom adalah untuk menjadi peneraju kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Pantai Timur Sabah menjelang tahun 2017, katanya.
  
Beliau berkata ini termasuk mengekal dan meningkatkan aktiviti keselamatan di Kawasan Pantai Timur Sabah daripada sebarang ancaman musuh.
  
Ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam membantu memacu pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat, katanya.

Selain itu, Musa berkata Esscom juga bermatlamat untuk memastikan dan mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia secara amnya dan di kawasan Timur secara khususnya, memastikan kesejahteraan penduduk terutama dalam menjaga kesihatan awam di kawasan yang terlibat.
  
Penubuhan Esscom turut memastikan anggota masyarakat bebas untuk membuat perjalanan di kawasan Pantai Timur Sabah dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi orang yang menduduki tanah atau premis secara tidak sah di dalam kawasan berkenaan.
  
Musa berkata bagi memastikan visi, misi dan matlamat dapat dicapai, Esscom mengenal pasti lima teras strategik yang akan dilaksanakan mulai tahun 2013 hingga 2017.
  
Ini termasuk memperkukuhkan kawalan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah secara bersepadu bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, meningkatkan keupayaan risikan dan perkongsian maklumat, merancang dan menyelaras penempatan semula selaras dengan keperluan pemeliharaan keselamatan awam bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, katanya.
  
Beliau berkata tumpuan juga diberikan kepada memupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat Kawasan Pantai Timur Sabah bagi mengukuhkan perpaduan nasional dan menyelaras program pembangunan sosio ekonomi sebagai pemangkin kepada perkembangan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah.

Sejak penubuhannya, pelbagai aktiviti dijalankan oleh Esscom, antaranya mengadakan pelbagai mesyuarat dan pemantauan terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman semasa pilihan raya umum ke-13 dengan menempatkan dua pegawai kanan Esscom di kesemua 10 daerah yang diwartakan sebagai Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
  
Katanya pihak Esscom berusaha mempertingkatkan jumlah anggota keselamatan dan aset bagi menghadapi sebarang anaman di masa hadapan. Kesemua agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan berusaha untuk memastikan peristiwa yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu tidak akan berulang.
  
Musa berkata kerajaan telah mengambil pelbagai yang wajar ke arah mewujudkan prasarana yang sesuai untuk menempatkan aset pasukan keselamatan di bawah Esscom.
  
Sehubungan itu, katanya lima batalion akan ditempatkan di Kawasan Pantai Timur Sabah yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM).
  
"Kerajaan masih meneliti lokasi yang sesuai untuk menempatkan kesemua lima batalion tersebut. Pada masa kini, pembinaan kabin khususnya bagi ibu pejabat Esscom dan beberapa balai polis hanya bersifat sementara.

"Di samping itu, kerajaan juga prihatin terhadap kebajikan penduduk kampung yang terlibat semasa penerobohan tersebut. Justeru, kerajaan mempunyai dua cadangan bagi penempatan semula kampung di Tajung Batu dan kampung di Tanjung Labian yang terlibat dalam insiden pencerobohan pengganas baru-baru ini," katanya.
  
Bagi penduduk kampung di Tanjung Batu, Musa berkata penempatan kampung berkenaan sedang dalam proses pembinaan di atas Tanah Cadangan Simpanan Kampung Tanjung Batu yang berkeluasan 6.1 hektar, melibatkan pembinaan 25 buah rumah baharu.

"Empat daripada rumah tersebut dibina di atas tanah bergeran, manakala sebanyak 21 buah rumah lagi dibina di atas tanah kerajaan negeri. Pada ketika ini, projek pembinaan rumah-rumah tersebut telahpun bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2013," katanya.
  
Beliau berkata bagi cadangan penempatan penduduk kampung di Tanjung Labian, penempatan akan dibina di atas Tanah Simpanan Rancangan Penempatan daerah Lahad Datu iaitu Kampung Tenagian, melibatkan pembinaan sejumlah 52 buah rumah baharu.

Kebenaran bagi memasuki dan memulakan pembinaan telahpun diperoleh daripada Jabatan Tanah dan Ukur tetapi proses bagi menentukan sempadan masih belum diputuskan oleh Juruukur Daerah, katanya.
  
Sementara itu, sejumlah 106 rumah yang rosak semasa insiden tersebut telah dibaiki sepenuhnya oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui
Giat Mara dan Felcra Sdn Bhd.
  
Berikutan pencerobohan itu, Musa berkata seramai 31 orang telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan dalang dalam pencerobohan itu.
  
Beliau berkata ketika ini tahap keselamatan di Sabah khususnya di daerah di bawah liputan Esscom adalah terkawal, dan sehingga kini, tidak ada insiden pencerobohan baru yang dilaporkan.
  
Bagaimanapun, Musa berkata Esscom sentiasa memantau perkembangan keselamatan terutama di Kawasan Pantai Timur Sabah dan menegaskan agensi keselamatan termasuk ATM, PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sentiasa membantu dan akan bertindak sekiranya terdapat sebarang ancaman baru ke atas keselamatan Sabah.  - Bernama