Halaman

Khamis, 9 Januari 2014

COMANGO pertubuhan haram

 Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (COMANGO) adalah pertubuhan haram.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohamad Khalid Shariff, berkata semakan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mendapati COMANGO tidak berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). 

Setiap pertubuhan yang hendak menjalankan aktiviti secara sah di negara ini hendaklah berdaftar dengan ROS di bawah Akta Pertubuhan 1966 seperti yang ditetapkan mengikut Seksyen 7. 


Mana-mana pertubuhan yang tidak memenuhi keperluan Seksyen 7 boleh diambil tindakan sebagai pertubuhan tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 41 (1)(b), katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Melaka tolak perakuan Sultan Melaka

Melaka tolak perakuan  Sultan Melaka

 Kerajaan Melaka menolak perakuan mana-mana individu yang mengaku sebagai Sultan Melaka. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri, semalam, sekali gus tidak mengiktiraf mereka yang kononnya mempunyai hak memerintah negeri ini menerusi sistem beraja. 

Kita sudah membuat keputusan secara berfakta untuk menolak sebarang usaha mendapatkan pengiktirafan oleh mana-mana pihak mengenai kesultanan Melaka termasuk pihak yang baru-baru ini menggemparkan masyarakat dengan upacara pertabalan raja Melaka kepada seorang individu. 


Apa juga bentuk dokumen yang ditunjukkan kepada kita adalah tidak sahih dan tidak boleh diterima pakai, termasuk sehelai kertas yang kononnya surat pengiktirafan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di sini semalam. 

Ambil tindakan 

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang mengaku dirinya sebagai Sultan Melaka mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. 

Saya hairan mengapa ada lagi individu yang kurang siuman sekarang ini, malah individu yang mengaku sebagai Sultan Melaka ini tidak dilahirkan di Melaka pun dan saya difahamkan beliau turut menuntut untuk menjadi sultan di beberapa negeri lain. 
Bagaimanapun, saya yakin perkara ini berlaku berikutan Melaka kini sudah nampak kemajuannya dan insiden ini tidak berlaku ketika negeri ini digelar Sleepy Hollow satu ketika dulu. Mungkin kerana Melaka pada ketika itu tidak nampak kualitinya, tetapi sekarang bila dah cantik dan menarik, ramai pula yang hendak tuntut. 

Beliau mengulas dakwaan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Raja Noor Jan Shah yang mengaku sebagai Sultan Melaka ke-44, dan dikatakan berjaya mendapat pengiktirafan daripada ICJ mengenai tuntutannya menduduki takhta raja di negeri itu.

Perhimpunan di Putrajaya: Tindakan tegas jika sertai

Perhimpunan di Putrajaya: Tindakan tegas  jika sertai
Polis memberi amaran akan bertindak terhadap penganjur dan peserta perhimpunan yang dirancang pihak tertentu di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur jika menyalahi Akta Perhimpunan Aman 2012 . 

Perhimpunan itu dirancang selepas pihak berkaitan dikatakan tidak puas hati apabila demonstrasi sama yang diadakan di Dataran Merdeka pada malam tahun baru sehingga menimbulkan kacau-bilau gagal mendapat sokongan. 

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000. 


Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata penganjuran setiap perhimpunan perlu mematuhi akta berkenaan, termasuk memberi notis kepada polis 10 hari lebih awal daripada tarikh dirancang, manakala kelulusannya bukan automatik. 

Kaji setiap permohonan 

Setiap permohonan untuk mengadakan perhimpunan akan dikaji dan kita akan panggil penganjur supaya menjelaskan matlamat perhimpunan. 

Namun, setakat ini polis tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan di Putrajaya, katanya ketika dihubungi BH, semalam. 
Beliau diminta mengulas gerakan pihak tertentu menghasut rakyat menerusi media sosial supaya mengundi tiga lokasi tertentu, termasuk Putrajaya untuk menganjurkan perhimpunan kononnya untuk menuntut keadilan dan membela hak rakyat termasuk membantah kenaikan kos sara hidup. 

Pengundian lokasi perhimpunan itu dikesan giat dijalankan sejak kelmarin dengan Putrajaya mendahului carta, diikuti KLIA dan plaza tol Sungai Besi, manakala tarikh penganjurannya dipercayai awal Mac ini. 

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pihaknya akan memantau aktiviti itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya. 

Pihak terbabit juga dilihat menyasarkan golongan belia dan mahasiswa untuk menyertainya.

Kenapa ‘Ubah’ pembangkang tidak menjadi

Dalam satu rancangan khas di Channel News Asia – saluran televisyen berpusat di Singapura – yang disiarkan pada 2 Januari lalu, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tahun lalu dianggap antara 10 berita terhangat di Asia sepanjang 2013. 

Diplomat dan penganalisis terkenal, Dr Kishore Mahbubani berpendapat nilai kehangatan berita tersebut ialah hakikat Datuk Seri Najib Razak mampu mengemudi BN mencapai kejayaan walaupun diasak pakatan pembangkang selama lima tahun sebelumnya.


Seorang tokoh akademik yang diwawancara pula berkata, kemenangan yang dicapai Najib dalam keadaan penuh cabaran dan tekanan dalam PRU yang digelar ‘ibu segala pilihan raya’ banyak bergantung kepada populariti peribadi serta keberkesanan program transformasi dan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan. 


“In effect, Najib stole the thunder from Anwar Ibrahim,” katanya. 

Kegagalan pakatan 

Pengkritik tegar dan cauvinis Cina, Dr Kua Kia Soong, dalam buku terbarunya May 13 Fact & Fiction: Current Malaysian Challenges (SUARAM, Petaling Jaya, 2013), menyalahkan kepemimpinan pakatan pembangkang kerana gagal menerima tawaran Parti Rakyat Malaysia dan HINDRAF untuk mengadakan kerjasama politik menjatuhkan kerajaan UMNO-BN. 

Beliau menganggap kegagalan pakatan pembangkang untuk berkompromi dengan golongan sosialis dan puak yang memperjuang kepentingan kaum India sebagai ‘one of the most unfortunate missed opportunities in the overthrow of the Barisan Nasional rule.’ (ms 102). 
Walaupun memahami bahawa cadangan HINDRAF dalam blueprintnya hanya memberi tumpuan kepada satu kaum saja, Kua tetap menyesali keengganan pemimpin pembangkang berkompromi dengan kumpulan itu. 

Malah, pemimpin pakatan pembangkang melabel blueprint HINDRAF sebagai rasis. Di sinilah, Kua menghentam kebodohan dan sikap oportunis pemimpin pembangkang, terutama DAP. 

Kata Kua: “Sungguh menghairankan. PR bukan saja tidak terima cadangan-cadangan HINDRAF, malah gagal memasukkan cadangan-cadangan tersebut ke dalam manifesto PR. Adakah PR lebih suci daripada HINDRAF berhubung isu kebangsaan? Apakah pucuk pimpinan PR takut kena beri tempat atau kerusi kepada pemimpin India jika cadangan HINDRAF diterima? 

“Pemimpin-pemimpin India dalam PR memberi alasan mereka tidak terbabit dalam menyediakan draf manifesto PR. Ini alasan dangkal. Jika benarlah real politik ini punca sebenar ketidakmampuan PR-HINDRAF mencapai persetujuan, ia adalah satu kegagalan yang amat besar.” (ms 102) 

Deklarasi Gelang Patah 

Lebih memalukan, DAP cuba ‘mengambil hati’ masyarakat India dengan memasukkan cadangan HINDRAF itu ke dalam Deklarasi Gelang Patah. HINDRAF terus menuduh DAP menciplak. 

Kecewa dengan penolakan pakatan pembangkang dan sikap hipokrit pemimpinnya, HINDRAF memohon menjadi anggota komponen BN dan diterima secara rasmi pada 8 April 2013. Ketuanya, P Waythamoorthy, seorang peguam, dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

Menurut Kua, tindakan DAP seperti itu sudah diduga dan menempelak sikap hipokrit pemimpin pembangkang kerana mengecam blueprint HINDRAF sebagai rasis, tetapi apabila dimasukkan ke dalam Deklarasi Gelang Patah, tidak pula menegur DAP atau mengatakan deklarasi itu rasis! 

Tegasnya, pembangkang juga ada prejudis dan kepentingan tersendiri, serta tidak mengecam Dasar Ekonomi Baru, justeru, tidak boleh berpura-pura sebagai lebih suci atau baik daripada BN. 

Kesimpulan Kua cukup jelas. “PR cannot claim to be holier than thou because neither does PR condemn this constitutional racism and announce their readiness to abolish the NEP in their manifesto. 

“In the end, it boils down to PR’s failure to come to terms with the national question, and that involves taking a stand on the NEP. Alas, I’m afraid the ‘Ubah’ in PR does not go far enough.”